Monday, July 28, 2008

Majlis Fatwa putuskan caj PTPTN perlu berkonsep upah

PUTRAJAYA: Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan caj perkhidmatan yang dikenakan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN) hendaklah berkonsepkan upah sejajar matlamat penubuhannya untuk membantu pelajar membiayai pengajian.

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata kadar upah yang dikenakan itu juga mesti bersesuaian dengan perkhidmatan yang diberi dan tidak membebankan peminjam.

"Jika konsep upah ini digunakan, kadarnya mestilah berbaloi dengan kerja dan tidak membebankan pelajar," katanya kepada Berita Harian selepas mempengerusikan muzakarah khas Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan di sini.

Mesyuarat khas bagi membincangkan isu PTPTN itu berlangsung kira-kira satu setengah jam dan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz.

Difahamkan, konsep upah itu membabitkan formula kos sebenar pengurusan PTPTN sepanjang tempoh pinjaman yang dicampur bersama pinjaman peminjam bagi menggantikan caj perkhidmatan tiga peratus yang digunakan sebelum ini.

Abdul Shukor berkata, mesyuarat itu tidak menetapkan satu kadar yang tepat, tetapi beliau menjangka kadar baru itu akan memuaskan hati semua pihak kerana ia bersesuaian dengan kehendak syarak.

"Kita serahkan kepada PTPTN untuk menentukan corak pengiraannya dan pengumuman mengenainya akan dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin).

"Kita fikir mereka (orang ramai) akan berpuas hati kerana kerajaan, khususnya Kementerian Pengajian Tinggi sentiasa mencari jalan supaya masalah ini (caj perkhidmatan) dapat diselesaikan," katanya.


Pindaan AUKU jangan 'sekerat-kerat' - GMMA

Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dikemukan oleh kerajaan mesti menyeluruh dan "bukan sekerat-sekerat", kata Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA).

"Kami bukan hendak sangat terlibat (dalam pindaan AUKU). Tetapi, hak-hak mahasiswa mesti dijamin betul-betul, bukan sekerat-sekerat.

"Perkara ini penting, mahasiswa (di masa depan) akan menentukan kepimpinan negara," kata penyelidik perundangan gabungan itu Faridzul Nasarudin yang turut mewakili GMMA bertemu ahli-ahli politik, termasuk timbalan menteri pengajian tinggi Datuk Idris Harun.

Pertemuan yang bermula 17 Julai lalu bertujuan membincangkan pindaan akta tersebut yang dijadualkan dibahaskan Ogos depan.

Pihak lain yang ditemui termasuklah Kelab Ahli Parlimen BN (BNBBC) dan Pakatan Rakyat.

Menurut Faridzul, yang juga presiden Persatuan Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, aktivisme mahasiswa dalam politik "biar terlibat sepenuhnya", termasuklah dalam persatuan berasaskan politik dan program-program politik.

Alasan bahawa pembabitan itu boleh mengganggu prestasi akademik pelajar tidak boleh diterima, tambahnya.

"Selama ini prestasi (akademik) tidak juga bagus. Mungkin dengan formula baru ini (terlibat dengan politik) akan memberi kebaikan kepada mahasiswa," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, GMMA mahukan AUKU dimansuhkan dan digantikan dengan akta baru – termasuk menimbangkan cadangan yang dikemukakan gabungan itu dalam 'Piagam Agung untuk Akta Mahasiswa 2008'.

Pada 25 Jun, GMMA mengemukakan "akta alternatif" itu kepada kerajaan yang dianggap dapat memberi kebebasan berpersatuan, bersuara, kebebasan akademik dan terlibat dalam politik.

Akta alternatif ini menjamin hak-hak mahasiswa yang selari dengan nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusi seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Perisytiharan Hak Asasi Manusia (UDHR) dan Piagam Bangsa-bangsa Bersatu.

Faridzul yang turut terlibat dalam penyelidikan merumus piagam itu berkata dokumen itu diserahkan kepada kepada Idris dalam pertemuan mereka di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Turut hadir dalam pertemuan itu, lima ahli BNBBC termasuk pengerusinya Datuk Seri Tiong King Sing dan ahli parlimen Muar, Razali Ibrahim.

GMMA disertai sepuluh wakil termasuk penyelarasnya Teh Yee Keong dan anggota-anggota persatuan bawah gabungannya.

Pemansuhan akta itu seperti mereka bawa bagaimanapun, menurut Faridzul, tidak dipersetujui oleh Idris dan wakil-wakil BNBBC.

Faridzul mencadangkan AUKU dimansuhkan dahulu sebelum menggubal akta baru.

"Akta-akta baru tentang pentadbiran dan kebebasan akademik, (boleh) fikirkanlah (kemudian). Yang penting, mansuhkan dulu (AUKU), kemudian kalau ada bahagian yang sesuai, ambil. AUKU mesti dimansuhkan. AUKU telah lama menghantui mahasiswa," katanya.

Perkara lain yang dipersoalkan oleh gabungan itu, kata Faridzul, termasuklah bidang kuasa menteri dalam "mengklasifikasikan halal-haram sebuah persatuan".

Menurutnya, dalam pertemuan, Idris mempertahankan peranan kementeriannya untuk menguruskan pentadbiran universiti.

Mereka juga menuntut kerajaan menubuhkan jawatankuas khas membincangkan pindaan AUKU tetapi idea itu tidak dipersetujui kerana BNBBC menganggap cadangan GMMA "merupakan idea pembangkang".

Aduan dan cadangan mereka mereka tentang tatacara pilihanraya kampus bagaimanapun diberikan perhatian oleh BNBBC, tambah Faridzul.

Sehari selepas itu, GMMA bertemu wakil-wakil DAP dan PAS untuk tujuan yang sama.

GMMA merancang mengadakan forum kebangsaan membincangkan pindaan AUKU pada 8 Ogos melibatkan wakil kerajaan, pembangkang dan wakil mahasiswa, kata Faridzul.

Sementara itu, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) berkata, cadangan menteri pengajian tinggi Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin kelmarin untuk membenarkan pemimpin parti politik termasuk pembangkang menyampaikan ceramah di kampus yang ada kaitan dengan sesuatu bidang pengajian akan memberi kebaikan kepada mahasiswa.

"Pada pandangan saya, mahasiswa seharusnya didedahkan dengan perbincangan isu-isu semasa berkaitan pentadbiran negara dan perkara yang berlaku dalam masyarakat supaya memberi peluang kepada mereka untuk menyatakan pandangan dan idea," kata exco akademik persatuan itu Mohd Ridzuan Mohammad.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata setelah meneliti cadangan pindaan akta tersebut, PMIUM berharap dapat melahirkan mahasiswa yang mampu memimpin persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Pindaan itu juga diharapkan mampu melahirkan mahasiswa yang kritis dan terbuka dalam memberikan pandangan dan idea terhadap sesuatu isu yang berlaku dalam dan luar negara," katanya.

Caj PTPTN tidak langgar syarak - MFK

PUTRAJAYA 28 Julai – Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan caj perkhidmatan yang dikenakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke atas peminjamnya tidak menyalahi syarak tetapi mahu kadar tiga peratus sedia ada diturunkan bagi meringankan beban pelajar.

Pengerusinya, Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, keputusan itu dicapai hasil muzakarah khas yang dipengerusikan beliau bersama wakil PTPTN di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.

Menurut beliau, sebelum ini caj perkhidmatan yang dikenakan PTPTN ialah empat peratus pada 1997 sebelum ia diturunkan kepada tiga peratus.

‘‘Setelah diberi penerangan mengenai upah operasi termasuk beberapa caj lain, kita bersetuju ia tidak menyalahi syarak dan tiada halangan dari sudut syariah agar ia tidak membebankan peminjam dan pemberi pinjam (PTPTN).

‘‘Jika melihat kepada prinsip, mungkin ia dapat dikurangkan sekitar satu peratus atau satu peratus setengah daripada kadar sedia ada setelah dibuat perkiraan semula termasuk mengambil kira caj upah dan operasi,” kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

Baru-baru ini, pelbagai pihak termasuk peminjam menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap PTPTN kerana mengenakan caj tiga peratus daripada jumlah pinjaman yang perlu dibayar semula selepas pelajar menamatkan pengajian.

Berikutan itu, Majlis Fatwa Kebangsaan diminta menyemak caj tiga peratus itu bagi mengelak wujudnya unsur riba seperti didakwa oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Setakat ini terdapat hampir 1.14 juta peminjam PTPTN dengan nilai pinjaman mencecah RM23 bilion.

Bagaimanapun, sebanyak 49 peratus daripada mereka masih gagal membayar balik pinjaman yang berjumlah hampir RM708 juta.

Abdul Shukor berkata, perubahan caj perkhidmatan baru yang dikenakan nanti akan ditentukan oleh PTPTN melalui Kementerian Pengajian Tinggi setelah dibuat perkiraan semula.

Lihat pindaan AUKU dalam skop lebih luas

PASIR GUDANG 27 Julai - Semua pihak perlu melihat pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dalam skop yang lebih luas dan tidak hanya tertumpu kepada Seksyen 15 dalam akta itu sahaja.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, AUKU adalah akta yang memberi peruntukan kepada banyak perkara meliputi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti dan kolej serta aspek lain.

"Bagaimanapun, orang lebih berminat terhadap Seksyen 15 AUKU yang memberi kelonggaran kepada pelajar untuk meneliti dan menilai sesuatu perkara agar mereka dapat membuat keputusan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis pelancaran Fiesta Futsal Merdeka 2008 Pasir Gudang di sini hari ini.

Seksyen 15 AUKU melarang pelajar menyertai persatuan, pertubuhan dan sebagainya kecuali diperuntukkan dalam perlembagaan atau diluluskan oleh Naib Canselor universiti terbabit.
Beliau mengulas mengenai pindaan AUKU yang memberi lebih kebebasan pelajar dan kuasa autonomi kepada universiti, selepas dibentang di Dewan Rakyat minggu lalu.

Selepas pindaan diluluskan, kesalahan di bawah akta itu bukan lagi perbuatan jenayah malah pelajar juga diberi kelonggaran menganjurkan debat melibatkan pihak luar dari universiti.
Mohamed Khaled berkata, pindaan terhadap seksyen terpaksa dibuat kerana pada waktu ini pelajar sentiasa akan terdedah kepada banyak sumber maklumat semasa menuntut ilmu.

"Kalau kita tidak buat begitu (pinda) pun, mereka memperolehinya daripada Internet, sebab itu kita melakukannya (luluskan pindaan) supaya ia dapat memelihara keadaan.

"Ini penting supaya kita boleh tahu apa tajuk yang diperkatakan dan sejauh mana mereka memahaminya kerana pokoknya, pelajar akan dapat menjana pemikiran mereka dengan lebih meluas," katanya.

PTPTN rombak bayar pinjaman?

BANGI: Jadual pemotongan semula wang pendahuluan awal memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan distruktur semula. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron, berkata sebelum ini pemotongan wang pendahuluan itu dibuat sebaik pelajar mendapat pinjaman pertama sehingga membebankan pelajar berikutan potongan sekali RM1,500 satu semester. “Bayaran dicadangkan tiga kali iaitu RM500 sekali potongan,” katanya selepas Majlis Penutup Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2008 di Institut Latihan Keselamatan sosial KWSP semalam.

Pelan tingkat mutu IPT diumum tidak lama lagi

Kemuka laporan prestasi sejak dilancar Ogos tahun lalu
PASIR GUDANG: Kementerian Pengajian Tinggi akan mengumumkan laporan kemajuan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dalam masa terdekat, kata Menterinya, Datuk Seri Khaled Mohamed Nordin. Katanya, laporan kemajuan itu akan menunjukkan prestasi perkembangan pelan terbabit sejak dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Ogos tahun lalu.
"Laporan ini nanti menunjukkan sejauh mana yang dapat kita (kementerian) laksanakan sejak akhir tahun lalu," katanya selepas melancarkan Fiesta Futsal Merdeka 2008 di Bukit Layang-layang, di sini, semalam. PSPTN yang dilancarkan Perdana Menteri pada 27 Ogos tahun lalu itu bertujuan meletakkan semula universiti sebagai gedung melahirkan generasi berilmu selain dapat memacu Malaysia mencapai Misi Nasional. Usaha untuk melahirkan 100,000 doktor falsafah atau kelayakan yang setaraf di institusi pengajian tinggi (IPT) menjadi antara agenda penting dalam satu daripada tujuh teras Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara.

Agenda itu yang dimasukkan dalam Teras Kedua iaitu Menambah Baik Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran turut berusaha melahirkan graduan berketrampilan serta mampu diterima dalam pasaran dengan lebih mudah. Abdullah ketika berucap melancarkan PSTN turut menggariskan tiga langkah yang perlu dilaksanakan untuk mencetus transformasi dalam pengajian tinggi. Abdullah dipetik sebagai berkata, langkah pertama yang akan dilaksanakan serta-merta, Lembaga Pengarah setiap IPT awam (IPTA) akan diberi lebih autonomi dalam beberapa perkara tertentu dengan harapan pentadbirannya bertindak lebih pantas merebut peluang daripada perubahan dalam pendidikan, ekonomi dan sosial. Perdana Menteri juga berharap kerjasama dengan pihak industri, peningkatan penyelidikan asas serta pengkomersialan produk penyelidikan menjadi matlamat dalam proses tadbir urus sendiri ini.

'Larangan siswa anggotai politik lawan prinsip'

Penyertaan mampu percepat kematangan sahsiah, manfaat pembangunan: Saifuddin
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta membenarkan mahasiswa menganggotai parti politik pilihan mereka dan aktif dalam politik, walaupun Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang akan melalui proses bacaan kedua di Dewan Rakyat Ogos ini menghalang mahasiswa berbuat demikian. Pihak kerajaan juga disaran tidak bimbang dengan pembabitan mahasiswa dalam politik kerana yakin langkah itu akan mempercepatkan kematangan sahsiah mereka di samping membawa manfaat kepada pembangunan politik negara.
Timbalan Menteri Pembangunan, Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata sebagai bekas pemimpin mahasiswa, beliau mengalu-alukan pindaan AUKU yang membenarkan pemimpin parti politik mendampingi mahasiswa, tetapi berharap mahasiswa dibenarkan menganggotai parti politik. "Larangan mahasiswa menganggotai parti politik berlawanan dengan prinsip pilihan raya umum apabila mahasiswa yang layak mengundi akan memilih parti politik tertentu. Saya bersetuju jika mahasiswa dilarang memegang apa-apa jawatan dalam parti politik, tetapi benarkan menganggotai parti politik pilihan mereka. "Saya tidak mahu kerajaan terus digelar 'double-standard' atau tidak adil kerana mahasiswa tidak dibenar menganggotai parti politik sebaliknya mahasiswa di luar negara diberikan kebebasan itu," katanya.

Saifuddin yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) serta bekas Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (UM) berkata, kerajaan tidak perlu bimbang pembabitan mahasiswa dalam politik kerana pegangan mereka terhadap politik akan berubah seiring peningkatan usia dan kematangan. Semalam Berita Minggu melaporkan, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemimpin parti politik, termasuk pembangkang akan dibenarkan memberi ceramah kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat ada kaitan dengan pengajian dan akademik mahasiswa apabila AUKU diluluskan Dewan Rakyat, Ogos ini.

Peminjam PTPTN mungkin dibenar tangguh bayaran

BANGI: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berpendapatan kurang RM1,500 mungkin dibenar menangguhkan bayaran pinjaman jika mereka baru bekerja dan mempunyai tanggungan berat. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata cadangan itu dibuat mengambil kira kebajikan peminjam yang baru mendapat pekerjaan serta mempunyai tanggungan yang perlu diutamakan. "Kementerian memahami ada peminjam yang baru bekerja dan tidak mampu membayar terus pinjaman mereka. Contohnya peminjam yang memperoleh gaji antara RM1,000 sehingga RM1,500, kita rasakan mereka masih tidak mampu membayar pinjaman PTPTN serta-merta kerana mempunyai tanggungan yang perlu didahulukan.
"Bagaimanapun, ini masih pada peringkat penelitian sama ada akan membawa implikasi kewangan kepada PTPTN. Tahap gaji sebenar peminjam yang membolehkan penangguhan bayaran balik pinjaman juga akan ditentukan kemudian. "Kita sedang mengkaji jumlah pendapatan yang sesuai bagi peminjam mula membuat bayaran. Mengenai berapa nilai sebenar gaji itu biarlah kementerian bentangkan kepada Kabinet dan diluluskan sebelum kita umumkan," katanya. Beliau berkata demikian selepas melancarkan Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2008 serta pelancaran buku Majlis Kepimpinan Latihan Universiti-Universiti Malaysia (Maklum), dekat sini, semalam.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, penstrukturan semula caj perkhidmatan tiga peratus PTPTN akan diselesaikan selewat-lewatnya bulan depan. "Kementerian berharap pengumuman mengenai pengurangan caj perkhidmatan itu akan diumumkan sebelum Ramadan ini. Kelewatan ini disebabkan masih terdapat kementerian yang masih meneliti beberapa aspek dalam mekanisme pengurangan caj yang akan dibuat," katanya. Sebelum ini, akhbar melaporkan kaedah baru pengiraan bayaran balik pinjaman PTPTN mengikut hukum syarak akan dibawa kepada Kabinet seterusnya diumumkan pada bulan ini. Mohamed Khaled berkata, penstrukturan semula adalah selaras dengan ketetapan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengarahkan PTPTN mengubah kaedah pengiraan caj perkhidmatan tiga peratus yang dikenakan sebelum ini.

"Kaedah mengikut syarak akan diumumkan bulan ini selepas mendapat persetujuan Kabinet. Kita mahukan satu kaedah muktamad dan benar-benar menepati kehendak syariah supaya tidak dipertikaikan dan tidak diubah lagi," katanya.

Pemimpin politik boleh masuk IPTA?


Ceramah berkaitan pengajian, akademik


BANGI: Pemimpin parti politik, termasuk pembangkang boleh memberi ceramah kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) apabila Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang dalam proses bacaan kali kedua di Dewan Rakyat Ogos ini, diluluskan. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata mereka dibenarkan berbuat demikian dengan syarat memberi ceramah mengenai isu yang ada kaitan dengan pengajian dan akademik mahasiswa


Beliau berkata, pindaan yang sudah diluluskan Kabinet itu, masih tidak membenarkan mahasiswa menganggotai atau terbabit dengan mana-mana organisasi atau parti politik, tetapi mereka boleh menganggotai persatuan atau pertubuhan tidak bertunjangkan politik. Katanya, pindaan itu dibuat bagi memberi mahasiswa dan universiti persekitaran lebih kondusif dan kebebasan dalam mencapai tahap kecemerlangan. "Terserah kepada mahasiswa atau pihak universiti jika hendak menjemput pemimpin pembangkang. Apakah maknanya seorang pelajar universiti jika mereka hanya dibenarkan jemput satu pihak saja.


"Kalau tidak dibenarkan pun mahasiswa boleh mengakses laman web, jadi lebih baik kerajaan benarkan dalam keadaan terpelihara, terkawal. Kita berada dalam dunia maklumat, setakat penguasaan ilmu saja tidak cukup kerana mahasiswa mesti ada 'talent' serta pemikiran yang tajam. "Soalnya bukan hendak jemput parti politik kerajaan saja. Misalnya, jika mahasiswa mahu mendapatkan pandangan mengenai krisis minyak dunia dan kebetulan penceramah yang dijemput adalah daripada parti politik termasuk pembangkang, pindaan AUKU itu akan membenarkannya," katanya. Beliau berkata demikian selepas melancarkan Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2008 serta pelancaran buku Majlis Kepimpinan Latihan Universiti-Universiti Malaysia (Maklum), dekat sini, semalam. Minggu lalu, beliau dilaporkan berkata, pindaan AUKU itu dibuat bagi membolehkan mahasiswa membuat keputusan dan menentukan sendiri perkara yang baik dan buruk untuk mereka.


Mohamed Khaled berkata, melalui pindaan AUKU itu juga, mahasiswa yang melakukan kesalahan mengikut AUKU tidak lagi akan dihadapkan ke mahkamah. "Jika dulu kesalahan mengikut AUKU boleh diambil tindakan mahkamah tetapi dengan pindaan ini semua penguatkuasaan kesalahan mahasiswa akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada universiti. "Tetapi tidak bermakna seseorang pelajar itu tidak tertakluk pada undang-undang negara. Jika mereka buat kesalahan mengikut Kanun Keseksaan mereka masih lagi tertakluk di bawah undang-undang negara. Contohnya, jika seseorang mahasiswa terbabit dalam demonstrasi tanpa permit, maknanya tindakan akan diambil oleh pihak berkuasa," katanya. Beliau berkata, pindaan baru AUKU juga membolehkan pelajar yang dikenakan tindakan disiplin termasuk digantung oleh pihak universiti untuk mengambil peperiksaan.

Tuesday, July 15, 2008

Terbakar atau dibakar?

Tanggal 12 Julai 2008 merupakan suatu tarikh yang sukar dilupakan oleh penduduk ‘setinggan’ Kg. Kerinchi, bukan sebab mereka mendapat apa-apa ‘habuan’ atau ‘ganjaran’ yang lumayan, tetapi sebaliknya yang berlaku apabila teratak kediaman mereka hangus dijilat api dalam sekelip mata, tiada apa yang dapat diselamatkan kecuali diri mereka sehelai sepinggang. Persoalannya di sini ialah adakah kediaman mereka benar-benar terbakar atau dibakar oleh pihak tertentu?

Sebelum itu, pihak Ma’ruf Club UIAM bersama rakan dari PMIUM dan GAMIS telah turun padang pada keesokan harinya meringankan tulang menghulurkan sedikit sumbangan berupa beras dan gula bagi meringankan beban mangsa-mangsa kebakaran tersebut. Mengikut keterangan ketua kampung yang dikenali sebagai ‘Pak Abu’ sebanyak 13 keluarga terlibat dalam tragedi kebakaran tersebut. Apa yang peliknya, tiba-tiba jumlah tersebut meningkat kepada 23 atau 50 keluarga seperti yang dilaporkan oleh sesetengah media arus perdana dimana ada nama-nama individu yang tidak dikenali tersenarai dalam kelompok mangsa yang akan menerima bantuan.

Selain itu, kebanyakkan mangsa kebakaran tersebut mendakwa bahawa rumah mereka bukannya terbakar oleh sebab-sebab tertentu, tetapi dibakar oleh pihak tertentu yang mempunyai kepentingan tersendiri. Menurut mereka, seminggu sebelum tragedi tersebut mereka telah diberi notis oleh Pihak Berkuasa yang terlibat supaya berpindah dan mengosongkan kediaman mereka tanpa sebab dan tanpa menyediakan kediaman alternatif serta jaminan pampasan yang mereka akan prolehi apabila rumah mereka dirobohkan. “Saya sangat sedih…kami sudah menetap di sini sudah 30 tahun lebih, kenapa kami dilayan sebegini, apa ingat kami binatang atau pendatang asing? Kami warga negara Malaysia yang sah, bangsa Melayu Islam. Sungguh kejam! ini semua kerja pihak tertentu. Tak payah tipu, kami tahu…, semua penduduk setinggan dilayan sebegini…” Kata seorang pak cik yang ditemuramah.

Justeru, bagi mewakili mahasiswa Islam seluruhnya, saya menyeru agar pihak pemerintah dan pihak yang terlibat supaya bertanggungjawab dan menyelesaikan masalah setinggan secara adil dan bijaksana. Mereka juga manusia, bukan binatang. Jika binatang pun kita perlu hormat, apatah lagi manusia yang sebangsa dan seagama dengan kita. Jika pihak berkuasa mahu meroboh mana-mana rumah setinggan pun, pastikan mereka mempunyai kediaman alternatif dan diberi pamapasan yang secukupnya untuk mereka meneruskan kehidupan seperti biasa. Jangan disebabkan mereka tinggal di kawasan setinggan, mereka dilayan jauh lebih teruk dari binatang!. Kebajikan dan keselesaan rakyat tanggungjawab wakil rakyat (pemerintah) yang mereka pilih. Usah menjadi pemerintah jika gagal membela nasib rakyat. Makkal Sakti!

Bagaimana Gamis perlu bertindak sebagai NGO?

Oleh: Ali Bukhari Amir


Apabila seorang wartawati bertanya pendapat saya tentang kedudukan Gamis sebagai NGO berdaftar, agak sulit untuk saya memberi pandangan. Antara sebabnya, saya dilihat sebagai 'orang lama' PKPIM. Saya mesti ikhlas dan jujur mengakui bahawa hal ini kerap mengganggu saya dalam memberikan pandangan.

Kerap dipertikaikan latarbelakang seseorang jikalau ada usul, cadangan dan kritikan baru diberikan. Oran g mungkin berkata, "Dia bukanlah orang jemaah kita. Apa yang dia tahu sangat?" Hal ini sedikit sebanyak mengundang keresahan diri ini untuk menulis.

Hal ini tak terjadi ketika mengkritik PM Abdullah Ahmad Badawi, khasnya Najib selaku TPM. Malah, hari yang berlalu tanpa sebarang kutukan membina dan kritikan membinasa ke atas Najib terasa seperti hidup tak bermakna rasanya. Sifar, hambar, tak bermaya.

Tidak pernah saya risau dengan ucapan, "Alah, dia apa tau? Dia bukan Umno. Dia hanya penulis jalanan saja yang terpaksa mengutuk kita untuk bayaran bulanan yang tak kunjung tiba." Ini kerana, pada saya, mengutuk kerakusan Abdullah dan Najib adalah suatu ibadat dan jihad akbar. Mati kerananya adalah syahid!

Jadi, saya tidak tahu, apakah dalam keadaan sekarang, teguran serta syor ini dapat dinilai sebagai suatu pandangan yang sihat atau tidak. Jadi, jika Gamis dapatlah mendengar syor yang dimajukan ini dengan positif, ia baik untuk masa depan Gamis. Insya-Allah.

Membebel

Sebelum itu, biarlah saya membebel dulu berkaitan pengalaman lalu. Saya harap bebelan dan leteran kali ini tidak pula kedengaran angkuh dan dilihat meninggikan diri pula. Saya berlindung daripada Allah di atas sifat bongkak yang menjatuhkan Iblis dan Umno, BN di dalam PRU lalu. Tsunami politik membenamkan mereka seperti tenggelamnya Fir'aun di Lautan Merah atau seperti terselamnya kapal selam Scorpene Najib dari Perancis.

Jika masih ingat, ruangan Po litik Kampus ini wujud selepas saya tulis tentang dua insiden yang menyengat rasa, merentung dan menghanguskan perasaan. Pertama, isu pembatalan pidato mengenai isu Palestin di UK M. Kedua, ialah hal aksi demo siswa yang dibatalkan di UM pada Jumaat di Masjid ar-Rahman jika tidak salah ingatan.

Kedua-dua insiden ini sememangnya tidak mungkin lekas pudar dari lipatan ingatan saya. Ini kerana, ia dibatalkan hanya kerana satu arahan yang datang daripada manusia angkuh, iaitu HEP atau pihak pentadbiran universiti. Dan, alasan pembatalan program itu sangat menyinggung hati ramai pihak. Masuk akalkah, dibatalkan ceramah isu Palestin itu hanya kerana pemidatonya tidak sehaluan fikrah dan sejalan pemikiran dengan UKM?

Sedangkan, masalah Palestin adalah masalah umat Islam dan jenayah kemanusiaan. Maka siapa pun tanpa mengira apa-apa kepercayaan, agama, fahaman, anutan tak boleh tersekat untuk membicarakan isu ini mengikut tafsiran dan fahaman mereka yang tersendiri.

Baik, kita tinggalkan hal itu dahulu. Apa yang sangat menyedihkan saya ialah masih lagi wujud perasaan takut kepada suatu kuasa yang bodoh walhal kita mahu melakukan suatu acara yang baik dan bermanfaat kepada umat. Kita tidak perlu takut sebenarnya.

Jadi di manakah pepatah yang menyatakan berani kerana benar, takut kerana salah. Kalau diteruskan juga acara itu dan terjadinya 'chaos' percekcokan (pergeseran), tentu pentadbir universiti juga yang akan malu. Semua masyarakat akan mengutuk pihak atasan IPT.

Maka, masalah ketakutan masih berlanjutan. Saya tertanya-tanya masih adakah rasa takut yang berleluasa saat ini walaupun Pakatan Rakyat telah 'merajai' 5 negeri 1 wilayah?

Dan, apakah hal Gamis dinaiktarafkan sebagai NGO itu terkaitan dengan rasa takut sebab kerap dilabel sebagai gerakan haram serta tidak diiktiraf daripada sudut akta peru ndangan negara? Bagaimanapun jika benar kita mahu berubah status kerana mahu acara kita 'halal' dan disahkan seperti forum dan lainnya, maka saya sokonglah hal tersebut.

Kembali kepada perasaan takut ini. Perasaan ini membuatkan orang yang cerdik kelihatan bodoh. Saya yakin siswa yang terlibat dalam dunia jemaah lebih cerdik jika dibandingkan dengan mereka yang tidak terlibat dengan usrah, seminar, kolokium dan lainnya.

Ketakutan telah membungkus hikmah kebijaksanaan sehingga kekerdilan itu tidak akan melayakkan kita memimpin umat pada masa depan. Hal ini sangat kuat terasa di US M ketika saya di bangku kuliah dulu.

Yang kerap diputarkan oleh rakan-rakan jemaah dulu ialah, "Awak tahu tak dengan siapa awak berdepan? Hubungan dia dengan Umno Jelutong kuat tau? Dia tu pengerusi kepada Sekretariat Timbalan-timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar IPT di Malaysia."

Semua cakap-cakap oran g jemaah ini akan membunuh keberanian dan mereka mewarisi ketakutan dan memanjangkan kerisauan ini sehinggalah bergiat dalam parti. Maka, saya menyimpan azam untuk 'membunuh' TNC HEP saya itu kerana beliau adalah Pengerusi Sekretariat TN C-TNC HEP bagi semua IPT di seluruh Malaysia .

Saya mengaku dengan ikhlas bahawa saya memang berlagak. Tapi apa salahnya berlagak dengan manusia yang congkak, angkuh dan bongkak? Musa menggunakan egonya untuk berdepan dengan Fir'aun. Tanpa ego Musa, maka dia tak akan mampu berlawan. Kepada Allah juga saya mohon perkenan agar setiap langkah saya dipeliharaNya.

Kita mesti berlagak dengan oran g yang berlagak dan angkuh. Tetapi, dengan oran g yang tertindas, diharamkan kita berlagak dan mereka ini wajiblah kita bantu.

Saya merancang untuk menjerat HEP dengan penulisan. Sebab itulah ketika ditahan, saya terus mengaku dan tidak pernah berdalih lagi. Ada k ah saya terus berhenti menulis apabila terus ditekan? Sekali-kali tidak. Apa lagi kutukan yang tidak tertimpa ke atasnya?

Strategi saya, jika saya dapat 'membunuh' ketua, kepala Pengerusi TN C-TNC HEP IPT di seluruh Malaya ini, maka secara teorinya dan idealnya, semua TNC akan jadi kecut perut dan mula berhati-hati dengan gerakan mahasiswa. Saya harap, selepas wujud gelombang ini, maka semua atau kebanyakan mahasiswa akan menjadi lebih liar dan tidak peduli lagi dengan sebarang ugutan dan ancaman Auku, HEP.

Rupa-rupanya, hal itu tak menjadi. Pada mulanya, ia seakan-akan terjadi. Tapi, pada satu tempoh, (bersandarkan kes pembatalan aksi demo di UM dan pembatalan ceramah UKM mengenai Palestin), saya dapati 'tsunami ketakutan' itu seolah-olah wujud semula.

Jiwa Tauhid pudar dan jiwa hamba masih menyala

Akhir-akhir ini, baru saya faham kenapakah Musa marah sangat apabila Bani Israel telah kembali menyembah anak lembu emas ciptaan Samiri. Musa a.s telah berjuang berhabis-habisan memasukkan ajaran Tauhid ke dalam jiwa umatnya dan memerdekakan umatnya daripada perhambaan kepada rejim Fir'aun.

Tiba-tiba amalan ahli sihir Fir'aun (Kabbalah) menyembah berhala itu masih menyala dan berkembang subur dalam jiwa Bani Israel . Padahal Yahudi telah menyaksikan bagaimana Lautan Merah terbelah dua, menelan jasad Fir'aun yang mereka takuti selama ini.

Maka, nilai-nilai Fir'aun yang masih hidup, menebal, dan berkembang subur itulah antara hal yang menyebabkan Musa berasa terlalu marah sekali. Kisah ini berlaku setelah Musa bermunajat selama 40 hari, 40 malam di Bukit Thursina. Al-Qur'an, Bible meriwayatkan kisah ini dan saya fikir kisah ini memang penting dijadikan iktibar.

Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): "Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan". � (al-A'raaf: 142)

HEP jelmaan Fir'aun. Mereka ada 'kitab' pegangan Auku dan mereka beriman kepadanya sepenuh hati dan jiwa raga mereka. HEP mahu kitab pegangan mereka ini diterima pakai oleh mahasiswa dan pensyarah yang diperalat dan diperhambakan mereka bagaikan Bani Israel pada zaman yang lalu. Saya sangat mengerti akan hal fenomena ini.

Pada nas di atas, diriwayatkan bahawa Musa naik Bukit Thursina untuk mengambil kitab pegangan baru ke atas Bani Israel bagi menggantikan pegangan lama Fir'aun yang masih lagi ada dalam jiwa umat. Di dalam catatan Yahudi, tulisan yang terpahat atas batu bukit ketika Musa menerimanya di situ dinamakan Ten Commandments (10 Rukun).

Tapi, sekembalinya Musa, dilihatnya Bani Israel masih menyembah berhala; anak lembu emas ciptaan Samiri. Baginda pun kecewa. Al-Qur'an dan Bible merakam hal ini dalam bentuk kemarahan Musa yang amat luar biasa. Musa menghempas Ten Commandments sehingga jatuh berkecai lalu mengasari saudaranya; Harun.

Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita, berkatalah ia: "Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku; mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu?" Dan ia meletakkan Lauh-lauh (yang mengandungi tulisan Taurat) itu serta ia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya kepadanya. Nabi Harun berkata: "Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum (Bani Israil) memandangku lemah dan nyaris-nyaris mereka membunuhku (ketika aku melarang mereka); oleh itu, janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku, dan jangan engkau jadikan aku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim". � (al-A'raaf: 150)

Fasa-fasa perjuangan Musa menghapuskan perhambaan

Mengambil iktibar dan pengajaran daripada riwayat perjuangan Nabi Musa a.s maka pada fasa pertama, usaha menakut-nakutkan HEPUSM (Fir'aun) merangkap 'kepala' TNC HEP satu Malaya dimulakan. Setelah agak bebas daripada ketakutan itu, saya fikir, fasa kedua harus bermula, iaitu Musa mengambil peraturan baru (10 Rukun) di Bukit Tursina.

Pada fasa kedua inilah 'senior-senior' (Musa) dalam gera kan siswa itu mestilah menyusun nota, catatan pengalaman sendiri seperti '10 Commandments' sebagai bacaan pelajar yang seterusnya. Panduan ini boleh dijadikan iktibar dan pembakar semangat juang.

Tapi, gera kan persuratan pada fasa kedua ini tidak berkembang pesat. Kebanyakan abang dan kakak yang menyusun wasiat-wasiat ini sudah berkurangan melainkan sedikit sahaja. Fasa kedua ini bolehlah disifatkan sebagai sikap Musa mengambil 'Ten Commandments' untuk dijadikan panduan kepada Bani Israel selepas mereka bebas daripada Fir'aun.

Jadi memang diakui bahawa saya sedikit kesal setelah melihat hal ketakutan dan tindakan mengalah, tunduk kepada kehendak HEP dan universiti itu lahir semula setelah saya telah khatam pengajian. Akhirnya, wujud ruangan kampus dalam Harakah, HarakahDaily.

Semoga kolum ini membidani lebih ramai kelahiran 'Musa' yang menyusun nota panduan seperti di dalam siri dan episod fasa-fasa perjuangan kedua ini. Mereka boleh membentuk khazanah. Maaf kerana masih bercakap tentang pengalaman lalu. Ia diriwayatkan semula sebagai peringatan buat semua dan bukan mahu menonjolkan keangkuhan.

Bani Israel membunuh diri

Pada episod, fasa kehidupan berikutnya wujudlah arahan langit yang meminta Bani Israel membunuh diri mereka sendiri. Mereka membunuh diri dan akhirnya dihidupkan semula. Maka, dosa syirik mereka telah pun terampun.

Namun jika pelajar takut semula kepada HEP, maka tidak perlulah mereka pergi sehingga ke tahap itu. Memadai jika disusun tindakan baru untuk pulihkan semula semangat juang, agar terisi pula jiwa kita dengan gaya perjuangan terbaru. Apakah tindakan baru itu?

Bahawa 'kesemulajadian' telah menggerakkan hati pimpinan Gamis untuk menukar corak mereka kepada sebuah NGO. Sebagai 'orang lama' dan 'orang luar', restu saya selalu hadir bersama mengiringi pada setiap jejak langkah. Tetapi, ada sumpah seranah, jampi serapah yang turut hadir jika tiada kesungguhan melaksanakan semua yang dicita-citakan.

Cabaran pertama kepada Gamis; wujudkan pejabat

Sekarang bagi melengkapkan idea kelahiran Gamis sebagai NGO, saya 'cabar' (atau syor) Gamis menunjukkan kesungguhan mereka dengan mewujudkan pejabat. Jangan lagi guna markaz, rumah jemaah sebagai tempat menyusun agenda dan mesyuarat itu.

Pejabat mestilah menjadi tempat tumpuan ramai, bukan berada di tempat yang oran g rasa sukar mencarinya. Ini ruang operasi umat. Gamis mesti bergerak di lapangan. Mereka ada ahli lembaga pemegang amanah yang ada dana khas untuk menyusun forum, seminar dan kolokium. Ini semua memerlukan duit. Ini peranan pemegang amanah yang ada duit.

Jangan marah. Ini cabaran pertama. Haruslah disahut cabaran ini. Tanggungjawab 'senior' sebagai Musa pada fasa kedua ini hanyalah menyusun nota-nota cadangan untuk panduan Gamis sebagaimana nota-nota langit; 10 Commandments memandu hidayah ke atas Bani Israel . Nota cadangan dan 'suhuf Musa' berbentuk cabaran ini lebih afdal berbanding nota bantahan berbentuk kritikan daripada 'senior-senior' terdahulu.

Sekarang, jika Gamis bersetuju, maka saya syor pejabat itu dibuka di lot-lot perniagaan di Masjid Jamek Kg. Baru. Saya ambil inisiatif peribadi untuk dapat kan maklumat. Sekadar yang saya tahu, lot-lot itu disewa pada kadar RM600 sebulan. Jika ada 12 ahli pemegang amanah, setiap ahli hanya membayar RM50 sebulan untuk kos menampung sewa pejabat Gamis itu di samping menginfakkan wang kepada masjid itu secara tidak langsung.

Bagaimana? Setuju? Kedudukannya strategik. Kalau ada aksi demo yang kerap dilakukan di Masjid Jamek Kg Baru, maka ruang operasi pejabat Gamis boleh memainkan peranan. Ramadhan semakin mendekat. Tenaga sukarela Gamis boleh membantu menguruskan hal ehwal memasak bubur lambuk yang terkenal itu. Boleh masuk akhbar pula bila wartawan buat liputan. Ini saham lagi untuk menaikkan nama Gamis. Itu pun kalau setujulah.

Cabarlah saya pula

Tentu rasa macam mahu marah saya bukan? Mungkin ada yang teringin mahu cabar saya. Ketika bermonolog dengan suara hati dapat dirasakan suara orang lain, "Ah! Beranikah si fulan itu menjaga pejabat Gamis di Masjid Jamek Kg. Baru buat sementara waktu?"

Ada k ah ahli-ahli lembaga pengarah pernah berfikir sebegini? Jika mahu cabar saya, maka saya akan sahut cabaran itu untuk pastikan saudara dapat berbakti kepada umat setempat. Gajikan saya RM200 sebulan. Saya cuba ikhtiar meriahkan pejabat Gamis setakat kudrat saya dengan syarat, mestilah hadir bantuan daripada anda juga.

Iskandar Zulkarnain ketika berjuang mengusir Yakjuj Makjuj telah meminta bantuan dari kaum yang tertindas itu juga dalam rangka membina tembok. Maka, saya pun dapat bantu juga dengan syarat ada juga bantuan daripada anda sendiri. Jadi, macam mana?

Kalau setuju, maka bolehlah kita susun jadual bekerja untuk jaga pejabat Gamis. Awas� oleh sebab Gamis akan berwajah profesional, maka dia tidak guna sukarelawan. Khidmat sukarela dapat diguna ketika permulaan. Tapi, dalam masa panjang, ia menyulitkan.

Jika takut kepada risiko usa h bicara soal perjuangan. Saya suka cabaran. Cabar-mencabar ini akan meningkatkan kematangan bersama. Dan ia tidaklah menghina dan merendahkan sesiapa. Tanpa mencabar, saya fikir ego takkan bangkit untuk membuktikan kepada umat bahawa kita mampu berbuat sesuatu. Sekarang, buktikanlah.

Bak kata W. S. Rendra , "perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata."

Pejabat sangat penting. Tanpa pejabat, segala rekod untuk rujukan pada masa depan tidak akan dapat dirakamkan. Saat Rasulullah s.a.w berhijrah bersama muhajirin, 'pejabat' atau 'ruang operasi' yang pertama dibina ialah Masjid Nabawi. Di situ ada perhimpunan.

Apabila wujud jemaah, perhimpunan, perkumpulan, maka wujudlah idea dan pemikiran. Dari situ, mungkin Gamis boleh wujudkan akhbar atau risalah untuk dijadikan pedoman kepada jamaah dan penduduk setempat. Mungkin saya boleh bantu, insya Allah.

Tetapi semua syor yang dimajukan akan terhasil jika Gamis sedia menyahut cabaran. Jika tidak, cita-cita yang tersembul di dalam kata-kata, tinggal sebagai bingkai kenangan yang layak dipamerkan dalam muzium perjuangan sahaja.

Kepada wartawati yang setia menulis darihal alam mahasiswa itu maka inilah jawapan ke atas sikap dan pendirian saya berhubung sikap Gamis yang mahu berubah ke arah NGO itu. Akhirul kalam, saya mohon maaf sekali lagi kepada Gamis dan mana-mana gera kan pelajar yang lain jika ada keterlanjuran penulisan sebagai yang tercatit di atas.

Mengutuk Abdullah dan Najib tidaklah saya perlu minta maaf sebegini. Segala kritikan di atas jika disambut, maka kebaikannya akan berbalik kepada Gamis juga. Akhirnya segala yang baik itu datangnya dari Allah, yang buruk datangnya daripada Abdullah.

Monday, July 14, 2008

Siswazah Pengajian Islam diberi latihan kemahiran

SEPANG 13 Julai - Siswazah jurusan pengajian Islam akan diberi latihan untuk memperoleh kemahiran tambahan bagi membantu mereka mendapat tempat di alam pekerjaan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, siswazah jurusan tersebut sering bermasalah untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan nilai pasaran pekerjaan mereka yang tidak tinggi.

Menurut Khaled, latihan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan industri sangat dititikberatkan, memandangkan ramai di antara siswazah mengambil jurusan pengajian yang tidak selari dengan pasaran pekerjaan.

Katanya, terdapat ramai siswazah seperti ini dan bila mereka keluar tidak ada yang berminat untuk mengambil mereka bekerja sebab tiada kemahiran bersesuaian.

''Jadi, kita bercadang untuk melatih mereka di kolej-kolej komuniti selain membuat perundingan dengan industri.

''Kita juga mengatur semula program latihan industri dengan syarikat-syarikat swasta untuk memberi peluang pekerjaan kepada pelajar yang mengikuti latihan di tempat mereka selain program keusahawanan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Karier Bagi Pemimpin Malaysia Akan Datang di sini hari ini.

Khaled bagaimanapun, menafikan masih terdapat 70,000 siswazah menganggur negara ini berdasarkan program-program kemahiran yang diatur oleh kementerian selain projek keusahawanan kepada para siswazah.

''Perangkaan itu tidak semestinya betul kerana kita membuat dua perkiraan iaitu selepas tiga bulan tamat belajar atau enam bulan tetapi mengikut perangkaan, setakat ini 80 hingga 90 peratus sudah mendapat pekerjaan termasuk berniaga sendiri," katanya.

Dalam pada itu Khaled berkata, para siswazah diingatkan supaya tidak mementingkan hanya kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya perlu memiliki kualiti kepimpinan dan bersifat global.

Katanya, pihak kementerian memberi sokongan kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk melibatkan diri dalam program kualiti bagi melahirkan siswazah yang berilmu dan berpengetahuan.

Menurutnya, kementerian memberi galakkan pada siswazah dengan memberi pendedahan terhadap kualiti tambahan agar mereka dapat memberi sumbangan kepada negara sekali gus mendapat pekerjaan yang bersesuaian.

Pemuda desak siswa IPT Pakatan dibenar dekati politik

ikemaskini Pemimpin-pemimpin Pemuda menggesa Pakatan Rakyat membenarkan para pelajar mereka di institusi pengajian tinggi (IPT) - yang dimiliki kerajaan negeri - mendekati politik seperti kelulusan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Pergerakan Pemuda PKR, PAS dan DAP pada dasarnya menyokong usaha membuka ruang kebebasan di kampus di negeri Pakatan seperti UniMAP yang ditadbir Kementerian Pengajian Tinggi.

Angkatan Muda PKR berhasrat menulis surat kepada semua naib canselor dan menteri besar di negeri Pakatan minggu ini, kata ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin apabila diminta mengulas gesaan persatuan-persatuan siswa minggu lepas.

"Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan menulis surat kepada semua naib canselor dan menteri besar di negeri-negeri Pakatan Rakyat supaya membuka ruang kepada mahasiswa terlibat dalam politik di kampus," katanya.

Awal bulan ini, naib canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, dengan mendekati politik secara positif, penuntut akan terdedah kepada kemahiran berpidato, berhujah, berfikiran terbuka dan berani berhadapan dengan masyarakat.

Walaupun diberikan kebebasan itu, beliau dilaporkan yakin penuntut universitinya tidak akan melanggar AUKU.

"Setakat ini UniMAP bersih daripada sebarang rekod buruk sepanjang saya menjadi naib canselor selama enam tahun dan mereka faham hasrat universiti untuk melahirkan jurutera berkaliber dan serba boleh," Dr Kamarudin dipetik sebagai berkata.

Susulan itu, Jumaat lepas, persatuan-persatuan mahasiswa memberitahu Malaysiakini, mereka menyeru kerajaan di negeri Pakatan mengikut jejak langkah UniMAP.

PKR, DAP dan PAS - sebelum menguasai empat lagi negeri dalam pilihanraya umum Mac lalu - sering menyuarakan isu kebebasan bersuara di IPT, termasuk berkempen bagi memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Parti Mahasiswa Negara (PMN), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menyokong sekiranya kerajaan Pakatan - misalnya Universiti Industri Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Antarabangsa Islam Selangor (Kuis) yang dimiliki kerajaan negeri - membuat keputusan mengambil pendekatan yang sama dengan UniMAP.

Shamsul mengambil contoh pengamalan di negara-negara maju yang berbuat demikian dan membolehkan penuntut mereka mencapai "kematangan idea dan pemahaman tentang demokrasi".

"Di negara-negara maju seperti di United Kingdom, ada pemuda Parti Buruh, ada pemuda Parti Konservatif sebagai sayap Pemuda. Ada juga cawangan-cawangan parti politik di kampus. Pendedahan itu akan mematangkan idea dan pemahaman tentang demokrasi di kalangan mahasiswa," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau bagaimanapun berpendapat, mahasiswa tidak harus melibatkan politik kepartian semata-mata tetapi "politik baru dan ilmiah".

"Bukan sahaja (terlibat dengan) politik kepartian, sebaliknya wacana politik ilmiah, politik baru - (keadaan) ini tidak berlalu di universiti.

"(Perdebatan) isu nasional seperti harga minyak, sepatutnya dianjurkan oleh mahasiswa, (sebaliknya) kena dibuat oleh Agendadaily.com.

"Ia menunjukkan mahasiswa sudah sekian lama ditakutkan."

Esok laman web berita itu akan menganjurkan debat berhubung isu kenaikan harga minyak antara ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri penerangan Datuk Shabery Cheek dan dijangka disiarkan secara langsung di dua saluran televisyen.

Timbalan ketua penerangan Pemuda PAS, Abdullah Abdul Karim turut meminta kerajaan Selangor memberi kelonggaran kepada mahasiswa di dua IPT yang dimilikinya supaya memberi kelonggaran kepada mahasiswa terlibat dalam politik.

"Yang diperlukan adalah ketelusan dan keberanian (Selangor). Ada ruang (melaksanakannya). Saya mohon, saya minta Selangor memberi kelonggaran dalam hal ini.

"Tindakan ini bukan bermakna membuka cawangan parti politik dalam universiti, bukan bermakna partisan.

"Tetapi (dengan) membenarkan mahasiswa terlibat dalam persatuan, berdebat, pastikan pilihanraya kampus adil, boleh membuka minda mahasiswa. Dan hak ini dijamin oleh Perlembagaan (Persekutuan)," katanya.

Menurutnya, Selangor belum membuka ruang berpolitik kepada mahasiswa, berbanding UniMAP, kerana Pakatan "belum mempunyai pengalaman mentadbir"

Menurut bekas presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini, banyak lagi reformasi akan diperkenalkan oleh kerajaan-kerajaan Pakatan.

"Beri sedikit ruang. Banyak pandangan dikemukakan, akan ada perubahan," katanya.

Setiausaha Pemuda DAP Loke Siew Fook berkata menyerahkan keputusan mendekati mahasiswa dengan politik kepada kerajaan negeri.

"Terpulang kepada dasar kerajaan negeri," katanya.

Mengulas peruntukan dalam AUKU yang membenarkan naib canselor memberikan kelonggaran kepada mahasiswa mendekati politik, Loke berkata "perkara itu adalah hak pelajar sebagai warganegara dan tidak perlu meminta kebenaran naib canselor".

Penglibatan mahasiswa untuk terlibat dalam politik kepartian, walaupun itu haknya, tetapi bukanlah objektif akhir, tambahnya.

"Yang penting, suasana kebebasan di universiti. Kebebasan akademik, kebebasan membuat kajian walaupun kritikal, pemilihan dekan dikembalikan kepada golongan akademik tanpa campur tangan pemerintah.

"Itu yang penting," tambahnya, yang juga ahli parlimen Rasah. Sumber: Malaysiakini.com

Tuesday, July 8, 2008

Perhimpunan PROTES Gagal, Rakyat Naik Minyak!

KECEWA! Itulah keluhan ribuan rakyat yang hadir membanjiri stadium Kelana Jaya MPPJ pada 2 hari lepas bagi menyatakan tanda PROTES mereka terhadap kenaikan harga minyak yang keterlaluan baru-baru ini. Mereka datang dari seluruh pelosok tanah air, menghabiskan wang beratus-ratus ringgit bahkan ada yang mencecah jumlah ribuan ringgit kerana terpaksa menyewa kenderaan dan tempat penginapan semata-semata untuk memprotes kenaikkan harga minyak. Namun, apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan, pengorbanan yang mereka lakukan tidak berbaloi apabila mereka hanya disajikan dengan ceramah dan persembahan nyanyian politik Pakatan Rakyat (PR).

Mereka rasa tertipu. Sungguh-sungguh tertipu! perhimpunan yang pada awalnya diharapkan agar dapat membawa gelombang suara rakyat bagi menggugat pegangan pihak pemerintah terhadap isu kenaikan harga minyak tidak menjadi kenyataan, sebaliknya menjadi festival 'sure heboh' ala PR disebabkan kepentingan politik PR. Sudahlah bosan mendengar celoteh berterusan pemimpin-pemimpin PR dan NGO yang terlibat, disajikan pula dengan nyayian dan persembahan 'melampau' kumpulan nyayian underdog, lebih baik panggil Mawi atau Siti Nurhaliza untuk membuat persembahan, rakyat pun terhibur bukannya 'naik minyak'.

Sebelum ini PR sering melaung-laungkan bahawa merekalah 'hero' yang sentiasa memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat, tapi sebaliknya berlaku pada hari tersebut apabila perhimpunan sejuta rakyat PROTES juga membazirkan duit rakyat. Sudah pasti kos pengurusan dan perbelanjaan bagi menjayakan himpunan tersebut mencecah ratusan ribu ringgit dan yang PASTI ia adalah hasil sumbangan duit rakyat. Duit rakyat pun habis beratus-ratus bahkan beribu-ribu dalam masa sehari, akan tetapi hajat mereka tidak kesampaian bahkan rasa tertipu dan meluat dengan mainan politik Pakatan Rakyat. Pemimpin-pemimpin PR pun 2 x 5 dengan pemimpin parti politik UMNO dan BN.

Selain itu, Gerakan Mahasiswa yang terkenal dengan slogan "Mahasiswa Juru Bicara Ummah" juga gagal berperanan pada hari tersebut. Kegagalan Gabungan Mahasiswa Islam (GAMIS) dan front-front mahasiswa yang lain memobilasi mahaiswa ke perhimpunan tersebut menyebabkan Pakatan Rakyat bermaharaja lela memperbodoh-bodohkan rakyat. Sasaran GAMIS untuk memobilasi 5000 mahasiswa adalah retorika semata-mata. Jika mahasiswa benar-benar 'berkuasa' pada hari tersebut nescaya mereka mampu untuk mengepalai rakyat memprotes himpunan PROTES dan keluar di jalan raya beramai-ramai bagi memprotes kenaikan harga minyak dan menyampaikan mesej sebenar kepada massa lain dan pihak pemerintah.

Justeru, saranan saya agar GAMIS bersatu dengan front-front mahasiswa yang lain dan membentuk satu gelombang perubahan yang baru. Kali ini mahasiswa mesti 'Menerajui Perubahan' dan mengepalai rakyat bagi menyatakan bantahan dan menuntut hak-hak mereka. Mahasiswa mesti bebas dan berprinsip serta tidak bertongkatkan kepada parti politk baik BN mahupun PR jika mahu gerakan mahasiswa benar-benar digeruni dan dihormati. Marilah sama-sama kita bergandingan merealisasikan slogan "Kuasa Mahasiswa Kuasa Perubahan" dengan sebenar-benarnya di zaman yang mencabar ini.

Tuesday, July 1, 2008

Perjuangan dan idealisme Gamis dikhuatiri hilang bila jadi NGO

Hasrat front mahasiswa Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) untuk muncul sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan atau NGO mungkin akan tercapai tidak lama lagi.

Namun, ada yang berpandangan bahawa Gamis masih perlu meneliti semula peruntukan di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 yang melarang mahasiswa daripada terlibat atau memegang apa-apa jawatan di dalam mana-mana persatuan di luar universiti.

Ianya disuarakan oleh mantan Presiden Gamis, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman kepada Harakahdaily.

"Jika matlamat Gamis untuk menghimpunkan kesemua Persatuan Mahasiswa Islam seluruh Institusi pengajian Tinggi, maka setelah menjadi NGO gerakan mereka ternyata akan berbeza daripada Gamis sebelum ini," katanya.



Ini adalah disebabkan ujarnya, PMI hanya terhad kepada mahasiswa sahaja yang akan berakhir apabila mereka menamatkan pengajian di kampus.

"Bukan macam NGO yang akan kekal sehingga ke luar kampus kelak," ujarnya yang merupakan Presiden Gamis era reformasi, 1998/1999.

Sementara itu, seorang lagi mantan Presiden Gamis, Mohd Ramadhan Fitri berpendapat Gamis berpotensi menjadi kumpulan pendesak atau 'pressure group' kepada kerajaan yang ada.

"Namun semuanya bergantung kepada pendekatan yang dibawa kepimpinan Gamis selepas ini," katanya.

Ditanya mengenai pengaruh Gamis sebagai front politik di kalangan mahasiswa yang mungkin terhakis, Ramadhan yakin ianya tidak akan berlaku.

"Sepatutnya prinsip asas Gamis yang memperjuangkan agenda yang bersifat universal serta 'check and balance' tidak berubah," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, seorang lagi bekas aktivis mahasiswa era reformasi, Wan Nordin Wan Yaacob berkata mahasiswa perlu memiliki identiti serta jati diri yang tersendiri.

"Mereka sepatutnya mencontohi mahasiswa di Indonesia dan Korea yang berperanan sebagai golongan yang mampu menumbangkan kerajaan yang tidak menjalankan tanggung jawab membangunkan negara," katanya lagi.

Tegasnya, apa yang dibimbangi ialah gerakan mahasiswa tersebut kemungkinan kehilangan idealisme perjuangan yang dipegang selama ini.

"Gamis jangan jadi GPMS yang dipegang oleh orang-orang politik untuk kepentingan mereka," katanya lagi.

Tambahnya, tindakan yang diambil Gamis untuk menubuhkan NGO seolah-olah mencerminkan gerakan itu mahu membebaskan diri daripada konsep perjuangan asal mereka yang tidak hanya lantang menyuarakan isu-isu dalaman kampus sebaliknya juga isu negara.

"Kita telah melihat individu-individu yang hebat lahir daripada gerakan mahasiswa kini duduk di kerusi kerajaan pusat mahupun negeri.

"Bahkan hasil pemerhatian saya, gerakan mahasiswa kini terutamanya Gamis seperti telah kehilangan hala tuju perjuangan.

"Adakah ini mencerminkan bahawa Gamis yang suatu ketika dahulu digeruni kerajaan telah hilang kekuatan?" tegasnya.

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) telah menghantar permohonan sebagai sebuah Non-Governmental Organization (NGO) melalui satu perakuan Surat Ikatan Amanah yang telah disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah, Tuan Mohd Radzi Yasin di firmanya berhampiran bangunan PWTC 23 Jun lalu.



Setiausaha Gamis, Syaari Abdul Rahman dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Harakahdaily menjelaskan bahawa meskipun Gamis akan menjadi NGO, fungsi asas Gamis yang menghimpunkan kesemua Persatuan Mahasiswa Islam seluruh Institusi Pengajian Tinggi tidak berubah.

"Matlamat utama kami adalah untuk memastikan Gamis tidak hanya terus berpencak silat di dalam kampus ataupun di dada akhbar sahaja," katanya dalam kenyataan tersebut.

Harakahdaily dimaklumkan bahawa permohonan tersebut dibuat dengan nama "Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia" (Gamis).

Pada masa sama, Syaari menyatakan bahawa objektif penubuhan Gamis sebagai NGO akan memberikan ruang bergerak secara sah sebagaimana NGO�s lain di Malaysia.

Katanya, Gamis mensasarkan aktiviti berbentuk kebajikan khususnya berkaitan dengan peningkatan taraf, pendidikan, ekonomi, kesihatan, pembasmian kemiskinan, di samping mengadakan kegiatan dakwah dan pembangunan komuniti untuk memberi khidmat kebajikan.

Gamis juga katanya akan bekerjasama dengan badan-badan di peringkat negeri dan juga nasional.

"Semoga dengan "rebranding" ini, Gamis tidak lagi hanya popular di bibir aktivis-aktivis Persatuan Mahasiswa Islam IPT sahaja, bahkan boleh dikenali dan dinantikan kehadiran oleh masyarakat luar kampus melalui program-program 'dari kampus ke lapangan umat'," katanya.

Gamis telah diwakili oleh Timbalan Presiden, Setiausaha Agong, Timbalan Setiausaha serta dua lagi wakil aktivis selaku Pemegang-pemegang Amanah Pertama dalam Lembaga Pemegang Amanah Gamis. - mns_