Tuesday, January 20, 2009

Kerajaan tak bina IPTA baru: Khaled

584 universiti, kolej swasta cukup tampung pelajar

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan menambah bilangan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kerana 584 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang ada ketika ini cukup untuk menampung permintaan mereka yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat itu.


Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata selain untuk mewujudkan persaingan sihat di antara IPTA dan IPTS, langkah itu juga sebahagian daripada usaha kerajaan untuk melihat IPTS di negara ini setanding dengan pencapaian universiti awam.


�Kerajaan ingin melihat IPTS setanding dengan IPTA dan kalau boleh lebih maju dan mampu mengatasi pencapaian universiti awam.


�Perkara ini tidak dapat dielakkan kerana fenomena ini berlaku secara global. Ia bertujuan menampung tuntutan mendadak pelbagai pihak, selain saluran terbaik dalam meningkatkan kemajuan diri dan pembangunan sesebuah negara,� katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat Tahun Baru 2009 Kementerian Pengajian Tinggi di sini, semalam. Hadir sama, Timbalan Menteri, Datuk Idris Haron.


Pada majlis itu, Kementerian Pengajian Tinggi turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM160,600 kepada Timbalan Ketua Setiausaha 2, Kementerian Luar, Datuk Mohd Kamal Yan Yahya bagi disalurkan kepada Tabung Khas Palestin.


Ketika ini, ada sejumlah 20 IPTA, manakala 584 IPTS di seluruh negara meliputi 41 universiti dan kolej universiti, serta 543 kolej dan politeknik yang beroperasi secara aktif.


Mohamed Khaled berkata, beliau sudah mengarahkan Jabatan Pengajian Tinggi meningkatkan pemantauan di IPTA dan IPTS terutama sekali berkaitan sukatan pelajaran yang ditawarkan dalam memastikan kualitinya menepati piawaian antarabangsa.


�Langkah itu secara langsung memberi gambaran keseluruhan mengenai kedudukan universiti awam dan swasta dalam sistem pendidikan kebangsaan,� katanya.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 66,782 pelajar antarabangsa mengikuti pengajian di institut pengajian di negara ini pada 2008.


Katanya, jumlah itu dijangka meningkat sehingga 80,000 pada 2010 kerana negara ini menawarkan kos pengajian yang rendah tanpa mengabaikan aspek kualiti.


Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sedia menimbang untuk menambah dana daripada RM100 juta yang diperuntukkan ketika ini jika program latihan di industri yang dilaksana dengan kerjasama kementerian lain dengan syarikat swasta mendapat sambutan.


Katanya, kementerian memandang serius isu graduan gagal memenuhi kehendak pasaran kerja lebih-lebih lagi ketika negara menerima tempias daripada krisis ekonomi dunia, tetapi tambahan peruntukan bergantung kepada keadaan semasa serta keperluan graduan.

sumber: berita harian (klik tajuk)

No comments: