Thursday, January 15, 2009

Nazrin: Beri perhatian jurang antara umat Islam

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah, jurang pencapaian antara umat Islam yang kaya dan miskin, yang berada di bandar dengan di luar dan di pinggir bandar, serta yang berilmu dengan yang kurang berilmu, juga perlu diberi perhatian.

Ini adalah kerana keadaan ini "meletakkan umat Islam sesama sendiri berada pada dua hujung pola yang semakin berjauhan," titah baginda, lapor Bernama.

judges conference 090408 raja nazrinKeadaan ini "akan bertambah buruk apabila umat Islam yang telah mencapai kejayaan dan memiliki kekayaan bersifat tamak dan bersikap haloba. Tidak mempunyai keinsafan memenuhi tanggungjawab fardu kifayah untuk membantu masyarakat yang masih tertinggal," titah baginda.

"Jurang yang berlaku disebabkan faktor-faktor geografi, milik kekayaan, penguasaan ilmu, penguasaan kemahiran, juga kelainan pendekatan politik harus dirapatkan.

"Ummah yang belum begitu kuat pada hari ini, tidak dapat lari dari memerlukan peranan penting kerajaan dalam menggubal dasar yang pragmatik disusuli dengan langkah pelaksanaan yang berkesan," titah baginda.

Raja Muda Perak bertitah umat Islam pula tidak harus terlalu dibelenggu dengan minda rendah diri dan rasa hilang keyakinan.

Malah mereka wajib memberi fokus dan mengambil iktibar daripada contoh-contoh kejayaan yang telah membantu mengubah nasib dan pencapaian ekonomi ummah, titah baginda.

"Tabung Haji, Felda, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Permodalan Nasional Berhad dan Petronas adalah antara contoh kejayaan dasar dan kejayaan institusi nasional yang diilhamkan, dibangunkan, diuruskan dan dimajukan oleh umat Islam di negara ini," titah baginda.

Tabungan moden secara halal

Raja Dr Nazrin bertitah Tabung Haji yang ditubuhkan kerajaan melalui Akta Parlimen pada tahun 1962, hari ini diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai satu badan urus niaga yang bukan sahaja berjaya mengendali urusan jemaah haji secara tersusun tetapi turut berjaya mengurus dana Kewangan Islam secara cekap, bijak lagi produktif.

"Bermula dari budaya umat Islam menyimpan wang bagi keperluan haji, di bawah-bawah tilam, di dalam bantal, di atas para rumah, dan di dalam tempayan beras, telah dihijrahkan kepada konsep tabungan moden secara halal.

"Satu idea yang dicetuskan oleh pemikir Islam Ungku Abdul Aziz lalu dilaksanakan sehingga mencapai kejayaan cemerlang, membuktikan kehebatan umat Islam menguruskan dana melebihi RM17 bilion secara canggih lagi produktif, memegang amanah 4.4 juta pendeposit," titah baginda.

Sementara itu, Raja Nazrin juga bertitah, umat Islam amat memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil, yang mampu mentadbir dengan cekap dan bijak.

Titah baginda, umat Islam juga memerlukan sebuah kerajaan yang memiliki latar belakang, pemahaman dan simpati yang tinggi terhadap keperluan ummah supaya dapat memberi tumpuan kepada usaha-usaha membawa kemakmuran kepada ummah.

Bagi Malaysia, dalam tempoh 51 tahun negara mencapai kemerdekaan, pencapaian sosioekonomi di kalangan sebahagian umat Islam telah meningkat, malah jumlah umat Islam yang mendapat peluang pengajian tinggi berlipat ganda dan menghasilkan pertambahan bilangan profesional serta teknokrat Islam di negara ini.

Jurang pencapaian melebar

Baginda bertitah demikian semasa menutup Kongres Ekonomi Islam Ketiga di Kuala Lumpur hari ini.

Raja Dr Nazrin bertitah pada hakikatnya, bilangan umat Islam yang mencapai paras sosioekonomi yang lebih baik pada tahun 2009 nyata jauh bertambah berbanding tahun 1957.

Namun, umat Islam tidak sepi daripada merasa bimbang dan terancam apabila angka-angka pencapaian itu dilihat secara relatif dengan angka pencapaian orang bukan Islam, yang memperlihatkan berlakunya jurang yang semakin luas, yang membuktikan kadar pencapaian umat Islam adalah lebih kecil daripada kelajuan pencapaian bukan Islam, titah baginda.

Raja Dr Nazrin bertitah malah jurang pencapaian lebih lebar mungkin ditemui apabila dilakukan perkiraan kejadian ketirisan ekonomi dan kes pegangan ekuiti secara proksi.

"Jika ketirisan ekonomi berlaku dan jika pegangan ekuiti secara proksi menjadi norma, apalah ertinya dasar yang digubal untuk membela ummah bila berlaku kegelinciran di peringkat pelaksanaan.

"Keadaan demikian pastinya merugikan ummah, ibarat memagar kelapa condong; pohonnya tumbuh di kebun kita, buahnya jatuh ke kebun orang," titah baginda.

sumber: malaysiakini.com

No comments: