Tuesday, March 25, 2008

Syor pinda AUKU langkah positif

KUALA LUMPUR: Cadangan Kementerian Pengajian Tinggi meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi memberi pelajar dan universiti lebih kebebasan disifatkan langkah positif dalam melahirkan graduan berdaya saing. Prof Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim, berkata selain memberi mandat penuh kepada universiti membuat sesuatu keputusan, pindaan itu wajar kerana ia sebagai tanda kepercayaan kerajaan terhadap pihak berkenaan untuk lebih bersedia berdepan dunia global. Mengimbas pelaksanaan AUKU sejak 37 tahun lalu, beliau berkata, tindakan Menteri Pelajaran ketika itu seolah-olah mengongkong kebebasan pelajar untuk mempamerkan kemahiran mereka memimpin yang sepatutnya digilap ketika berada di kampus.

Malah katanya, peraturan yang tidak pernah dilaksanakan di mana-mana negara maju itu turut mengehadkan kreativiti pelajar terus aktif dalam pelbagai kegiatan terutama politik, di samping mengemukakan pandangan masing-masing. Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar semalam yang memetik Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kerajaan akan meminda AUKU bagi memberi pelajar dan universiti lebih kebebasan. Di PULAU PINANG, Universiti Sains Malaysia (USM) menyambut baik keputusan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengkaji semula AUKU.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dzulkifli Abdul Razak berpendapat sebarang kajian semula atau perubahan terhadap AUKU perlu memberi fokus kepada usaha penambahbaikan akta itu bagi kepentingan penuntut dan universiti dari masa ke masa. “Kalau apa-apa tindakan atau perubahan ia mesti bersifat penambahbaikan dan perubahan untuk menjadikan AUKU lebih relevan dengan tuntutan masa,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara USM dengan lapan organisasi media di sini, semalam. Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Prof Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali, berkata walaupun terikat dengan ketetapan kementerian, pada masa sama sama. perlu ada keseimbangan di universiti. Beliau berkata, kelonggaran antaranya membenarkan pelajar mewujudkan program berbentuk politik seperti berdebat dan mengemukakan pandangan bernas perlu digalakkan.

Pelajar universiti, katanya, adalah generasi muda yang matang, berfikiran terbuka dan sedia menerima pandangan sama ada daripada parti pembangkang mahupun pemerintah. “Senario ini menjadikan mereka lebih rasional dalam membuat keputusan. Kematangan ini sebagai persediaan mereka menjadi lebih dinamik serta mempunyai keyakinan terus bersaing pada peringkat global. “Usaha menjana modal insan ini perlu dilaksanakan mulai peringkat akar umbi dan universiti adalah institusi terbaik dalam melahirkan intelektual yang seimbang,” katanya.

Sementara itu, beberapa persatuan pelajar mahu cadangan meminda AUKU disegerakan berikutan kesannya yang jelas menyekat kebebasan dan kreativiti pelajar, sekali gus menyukarkan universiti untuk mencapai tahap kecemerlangan pada peringkat global. Langkah itu juga diharap bukan ‘omong kosong’ berikutan cadangan sama pernah diutarakan Menteri sebelum ini namun sehingga kini tidak menjadi kenyataan.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Mohd Hilmi Ramli, berkata beberapa peraturan dalam AUKU seperti Seksyen 15 (1), (2), (3) dan (4) yang melarang mahasiswa menganggotai organisasi luar kampus, melarang persatuan mahasiswa bergabung atau bekerjasama dengan organisasi luar dan melarang mahasiswa atau persatuan mahasiswa menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap organisasi luar, perlu dihapuskan. Katanya, peruntukan seumpama itu bukan saja menyekat kebebasan pelajar malah menjadikan pelajar tidak mempunyai daya saing yang tinggi. “AUKU ini menyebabkan pelajar kita pasif dan takut untuk menyuarakan pendapat mereka mengenai sesuatu isu.

Ini sekali gus membantutkan usaha pembangunan diri pelajar,” katanya. Presiden Kesatuan Pelajar-Pelajar Melayu Selangor, Datuk Mat Yasir Ikhsan, berkata 75 peratus kandungan AUKU masih relevan dan perlu dikekalkan tetapi pindaan perlu dijuruskan kepada peraturan yang mengekang pelajar daripada terbabit secara langsung dengan aktiviti kemasyarakatan di luar universiti. Beliau berkata, pindaan itu wajar dilakukan kerana jelas ada peruntukan dalam akta berkenaan mengongkong pelajar. “Kita mahu melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang dalam akademik tetapi juga di luar bidang akademik seperti interaksi dengan masyarakat sekeliling,” katanya.

sumber: http://www.bharian.com

No comments: