Monday, May 19, 2008

Ahli Parlimen Bagaikan Kanak-kanak: Tak Matang Bincang Agenda Rakyat

Umum mengetahui tentang ’tsunami politik’ yang melanda persada politik tanah air pada 18 Mac lepas sangat memberi impak yang besar kepada kedua-dua belah pihak sama ada Barisan Nasional (BN) atau pun Pakatan Rakyat (PR). Keperitan dan penderitaan daripada ’malapetaka’ tersebut amat di rasai oleh pemimpin-pemimpin BN berbanding pemimpin-pemimpin PR yang boleh bersuka ria kerana berjaya menawan empat buah negeri dan satu wilayah yang di kuasai BN sebelum ini iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan disamping berjaya mempertahankan kerajaan negeri Kelantan. Sudah tentu kejayaan ini datang tanpa disangka-sangka.

Jika kita imbau kembali sewaktu sebelum pilihan raya umum ke-12 yang lalu, kesemua ahli politik yang bertanding baik di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen beria-ria melontarkan janji-janji manis melalui menifesto parti politik masing-masing khususnya yang berkaitan kebajikan bagi meraih sokongan rakyat. Barisan Nasional (BN) dengan menifesto ’Selamat, Aman dan Makmur’, Parti Islam Semalaysia (PAS) dengan ’Negara Berkebajikan’, Parti KeADILan Rakyat (PKR) dengan ’Harapan Baru Untuk Malaysia’ dan Parti Tindakan Demokratik Malaysia (DAP) dengan ‘Malaysian Malaysia’. Namun, setakat ini janji hanya tinggal janji. Ahli-ahli parlimen lebih memberi fokus kepada isu-isu yang berkaitan kepentingan masa depan politik parti masing-masing sahaja berbanding memperjuangkan agenda-agenda rakyat sama ada agenda pembangunan atau kebajikan.


Banyak bukti yang boleh mengukuhkan dakwaan ini antaranya ialah isu beberapa ahli parlimen BN dan ahli-ahlinya mendesak supaya YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan sebagai presiden parti UMNO dan perdana menteri Malaysia. Seluruh Malaysia menjadi ’panas’ dengan isu desakan ini. Cawangan-cawangan UMNO mula mengadakan mesyuarat umum luar biasa (EGM) bagi membincangkan isu ini. Ada yang menyokong dan ada yang sebaliknya. Kemudian timbul pula isu berkaitan dakwaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa akan ada 30 orang ahli parlimen BN akan lompat parti menyertai Pakatan Rakyat (PR) dalam masa terdekat dan kerjaan pusat akan di kuasai oleh PR. Justeru, majoriti ahli parlimen BN dan PR sibuk pula berbincang sama ada perlu digubal undang-undang lompat parti atau pun tidak.
Jadi, benarlah apa yang dikatakan seorang pemikir Amerika Syarikat bahawa a politician is only thinking about the next election but a statesman is thinking about the next generation’.


Baru-baru ini Dewan Negara menjadi kecoh apabila ahli parlimen Rembau, YB. Khairy Jamaludin menyamakan Parti KeADILan Rakyat (PKR) dengan Projek Khinzir Raksasa (PKR) secara sinis. Maka, ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat menggesa Khairy menarik balik kenyataan beliau itu. Akan tetapi beliau tidak berbuat demikian kerana Yang di Pertua Speaker Dewan Negara menyatakan bahawa insiden tersebut tidak bercanggah dengan peraturan mesyuarat. Keadaan menjadi tegang lagi apabila YB. Hj. Mahfuz Omar ahli parlimen Pokok Sena mencelah dengan mengatakan Khairy sepatutnya menggunakan perkataan ’Babi’ bukan ’Khinzir’ dan kenyataan yang sepatutnya adalah Projek Babi Negara (PBN). Kenapa perlu dibahaskan isu-isu sebegini di parlimen?

Ahli-ahli parlimen masih lagi ’bermain-main’ dan ’bersuka ria’ di Dewan Rakyat dengan bertikam lidah, bergaduh dan membazirkan masa terhadap perkara-perkara yang remeh temeh serta langsung tidak melibatkan soal kepentingan rakyat.Sepatutnya ahli-ahli parlimen perlu lebih serius membincangkan isu-isu yang berkaitan kepentingan rakyat seperti isu kekurangan sumber makanan, kenaikan harga barang keperluan yang mendadak, pendidikan nasional, gejala sosial dan kadar jenayah yang meningkat tinggi dan banyak lagi.


Kerajaan memerlukan kaedah yang terbaik bagi mengatasi masalah-masalah tersebut dan perkara ini juga perlu dibincangkan bersama oleh ahli-ahli parlimen baik dari pihak kerajaan mahu pun pihak pembangkang. Perbahasan mestilah matang dan berkualiti, bukannya berbahas terhadap perkara-perkara yang tidak berfaedah. Selain itu, pihak kerajaan juga perlu mempertimbangkan cadangan-cadangan bernas pihak pembangkang bagi membantu kerajaan mengatasi masalah-masalah yang berkaitan kepentingan rakyat agar dapat diselesaikan secara profesional dan bijaksana.

No comments: