Sunday, January 18, 2009

'Ramai remaja kini puja syaitan'

KUALA LUMPUR: Elemen satanisme atau pemujaan syaitan yang disebarkan oleh pengaruh Black Metal, filem dan drama seram kini menjadi ancaman kepada remaja Islam kerana boleh memesongkan akidah mereka.

Mengikut kajian sekumpulan 10 penyelidik Universiti Malaya mengenai ‘Elemen Satanisme dalam Trend Kepenggunaan Media di Kalangan Belia Islam’ lebih setahun mulai September 2007 hingga Disember 2008, mendapati pengaruh pemujaan syaitan itu kian menular di kalangan belia Islam.

Berikutan itu mereka menyarankan silibus pendidikan agama Islam di sekolah dipinda dengan memasukkan elemen berkenaan bagi memberi pendidikan kepada anak supaya lebih memahaminya dan dapat mengelak daripada terpengaruh.

Silibus sedia ada tidak memberi tumpuan khusus mengenainya, sebaliknya cuma menekankan aspek pengajian asas agama Islam.

Elemen satanisme – ajaran sesat dipelopori Church of Satan yang mempunyai ramai penganut di Barat, mengagungkan syaitan dan disebarkan menerusi pengaruh Black Metal, komik animasi, permainan video, filem dan drama seram, lagu rock serta buku yang diseludup masuk ke Malaysia.

Salah seorang penyelidik yang juga pensyarah di Akademi Pengajian Islam, Profesor Madya Dr Che Zarrina Sa’ari berkata, apa yang menyedihkan masyarakat lebih melihat dadah dan mat rempit sebagai ancaman utama tanpa menyedari bahaya satanisme yang membabitkan perbuatan syirik.

“Hasil kajian kami menunjukkan ramai belia Islam tidak menyedari ancaman itu dan menganggap elemen pemujaan syaitan menerusi filem di televisyen sebagai satu keseronokan semata-mata.

“Anehnya pada masa sama, perlakuan dan tindakan mengagungkan syaitan, termasuk memaparkan simbol syaitan pada pakaian serta aksi tangan itu sudah boleh menjejaskan akidah mereka. Inilah yang harus kita sedar dan tangani segera,” katanya kepada Berita Minggu.

Katanya, berbeza ajaran Islam yang menyenaraikan syaitan sebagai gangguan yang perlu dilawan manusia, satanisme sebaliknya mengagungkan syaitan sebagai wira dan amat berkuasa.

“Apa yang menyedihkan, ramai remaja Islam yang kami temui mengakui mereka tidak tahu cara melawan pengaruh satanisme ini kerana tidak didedahkan bahayanya sama ada menerusi ibu bapa mahu pun di sekolah,” katanya.

“Justeru, kita berasakan kerajaan perlu melakukan sesuatu, termasuk meminda silibus sedia ada bagi menyenaraikan satanisme ini sama bahayanya dengan gejala najis dadah.”

Che Zarrina berkata, kumpulan penyelidik berkenaan yakin penyebaran satanisme itu sebahagian senjata dalang yang mahukan remaja Islam sesat.

“Ramai di antara kita sendiri tidak menyedari bahaya satanisme biarpun ancaman itu sudah wujud. Masalah itu mungkin tidak ketara sekarang, tetapi ia boleh berleluasa dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan, tujuan kajian itu bukanlah untuk mencetuskan panik di kalangan masyarakat, tetapi mewujudkan kesedaran mengenai ancaman satanisme seawal mungkin.

sumber: berita harian (klik tajuk)

No comments: