Saturday, February 16, 2008

PRU 12: MASA UNTUK MEMILIH PEMIMPIN TERBAIK DAN BERKUALITI


Gendang pilihanraya umum ke-12 telah pun dibunyikan apabila Pak Lah (PM) telah membubarkan Parlimen Malaysia pada 13 Feb yang lepas walaupun dia telah menafikan pembubaran akan berlaku pada tarikh tersebut. Pada keesokannya SPR pula mengumumkan dua tarikh yang dinanti-nantikan iaitu hari penamaan calon pada 24 Feb dan pembuangan undi pada 8 March, 2008.
Islam merupakan agama yang sistematik dan sangat menitikberatkan soal kepimpinan apatah lagi yang berkaitan dengan kepimpinan negara. Contoh yang paling mudah ialah sabda Nabi s.a.w: "Apabila kamu keluar bermusafir 3 orang, maka lantiklah salah seorang dari kamu sebagai ketua atau pemimpin". Lihat! dalam soal kecil seperti bermusafir pun Islam menyuruh supaya melantik pemimpin.
Amanah kepimpinan merupakan amanah yang sangat berat dan tidak boleh sewenang-wenangnya memberi kepada orang yang tidak berkelayakan dan tidak amanah. Perkara ini ditegaskan oleh baginda s.a.w: " Apabila hilangnya amanah maka nantilah saat kehancuran". Allahuakbar! tak takut ke kita? kemungkinan kehancuran moral dan akhlaq muda mudi hari ini, kehancuran keeadilan dalam sistem kehakiman dan pemerintahan, kehancuran sifat kemanusian dalam masyarakat, kehancuran nilai-nilai Islam dan Melayu, kehancuran sifat malu dikalangan wanita dan kehancuran dan kecelaruan pemikiran umat disebabkan keburukan pemimpin yang ada pada hari ini.
Pepatah Cina ada mengatakan " Busuknya ikan bermula di kepalanya ". Jadi pada pilihanraya kali ini kita hendaklah bijak dan bertanggungjawab dalam memilih pemimpin. Pemimpin yang dipilih mestilah mempunyai sifat taqwa, amanah, adil, bijaksana, dan berilmu. Jangan memilih pemimpin berdasarkan jawatan, tawaran yang dijanjikan, sogokan-sogokan kewangan dan kebendaan dan yang tidak berintegriti. Pemimpin yang tidak berasaskan ketaqwaan dan keimanan kepada Allah akan melakukan kefasadan dan menggalakkan kemungkaran berlaku dalam masyarakat.
Pemimpin yang bertaqwa boleh mengelak dari berlakunya penyelewengan dana awam, rasuah, pecah amanah, salah laku seks dan lain-lain lagi. Setiap undi yang kita berikan akan dipertanggungjawab dan dipersoalkan di Akhirat kelak. Mudah-mudahan kita diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah S.W.T. untuk memilih pemimpin yang amanah dan adil. ameen.

No comments: