Tuesday, September 9, 2008

Perginya Seorang Mujahidah Bertemu Rabbul-Jalil...

Semalam, 9 Oktober 2008, Ma'ruf Club (MC) telah kehilangan seorang serikandi dan juga majahidah buat selama-lamanya kerana telah menepati janji dan bai'ahnya pada Rabbi. Mujahidah tersebut ialah Ukhti Siti Hajar b. Izham, pelajar tahun 2 jurusan Bahasa dan Kesusasteraan Arab, UIAM. Sangat mengejutkan!!! kerana pada ketika itu kami masih lagi berada dalam Liqo' Tafaqquh bersama-sama ahli MC. Khabar pemergian beliau hanya diketahui beberapa minit selepas Ust. Tarmizi Md. Din menamatkan ceramahnya.

Sebelum itu, di awal majlis, pengerusi memulakan dengan mengajak seluruh ahli-ahli MC supaya bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana masih lagi diberi peluang oleh-Nya untuk merasai ni'mat Bulan Ramadhan pada kali ini. Beliau menceritakan bahawa ada seorang rakannya telah kembali ke Rahmatullah sebelum sempat bertemu Ramadhan dan itu ada seorang lagi saudara kepada kawan beliau juga telah melalui detik waktu yang sama ketika di awal Ramadhan. Masing-masing insaf dan bersyukur, InyaAllah.

Sewaktu kuliah berjalan, Ust. Tarmizi sangat berjaya menarik minat audien dengan slide yang disediakan, berkenaan dengan tujuan dan matlamat suatu kehidupan, proses penciptaan manusia, tujuan penciptaan manusia sebagai hamba abdi kepada Sang Pencipta dan Khalifah-Nya, dan juga tugas Khalifatullah sebagai mujahid, pejuang Amar Ma'ruf Nahi Munkar bagi meneruskan perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. dalam menegakkan agama Islam dan mentadbir bumi dengannya (agama). Ust. Tarmizi cuba menimbulkan pula persoalan, siapa yang boleh bagi jaminan yang dia akan kekal hidup sampai mencecah umur 60-70 tahun seperti yang termaktub dalam sabda Baginda s.a.w.? Kita tidak boleh bagi jaminan, hatta esok pagi pun kita tak boleh bagi jaminan kita akan terus bernyawa.

Beliau menambah, siapa yang boleh bagi jaminan yang kalau dia mati keesokkan harinya, dia boleh bergelar syahid atau pejuang agama Allah untuk memastikan Kalimah Allah di tempat yang tertinggi? Semua hadirin diam saja... Rupa-rupanya, lebih kurang jam 12.00 am, Mujahidah Siti Hajar merupakan orang pertama yang memberi jawapan kepada persoalan tersebut. Allahuakbar!!! Semoga ruh beliau diangkat ke langit dan ditempatkan bersama-sama para Syuhada' di Syurga sana. Amin ya Rabbal-'alamin. Buat para mujahid MC dan pejuang Amar Ma'ruf Nahi Munkar sekalian, sama-sama kita redha dengan pemergian beliau buat selama-lamanya untuk bertemu Kekasihnya yang abadi, Sang Pencipta alam ini. Jadikanlah beliau sebagai contoh tauladan, yang akhir hanyatnya dalam perjuangan Islam, pembakar semangat dan ruh jihad kita.

Sebelum itu, peristiwa ini merupakan kejutan ke dua buat diriku. Teringat pada awal bulan Ogos yang lalu (1 0gos 2008), lebih kurang situasi yang sama dialami olehku, dalam pertemuan yang seumpama itu bersama-sama ahli kesayanganku, setelah tamat pertemuan beberapa minit, aku mendapat khabar pemergian Ayahku ke Rafiqul-'Ala buat selama-lamanya. Ketika mengumumkan hal kematian Siti Hajar kepada hadirin, dan ketika mendoakannya kebaikan, ku teringat kepada ayahku, murabbi yang ku sayangi. Al-Fatihah! mudah-mudah Allah mengampunkan dosa-dosa kedua mereka dan menempatkan mereka di dalam Syurga-Nya bersama kekasih Agung, Muhammad s.a.w. Amiin!

Allah matlamat KAMI
Rasulullah ikutan KAMI
Al-Quran panduan dan perlembagaan KAMI
Jihad jalan KAMI
Syahid cita-cita tertinggi KAMI

No comments: