Wednesday, May 7, 2008

PPIM kesal Tabung Haji labur dalam syarikat bermasalah

Salmiyah Harun


KUALA LUMPUR, 7 Mei (Hrkh) -
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melahirkan rasa kesal dengan tindakan Tabung Haji kerana membuat pelaburan dalam Syarikat Silver Bird yang mempunyai rekod menafikan hak pengguna Islam di negara ini.

Setiausaha Agung PPIM Dato' Ma'mor Osman mendakwa, tindakan Tabung Haji itu amat tidak bertepatan dengan imejnya sebagai sebuah badan yang dipertanggungjawabkan untuk memikul amanah menjaga pelaburan umat Islam.

Menurutnya, Silver Bird Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat yang mempunyai rekod menafikan hak pengguna Islam apabila gagal mengadakan tahap minimum kebersihan dan keselamatan makanan.

Tambahnya lagi, ini termasuklah dalam kes kilang roti milik mereka di Nilai Negeri Sembilan yang didapati kotor, kes penemuan lipas di roti High 5 sebagaimana yang disiarkan dalam News Straits Times (6 Oktober 2007) serta kes penemuan cicak dalam muffin keluaran syarikat terbabit seperti mana yang dilaporkan dalam Harian Metro (28 April 2008).

Ma'mor juga berkata, syarikat Silver Bird juga didapati mengelirukan fakta yang pernah mempamerkan logo halal pada produk keluaran syarikatnya walaupun produk itu belum mendapat pengiktirafan dari Jakim.

PPIM mendesak Tabung Haji mengkaji semula keputusannya melaburkan duit umat Islam ke dalam syarikat yang tidak beretika seperti Silver Bird Sdn Bhd.

"Sebagai sebuah badan yang dihormati di negara ini, Tabung Haji seharusnya tidak bertindak terburu-buru dan melabur di dalam syarikat yang membelakangi hak pengguna negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berharap Tabung Haji mengenalpasti beberapa syarikat roti bumiputera yang berdaya saing dan membangunkan mereka agar boleh berkembang dan menjalankan perniagaan.

"Seperti pembangunan kilang membuat roti menggunakan mesin semi automatik dengan jumlah pelaburan yang besar seperti yang dilaburkan di Silver Bird. Tabung Haji gagal melaksanakan tanggungjawab serta fardu kifayah terhadap umat Islam dalam membantu industri roti bumiputera," katanya.

Beliau juga kecewa amanah dari beratus ribu pendeposit Tabung Haji dikhianati dan akan mengemukakan laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi menggesa satu siasatan menyeluruh dijalankan sama ada terdapat unsur penyelewengan dalam kes pelaburan itu.

Justeru katanya, kerajaan wajar memandang serius masalah ini kerana PPIM menerima banyak bantahan yang mengsyorkan semua pendeposit manarik balik pelaburan mereka atau kerajaan menubuhkan Tabung Haji kedua.

"Masyarakat pengguna Islam yang mempunyai pelaburan di dalam Tabung Haji didesak menarik balik semua pelaburan mereka sekiranya pelaburan Tabung Haji ke atas Silver Bird diteruskan," tegas beliau. - mks.

No comments: