Monday, April 28, 2008

Jihad Perangi Rasuah: Kerajaan Perlu Lebih Serius

TAHNIAH kepada kerajaan kerana berusaha gigih melancarkan rancangan ‘Jihad Memerangi Jenayah Rasuah’ yang kian membarah di dalam negara kita menerusi pengumuman yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini. Langkah tersebut sememangnya wajar dilaksanakan dan diberi perhatian serius oleh semua Menteri Kabinet dan seluruh kakitangan awam kerajaan bagi membendung gejala tidak sihat ini agar tidak terus menular dan mendatangkan musibah kepada agensi-agensi kerajaan dan negara.

Rasuah merupakan jenayah yang paling merbahaya kepada masyarakat dan negara. Jika gejala ini terus dibiarkan sahaja tanpa usaha untuk membendungnya dengan lebih serius nescaya negara kita akan hancur binasa seperti binasanya ‘penagih dadah dan pengidap penyakit HIV/AIDS’. Virus rasuah ini sangat sukar dikesan dan sangat rumit untuk mengatasinya kerana ia hanya melibatkan beberapa orang individu tertentu sahaja dan dilakukan secara sulit. Oleh sebab itu Islam memberi ancaman ‘azab Neraka’ kepada individu-individu yang terlibat dengan jenayah rasuah melalui sabda Nabi Muhammad s.a.w: “Orang yang memberi rasuah dan penerimanya (akan dilemparkan) ke dalam api Neraka (di Akhirat kelak)”.

Penubuhan Suruhanjaya Anti Rasuah (SAR) oleh kerajaan baru-baru ini dilihat mampu untuk menjayakan misi membanteras dan mengawal jenayah ini dari terus merebak ke dalam masyarakat. Suruhanjaya ini mesti diberi kebebasan dan kuasa sepenuhnya untuk mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang terlibat tanpa memilih bulu jika kita ingin melihat penubuhannya berbeza dengan fungsi Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang dikatakan gagal berperanan dengan baik kerana ‘hanya menangkap bilis-bilis di lautan dan membiarkan paus dan jerung berleluasa’. Kredibiliti SAR perlu diangkat dari awal penubuhannya agar orang ramai tidak sangsi dan meraguinya.

Selain itu, usaha mencegah penularan ‘virus rasuah’ ini mestilah dilakukan di peringkat bawahan lagi. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) haruslah mengkaji dan berusaha menyediakan silibus khusus berkaitan gejala rasuah dan kesan buruknya terhadap masyarakat dan negara bagi memberi didikan dan kesedaran kepada massa amnya dan pelajar-pelajar sekolah khususnya. Langkah sesetengah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menubuhkan Seketariat Anti Rasuah di peringkat universiti masing-masing haruslah dipuji dan diberi suntikan dana yang mencukupi bagi menjayakan visi dan misi seketariat tersebut dalam mendidik dan membantu pihak universiti melahirkan mahasiswa yang berintegriti dan berkualiti tinggi.

Akhir sekali, semua pihak mestilah memainkan peranan penting dalam memerangi jenayah dan virus rasuah ini dari terus merebak dan menular dikalangan masyarakat kita. Pihak kerajaan haruslah berusaha membersihkan agensi-agensi kerajaan dan swasta dari najis rasuah disamping memberi kepercayaan dan kebebasan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Anti Rasuah untuk mengambil tindakan tegas kepada sesiapa sahaja yang terlibat. Masyarakat juga perlulah memainkan peranan sebagai ‘mata-mata’ kepada pihak berkuasa di peringkat akar umbi dengan memberi laporan segera jika terdapat amalan rasuah di dalam masyarakat. Percayalah Negara kita akan lebih maju dan makmur tanpa najis rasuah.

No comments: