Friday, January 25, 2008

AKU MALAYSIA; DENGARLAH RINTIHAN HATIKU...

Aku sebuah negara bernama Malaysia. Aku terletak di Asia Tenggara. Jiran-jiranku Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei dan Laos. Aku di kategorikan dalam negara-negara sedang membangun. Sebab itu masa zaman Tun Dr. Mahathir digagaskan Wawasan 2020 sebagai tanda aku sudah maju pada tahun 2020. Rakyatku berbilang kaum. Terdapat tiga kaum majoriti iaitu Melayu, Cina dan India disamping terdapat berpuluh-puluh lagi suku kaum lain.

Aku ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Pemimpinku sering melaung-laungkan kemajuan yang hendak dikecapi pada masa akan datang. Pelbagai usaha dilakukan bagi menjayakan matlamat Wawasan 2020. Banyak bangunan-bangunan mencakar langit dan kilang-kilang dibina. Menara KLCC antara yang tertinggi di dunia. Litar Anatarabangsa Sepang antara yang termoden di dunia. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara yang terbesar di dunia.

Namun, aku sedikit khuatir dan keliru. Adakah hanya pembangunan material yang dibangga-banggakan pemimpin dan rakyatku. Aku sedih bila melihat pelbagai masalah sosial dan keruntuhan moral masyarakatku. Krisis kepimpinan yang memalukan. Pemimpin terlibat dengan rasuah, menyalahguna dana awam, salah laku dan skandal seks dan menipu rakyat dengan membolot kekayaan khazanah bumiku. Di depan rakyat, mereka adalah hero yang akan membela nasib rakyat. Tapi dibelakang hanya mengenyangkan perut sendiri dan keluarga.

Aku amat sedih bila melihat rakyatku semakin parah. Jenayah pembunuhan kejam setiap hari berlaku. Setiap hari lapan orang wanita menjadi mangsa rogol. Gejala Mat Rempit semakin menjadi-jadi. Anak-anak muda menjadi hero dijalanan mendapat mati ‘syahid’ yang tak diiktiraf oleh Sang Penguasa Hari Pembalasan kelak. Remaja-remaja sudah pandai merogol, merompak, menagih dadah dan membunuh. Oh tidak! Aku tidak percaya semua ini berlaku pada diriku. Aku ini Malaysia yang dikatakan negara Islam Hadhari. Kenapa harus jadi begini?

Aku semakin bingung, kemajuan apakah yang dikejar-kejar oleh pemimpin dan rakyatku? Adakah kemajuan seperti Amerika Syarikat dan Britain? Mereka sudah lama maju. Aku baru negara membangun. Jika aku terus mengikut dan mendambakan kemajuan seperti mereka sampai kiamat pun tak maju. Bila aku sudah maju seperti dalam Wawasan 2020, negara maju lain seperti US dan Britain seratus tahun lebih maju dari aku. Jadi maju yang macam mana? Maju yang merosakkan tamadun bangsa dan rakyat? Rakyatku yang suatu ketika dulu penuh dengan nilai-nilai kemanusiaan, tatasusila, adab dan sopan kini menjadi rakus dan durjana.

Oh! Aku sangat risau dan runsing. Apa yang perlu aku lakukan? Wahai manusia! Jangan kau jadi rakus dan durjana. Kau diutus ke dunia untuk mengimarahkan bumi ini dengan kebaikan, keadilan dan ketaatan pada yang Esa. Utamakanlah pembangunan insan dengan ilmu dan iman kepada-Nya. Seimbangkan antara pembangunan rohani dan jasmani, moral dan material. Jangan kau jadi rakus untuk kepentingan diri dan kroni. Jangan sampai aku merajuk dan membrontak. Kelak akan binasa semua yang tak berdosa. Aku Malaysia! Aku nak rakyat yang bertamadun dan taat pada yang Esa. Islam pernah mempunyai empyar yang luas mengusai 2/3 dunia. Tamadun Islam dibina atas dasar ilmu dan ketaqwaan. Itulah yang aku impi-impikan selama ini. ARGH! Tolonglah aku...Tolonglah...sudah 50 tahun aku medeka. Tapi fahamilah bangsaku masih dijajah dan dibelengu kejahilan...Aku Malaysia!

No comments: