Thursday, September 4, 2008

USM dipilih universiti Apex pertama

PUTRAJAYA 3 Sept. - Universiti Sains Malaysia (USM) dipilih sebagai universiti Apex pertama selepas mengetepikan tiga lagi universiti yang turut disenarai pendek iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, pemilihan itu bermakna USM kini memikul peranan penting untuk menjadi universiti terbaik dunia dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

''USM dipilih sebagai universiti Apex selepas ia diberi penilaian yang lebih tinggi dalam tiga aspek iaitu keadaan semasa, kesediaan untuk berubah dan penyediaan pelan transformasi," katanya pada sidang akhbar di kementeriannya di sini hari ini.

Universiti Apex ialah pengiktirafan yang diberikan kepada institusi pengajian tinggi tempatan untuk menjadi penanda aras di peringkat dunia dalam bidang pengajian tinggi.

Di bawah program itu, USM disasarkan untuk disenarai dalam ranking 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh lima tahun dan ranking 50 terbaik menjelang 2020.

Ditanya mengapa universiti tertua iaitu UM tidak dipilih, Khaled berkata, sejarah bukan faktor yang diberi penilaian dalam pemilihan universiti Apex.

''Ia bukan tentang mana universiti yang lebih awal ditubuhkan, ia adalah mengenai universiti mana yang boleh mencapai transformasi pengajian tinggi ke arah bertaraf dunia," katanya.

Beliau berkata, pemilihan USM sebagai universiti Apex akan merangsang universiti-universiti lain untuk meneruskan usaha ke arah kecemerlangan di peringkat dunia.

''Ini tidak bermakna selepas USM dipilih sebagai universiti Apex, universiti lain akan ditinggalkan.

''Kita bukan nak letakkan ranking antara universiti ini, ketiga-tiga universiti penyelidikan yang lain juga mempunyai kekuatan sendiri," katanya.

Mengenai autonomi urus tadbir dan peruntukan yang akan diberikan kepada USM, Khaled berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dengan pihak universiti.

''Soal urus tadbir dan kewangan serta pelan pelaksanaan program Apex akan dibincangkan. Kita akan panggil mereka untuk mewujudkan pelan implementasinya.

''Universiti Apex akan kemukakan cadangan bajet untuk tempoh lima tahun dalam pelan transformasinya. Kita akan pertimbangkan cadangan itu setiap kali bajet negara dibentangkan," katanya.

Ditanya sama ada lebih banyak universiti akan dipilih untuk menyertai program Apex, Khaled berkata, perkara itu akan ditentukan melalui prestasi USM.

''Jika USM bergerak cepat, mungkin kita akan pertimbangkan untuk mewujudkan lebih banyak universiti Apex," katanya.


sumber: utusan.com.my

No comments: