Tuesday, April 29, 2008

Pertahan ketuanan Melayu: Pak Lah (Berita Terpilih)

KUALA LUMPUR 28 April - UMNO akan terus berperanan memperjuangkan ketuanan Melayu supaya kaum itu tidak dipandang rendah dalam negara sendiri, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Presiden UMNO berkata, orang Melayu tidak boleh hidup sebagai 'kuli', sebaliknya mereka perlu dilihat berada pada satu kedudukan yang sama dengan kaum- kaum lain.

Justeru, katanya, usaha untuk memajukan dan memperkasakan orang Melayu akan diteruskan tetapi dalam masa yang sama hak-hak kaum lain tetap terpelihara.

Ujarnya, masih terdapat orang Melayu yang perlu diperkasakan dan diperkuatkan meskipun ada dalam kalangan mereka ketika ini telah menempa beberapa kejayaan.

''Orang Melayu merupakan penduduk asal di negara ini dan tidak boleh hidup sebagai kuli. Oleh itu untuk menjadi 'tuan' kita perlu berjaya kerana kita mahu orang Melayu berperanan dalam pembangunan negara.

''Inilah yang dikatakan ketuanan Melayu dan bukannya hendak perintah orang lain atau memaksa kuasa terhadap orang lain,'' kata Abdullah kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan ketuanan Melayu di negara ini semakin terhakis selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac lalu.

Abdullah berkata, formula kekuatan Barisan Nasional (BN) adalah apabila wujud sifat permuafakatan yang jitu antara parti-parti komponen BN.

''UMNO memperjuangkan kemajuan orang Melayu tetapi kita tidak berhak menggunakan kuasa untuk mendominasi kaum lain. Asas inilah yang menjadi kekuatan parti komponen dalam BN.

''UMNO tidak pernah lupa bahawa kekuatan BN adalah hasil daripada muafakat dan kerjasama antara parti-parti komponen lain,'' ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebagai tunjang kepada BN, UMNO perlu menjadi sebuah parti yang mampu memberi kekuatan kepada pakatan itu.

''Bagaimanapun, kesemua ini tidak akan terhasil jika UMNO tidak bermuafakat dengan parti komponen lain. Kita bersama-sama memahami semangat ini dan inilah kunci kejayaan kita.

''Oleh itu perjuangan ketuanan Melayu selama ini adalah untuk memajukan orang Melayu dan dalam masa yang sama kita akan pastikan hak-hak kaum lain akan tetap terpelihara,'' katanya.

Sementara itu, Abdullah menyambut baik pemilihan Ahli Parlimen BN, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN-Santubong) dan Datuk Ronald Kiandee (BN-Beluran) yang dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, yang lebih menarik ialah Wan Junaidi turut mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang.

''Bagus tu... saya puji Wan Junaidi kerana beliau disenangi oleh kebanyakan Ahli Parlimen termasuk pembangkang,'' tambahnya.

Akhirnya: Tidak perlu maklum keluarga jika masuk Islam

KUALA LUMPUR 28 April - Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak/Sivil Kali ke-18 sebulat suara berpendapat bahawa tidak ada keperluan bagi mereka yang bukan Islam memaklumkan kepada keluarga sebelum memeluk agama itu.

Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz yang mempengerusikan persidangan berkenaan berkata, berdasarkan hukum syarak tidak ada nas mensyaratkan supaya seseorang yang ingin memeluk agama Islam perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada keluarga mereka.

"Ahli persidangan juga berpendapat tindakan memaklumkan keluarga diserahkan kepada kebijaksanaan individu yang ingin memeluk agama Islam itu sendiri.

"Individu yang ingin memeluk Islam akan menentukan cara, bagaimana dan bila masa yang sesuai untuk memberitahu keluarganya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Wan Mohamad, peruntukan undang-undang sedia ada mengenai kemasukan Islam dan perkara berkaitan dengannya adalah mencukupi serta amalan sedia ada akan diteruskan.

"Kaedah-kaedah pendaftaran, penjagaan dan pengajaran mualaf perlu digubal supaya lebih mantap dan berkesan," katanya.

Tambah beliau, berdasarkan hukum syarak, kewajipan dan tanggungjawab terhadap ibu bapa yang tidak memeluk agama Islam adalah tidak terhenti meskipun seseorang itu telah memeluk agama Islam.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan untuk memperkenalkan satu peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka bagi mengelak masalah pada kemudian hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membuat pengumuman berkenaan berkata, tindakan memeluk Islam yang dibuat secara senyap-senyap seperti diamalkan sebelum ini mengundang banyak masalah sehingga menyebabkan berlaku ketegangan kaum. (utusan, 28 april)

Komen:

Kenapa kerajaan war-warkan pada media awal sebelum perbincangan khusus diadakan bagi membuat keputusan sama ada nak gubal undang-undang isytihar peluk Islam atau tidak? Bukahkah ia memberikan imej dan pandangan negatif bukan Muslim terhadap Islam? Manakan tidak, orang-orang bukan Islam khususnya parti MCA telah memberi respon menyokong cadangan kerajaan dan Pak Lah untuk diadakan undang-undang khusus bagi sesiapa yang ingin masuk Islam. Tiba-tiba hari ini mesyuarat memutuskan sebaliknya. Apa yang akan bermain di fikiran bukan Muslim? Islam mengongkong, Islam tak berikan kebebasan beragama, dan Islam ada ada agenda tersebunyi. Apa pula isu yang akan dibangkitkan selapas ini? kita tunggu dan lihat. Sepatutnya kerajaan perlu berbincang dengan Ulama' terlebih dahulu sebelum mewar-warkan pada media.

Monday, April 28, 2008

Kerana Bola Prinsip Kerajaan Berubah?

Dalam satu kenyataan disiarkan akhbar harian semalam (Isnin, 28 April), Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar menegaskan pihaknya tidak ada halangan untuk membenarkan mereka datang ke Malaysia selagi ia bukan ancaman serta tidak membawa fahaman atau ideologi Zionis.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) melihat kedatangan kelab itu (Chelsea) yang memilih Malaysia sebagai salah satu destinasi mereka dalam siri jelajah Asia Timur dari aspek masyarakat dan sukan, bukan politik.

"Jadi tidak timbul isu pemain warga Israel itu menjadi ancaman kepada negara atau tidak. Visa dikeluarkan KDN dan kita tidak nampak lawatan itu mengancam negara,"katanya, sebagaimana dipetik akhbar.

Hamid Albar mengatakan demikian sebagai mengulas kedatangan pasukan bola sepak Liga Perdana Inggeris, Chelsea ke negara ini. Pasukan itu dijangka beraksi di Malaysia penghujung Julai ini. Pengurusnya, Avram Grant dan pemain pertahanannya, Tal Ben Haim merupakan warga Israel.

Apa ini semua? Jangan kerana bola sepak prinsip kerajaan berubah...Malaysia tak pernah iktiraf Israel sebagai sebuah negara dan tidak ada hubungan diplomatik langsung. Jadi, kedatangan Avram Grant (pengurus Chelsea) dan Tal Ben Haim (pemain pertahanan) ke Malaysia haruslah dihalang dan tidak diberikan keizinan oleh pihak kerajaan. Jika mereka dibenarkan datang, maka sifir mudahnya kerajaan hari ini telah mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang sah dan hubungan diplomatik sudah terjalin.

Sesiapa yang pernah pergi ke luar negara, kita boleh lihat di dalam pasport yang kita buat bahawa semua negara kita boleh ziarahi dan lawati kecuali Israel. Maksudnya, negara kita tidak pernah mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang sah. Sudah la negara kita (umat Islam) Palestin di rampas, sahabat-sahabat kita dibunuh setiap hari, dan sekatan ekonomi dilakukan secara besar-besaran terhadap mereka, tiba-tiba kerana bola sepak kita ubah pendirian dan prinsip kita dengan mengatakan ia bukan ada kaitan dengan politik tetapi hanya untuk sukan semata-mata.

Jika begitu, pasukan bola sepak Malaysia boleh mengadakan perlawanan bola sepak dengan pasukan Israel di tanah haram mereka? sukan-sukan lain pun boleh bekerjasama dengan Israel? Cuba fikir betul-betul. Kita bukannya mengahalang Chelsea untuk bermain di Malaysia, teruskan saja tapi dua rakyat Israel itu mesti berambus!

Ahli Parlimen Perlu Ambil Berat Titah Sultan Mizan (Berita Terpilih)

KUALA LUMPUR, 29 April (Hrkh) - Ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Watiqubillah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah meminta ahli-ahli Dewan Rakyat yang terpilih supaya menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, ikhlas, jujur serta sentiasa menunjukkan tingkah laku yang terpuji demi maruah diri dan negara.

Baginda bertitah demikian di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-12, di Parlimen,pagi tadi.

Baginda menegaskan ini adalah disebabkan penghormatan dan keyakinan rakyat kepada Parlimen sebagai sebuah badan perundangan tertinggi negara bergantung kepada peranan ahli Dewan Rakyat.

"Jadikanlah dewan yang mulia sebagai persada untuk menyampaikan teguran yang membina dan pendapat-pendapat yang bernas dan hendaklah menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama dan tidak menggunakan dewan yang mulia ini bagi kepentingan politik individu," tegas baginda.

Justeru baginda meminta penyertaan aktif dan perbahasaan yang berkualiti hendaklah menjadi keutamaaan ahli dewan rakyat.

Dalam masa yang sama, baginda meminta kerajaan memajukan sektor pertanian dengan matlamat menjadikannya sebagai penjana ketiga pertumbuhan ekonomi negara melalui tranformasi daripada pertanian tradisional kepada entiti komersial.

Baginda juga melahirkan rasa gembira kerana Malaysia diiktiraf sebagai peneraju pensijilan halal.

Baginda turut menegaskan, pencapaian ekonomi yang dinikmati selama ini tidak akan bermakna sekiranya rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan masih berlaku.

Justeru, baginda berkata, sepertimana yang diumumkan Perdana Menteri, usaha-usaha pembanterasan rasuah akan dipertingkat melalui perstrukturan semula BPR dan menubuhkan suruhanjaya pencegahan rasuah Malaysia, jawatankuasa Parlimen bebaskan rasuah, dan lembaga penasihat pencegahan rasuah serta penambahan bilangan pegawai pencegah rasuah.

Baginda turut berkata, kerajaan komited untuk mengadakan penambahbaikan memperkasakan sistem kehakiman negara supaya terus kekal adil, dihormati dan bebas dari sebarang pengaruh selari dengan hasrat rakyat.

"Sistem kehakiman yang adil dan efektif adalah penting untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara. Sehubungan itu, suruhanjaya pelantikan hakim akan ditubuhkan bagi membantu menilai dan memilih calon yang sesuai untuk dilantik sebagai hakim," titah baginda.

Baginda turut bertitah, pembangunan kerohanian juga penting bagi meningkatkan kesejahteraan umat.

"Beta memandang berat gejala sosial seperti penagihan dadah, penyelewengan akidah, dan sebagainya yang boleh menjejaskan kesucian Islam," titah baginda lagi.

Baginda turut bertitah bahawa pilihan raya umum telahpun berlalu dan rakyat memberi mandat sekali lagi kepada kerajaan untuk mentadbir negara.

Oleh itu, baginda menasihatkan ahli-ahli Yang Berhormat menunjukkan sifat dan tingkah laku yang terpuji agar nama baik dewan mulia sentiasa terpelihara.

"Laksanakanlah kepercayaan yang diberi oleh rakyat dengan mengambil bahagian yang aktif dengan penuh tanggungjawab dalam semangat demokrasi berparlimen," titah baginda lagi. - mks.

Luahan Hati YDP GPMS UiTM

1- Seksyen 7 (1) - Melarang pelajar atau pertubuhan pelajar daripada memanggil berhimpun atau mengorganisasikan perhimpunan lebih dari 5 orang tanpa kebenaran dari Naib Canselor atau wakilnya.

2- Sekasyen 7 (3) – Tiada pelajar yang boleh menyertai mana-mana perhimpunan yang diadakan kecuali mendapat kebenaran Naib Canselor yang diberi kuasa olehnya.

3- Seksyen 8 – Tiada seorang pelajar , pertubuhan, badan, atau kumpulan pelajar mempunyai atau mengguna atau yang ada dalam milik jagaan atau kawalannya suatu pembesar suara atau seumpamanya

4- Seksyen 9 – Larangan penggunaan bendera, sepanduk, pelekat, poster dan seumpamanya

5- Seksyen 11 – Melarang pelajar atau petubuhan pelajar daripada menjalankan sebarang aktiviti di luar kampus kecuali dengan kebenaran bertulis Naib Canselor.

6- Seksyen 12 – Melarang pelajar dari mengambil bahagian dalam apa-apa perniagaan, pekerjaan, atau lain-lain yang aktiviti sepenuh masa atau sambilan , yang menurut Naib Canselor adalah tidak diingini

7- Seksyen 15 (1) dan (2) – Melarang pelajar dan pertubuhan pelajar daripada menjadi ahli atau bersekutu dengan mana-mana persatuan, parti politik, kesatuan sekerja dan lain-lain kecuali sebagaimana diperuntukkan di bawah perlembagaan Universiti atau diluluskan terlebih dahulu secara betulis oleh Naib Canselor.

a) Larangan menerbitkan risalah

1- Seksyen 10 Larangan penerbitan dan pengedaran sebarang dokumen di dalam atau di luar kampus kecuali dengan izin Naib Canselor.

2- Seksyen 6 (1) Melarang salinan teks bagi kuliah melainkan untuk pengajiannya dengan apa-apa cara kesemua atau mana-mana bahagian dari teks itu bagi tujuan penerbitan , pembahagian, atau pengedaran sama ada mendapat bayaran atau tidak.

b) Larangan Pungutan Wang

Seksyen 15A (1) dan (2) : Larangan pelajar atau pertubuhannya daripada memungut wang atau menganjurkan dengan apa cara untuk memungut wang. Larangan tersebut boleh dikecualikan dengan izin Menteri atau diwakilkan kepada Naib Canselor dengan had dan syarat tertentu

c) Larangan sosial dan prejudis terhadap kepimpinan mahasiswa

1- Seksyen 15B (1) Pemegang jawatan atau orang yang menguruskan kumpulan pelajar adalah bersalah di atas nama persatuan tersebut melainkan dibuktikan mereka berusaha mencegahnya dan mereka akan didakwa walaupun tidak terlibat melakukan kesalahan itu.

2- Seksyen 12 – Melarang pelajar mengambil bahagian dalam apa-apa pekerjaan , penggajian , perniagaan , perdagangan , dan lain-lain aktiviti samaada sepenuh masa atau sambilan tanpa keizinan Naib Canselor

Apa yang saya senaraikan diatas merupakan sebahagian perkara daripada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang mencetuskan bantahan sejak dari awal ia diperkenalkan. Ada suara agresif memohon agar AUKU dimansuhkan. Persoalan di sini perlukah AUKU dimansuhkan.

Secara peribadi saya berpendirian bahawa AUKU tidak perlu dipinda dalam perkara – perkara diatas. Dalam setiap perkara tersebut secara jelas menyebut atas kebenaran naib canselor (boleh juga dianggap pentadbiran universiti). Jadi disini larangan tersebut bukanlah bersifat mutlak tetapi boleh lagi dibincangkan.

Apa yang perlu untuk disini adalah keterbukaan pihak universiti untuk memberi pengecualian terhadap larangan tersebut. Pentadbiran universiti tidak seharusnya melayan mahasiswa seperti pelajar sekolah kerana mereka mampu untuk menentukan baik dan buruknya sesuatu perkara. Sebagai contoh apalah salahnya jika pelajar menyertai NGO kerana ianya banyak mendatangkan manfaat kepada mahasiswa. Namun begitu penyertaan haruslah dikawal supaya NGO yang disertai benar – benar mendatangkan manfaat.

Contoh lain adalah kebenaran untuk berpolitik. Saya merasakan bukanlah menjadi masalah untuk mahasiswa didedahkan dengan reality sebenar politik semasa. Sesuatu isu seharusnya dibincangkan secara telus dan ilmiah. Namun demikian tidak perlulah sehingga mahasiswa dibenarkan untuk bertanding dalam pilihanraya.

Secara kesimpulan saya ingin tegaskan disini bahawa AUKU tidak perlu dipinda apatah lagi dimansuhkan. Pihak pentadbiran universiti seharusya lebih bersikap terbuka dalam melayan kehendak pelajar.

MOHD ABD RAUF BIN TUMIRAN

YDP GPMS UiTM

mart0619.blogspot. com

Jihad Perangi Rasuah: Kerajaan Perlu Lebih Serius

TAHNIAH kepada kerajaan kerana berusaha gigih melancarkan rancangan ‘Jihad Memerangi Jenayah Rasuah’ yang kian membarah di dalam negara kita menerusi pengumuman yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini. Langkah tersebut sememangnya wajar dilaksanakan dan diberi perhatian serius oleh semua Menteri Kabinet dan seluruh kakitangan awam kerajaan bagi membendung gejala tidak sihat ini agar tidak terus menular dan mendatangkan musibah kepada agensi-agensi kerajaan dan negara.

Rasuah merupakan jenayah yang paling merbahaya kepada masyarakat dan negara. Jika gejala ini terus dibiarkan sahaja tanpa usaha untuk membendungnya dengan lebih serius nescaya negara kita akan hancur binasa seperti binasanya ‘penagih dadah dan pengidap penyakit HIV/AIDS’. Virus rasuah ini sangat sukar dikesan dan sangat rumit untuk mengatasinya kerana ia hanya melibatkan beberapa orang individu tertentu sahaja dan dilakukan secara sulit. Oleh sebab itu Islam memberi ancaman ‘azab Neraka’ kepada individu-individu yang terlibat dengan jenayah rasuah melalui sabda Nabi Muhammad s.a.w: “Orang yang memberi rasuah dan penerimanya (akan dilemparkan) ke dalam api Neraka (di Akhirat kelak)”.

Penubuhan Suruhanjaya Anti Rasuah (SAR) oleh kerajaan baru-baru ini dilihat mampu untuk menjayakan misi membanteras dan mengawal jenayah ini dari terus merebak ke dalam masyarakat. Suruhanjaya ini mesti diberi kebebasan dan kuasa sepenuhnya untuk mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang terlibat tanpa memilih bulu jika kita ingin melihat penubuhannya berbeza dengan fungsi Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang dikatakan gagal berperanan dengan baik kerana ‘hanya menangkap bilis-bilis di lautan dan membiarkan paus dan jerung berleluasa’. Kredibiliti SAR perlu diangkat dari awal penubuhannya agar orang ramai tidak sangsi dan meraguinya.

Selain itu, usaha mencegah penularan ‘virus rasuah’ ini mestilah dilakukan di peringkat bawahan lagi. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) haruslah mengkaji dan berusaha menyediakan silibus khusus berkaitan gejala rasuah dan kesan buruknya terhadap masyarakat dan negara bagi memberi didikan dan kesedaran kepada massa amnya dan pelajar-pelajar sekolah khususnya. Langkah sesetengah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menubuhkan Seketariat Anti Rasuah di peringkat universiti masing-masing haruslah dipuji dan diberi suntikan dana yang mencukupi bagi menjayakan visi dan misi seketariat tersebut dalam mendidik dan membantu pihak universiti melahirkan mahasiswa yang berintegriti dan berkualiti tinggi.

Akhir sekali, semua pihak mestilah memainkan peranan penting dalam memerangi jenayah dan virus rasuah ini dari terus merebak dan menular dikalangan masyarakat kita. Pihak kerajaan haruslah berusaha membersihkan agensi-agensi kerajaan dan swasta dari najis rasuah disamping memberi kepercayaan dan kebebasan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Anti Rasuah untuk mengambil tindakan tegas kepada sesiapa sahaja yang terlibat. Masyarakat juga perlulah memainkan peranan sebagai ‘mata-mata’ kepada pihak berkuasa di peringkat akar umbi dengan memberi laporan segera jika terdapat amalan rasuah di dalam masyarakat. Percayalah Negara kita akan lebih maju dan makmur tanpa najis rasuah.

Peraturan Isytihar jika peluk Islam: Satu tindakan kurang cerdik

PUTRAJAYA 10 April - Kerajaan akan memperkenalkan satu peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka bagi mengelak masalah di kemudian hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan memeluk Islam yang dibuat secara senyap-senyap seperti diamalkan sebelum ini mengundang banyak masalah sehingga menyebabkan berlaku ketegangan kaum.

''Pada masa ini tidak ada peraturan itu. Oleh itu, kita perlu fikirkan satu peraturan mewajibkan orang yang hendak memeluk Islam jangan buat senyap-senyap.

''Mereka perlu beritahu keluarga kerana ini perkara penting. Kita tidak mahu berlaku masalah yang menyulitkan semua pihak terutama ketika dia meninggal dunia di kemudian hari," katanya. (Rujuk Utusan 11 April)

Langkah kerajaan untuk mewujudkan undang-undang atau peraturan khusus kepada orang bukan Islam supaya mengisytiharkan keIslaman mereka jika ingin memeluk agama Islam adalah merupakan satu tindakan yang kurang bijak dan tidak cerdik. Mengapa? Dari satu aspek ia mungkin dapat mengatasi masalah seperti yang dinyatakan di atas supaya tidak berlaku perebutan mayat ketika dia meninggal dunia.

Namun, langkah ini dianggap tidak bijak tanpa berfikir panjang kerana ia akan menyulitkan orang yang hendak memeluk Islam. Pada pandangan saya, kerajaan tidak perlu menggubal undang-undang tersebut dan berilah kebebasan kepada pihak yang hendak peluk Islam sama ada mahu mengisytiharkan keIslamannya atau tidak berdasarkan kepada situasi yang beliau hadapi.

Maksudnya, jika dia hendak peluk Islam dan tidak menghadapi masalah mengisytiharkan keIslamannya kepada keluarga maka itulah jalan yang terbaik baginya. Namun, jika dia berhajat untuk memeluk Islam akan tetapi dia akan mendapat tentangan hebat seperti ancaman putus hubungan kekeluargaan dan akan dibunuh jika beliau mengisytiharkan Islamnya itu kepada ahli keluarga maka langkah menyembunyikan atau tidak mengisytiharkan keIslamannya adalah tindakan yang terbaik.

Jadi, langkah menggubal undang-undang supaya bukan Islam mengisytiharkan keIslamannya akan menyulitkan dia untuk memeluk Islam jika dia berhadapan dengan situasi kedua bahkan mungkin hajatnya itu terpaksa dibatalkan. Islam itu mudah maka permudahkanlah segala urusan. Siapa yang sanggup terpisah dengan keluarga? Siapa yang tidak takut dengan ancaman bunuh? Mungkin dalam sejuta hanya seorang sahaja yang sanggup seperti Saidina Umar al-Khattab, namun tidak semua manusia sepertinya.


Islam juga tidak pernah menyuruh umatnya yang memeluk agama Islam supaya memutuskan hubungan kekeluargaan dengan ahli keluarganya. Ibu ayahnya tetap ibu bapanya walaupun suadah berlainan agama dan anutan. Janganlah kita suka menyulitkan keadaan. Ditanya sama ada satu undang-undang khusus perlu diwujudkan, Perdana Menteri berkata: ''Kena adakan peraturan. Bila orang itu datang hendak peluk Islam, kena tanya isteri. Dah tahu ke? Takkan dia hendak sorok pula. Kalau dia hendak peluk Islam apa salahnya."

Justeru, jika pihak kerajaan benar-benar mahu melaksanakan peraturan tersebut maka satu undang-undang lain perlu digubal bagi menjamin keselamatan dan tidak berlakunya kekecohan jika ada individu (bukan Islam) mengisytiharkan keIslamannya. Oleh itu, saya berharap agar pihak kerajaan tidak terburu-buru untuk membuat dan melaksanakan peraturan tersebut demi untuk kepentingan Islam.

Thursday, April 10, 2008

Kembalikan kuasa kehakiman: Raja Dr Nazrin


PUTRAJAYA: Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah semalam bertitah, suasana sekarang amat sesuai untuk melakukan perubahan dalam badan kehakiman bermula dengan memastikan kuasa kehakiman dikembalikan kepada badan berkenaan.


Sehubungan itu, baginda bersetuju supaya ditubuhkan Suruhanjaya Kehakiman untuk membuat perakuan berhubung pelantikan hakim kepada Perdana Menteri yang seterusnya perlu berbincang dengan Persidangan Raja-Raja. "Beta gembira mendapati bahawa sejak beberapa tahun lalu, Perdana Menteri semakin banyak berbincang secara berkesan dengan Persidangan Raja-Raja.


"Ini selaras dengan semangat Perlembagaan dan beta berpendapat ini menyebabkan keyakinan terhadap badan kehakiman semakin bertambah," titah baginda pada Persidangan Hakim-hakim Malaysia di sini. Lebih 90 Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi serta Pesuruhjaya Kehakiman menghadiri persidangan tiga hari itu.


Turut hadir, Ketua Hakim Negara, Datuk Abdul Hamid Mohamad, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zaki Azmi dan Hakim Besar Malaya Datuk Alauddin Mohd Sheriff. Raja Dr Nazrin menegaskan, badan kehakiman mesti sentiasa mempertahankan fungsi dan semangat Perlembagaan Persekutuan tanpa mengorbankan doktrin pengasingan kuasa, Rukun Negara dan kebebasan badan itu sendiri dalam menegakkan sistem keadilan.

"Hakim selaku nadi dalam sistem keadilan dan perundangan negara diberi tanggungjawab besar dalam mentafsir dan mempertahankan undang-undang termasuk Perlembagaan Persekutuan. Sebarang keputusan pentadbiran yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan mampu mengakibatkan undang-undang tertinggi kita itu menjadi tidak relevan.

"Hakim perlu sensitif dengan fungsi dan semangat Perlembagaan Persekutuan, iaitu melindungi hak setiap rakyat, bukan saja untuk memastikan keadilan tapi juga bagi mempertahankan integriti negara," titah baginda. Merujuk pelbagai dakwaan salah laku yang melanda badan kehakiman sejak kebelakangan ini, baginda menyifatkannya sebagai zaman kritikal dalam sejarah negara.

"Apa yang mendukacitakan mengenai tanggapan rendah terhadap badan kehakiman kita sekarang ialah ia pernah disanjung tinggi. Penghakiman yang dibuat oleh mahkamah kita pernah menjadi sebutan di negara Komanwel. Hakim kita pernah dihormati kerana keputusan yang bijak dan adil.
"Reputasi sebegitu hanya boleh dikekalkan jika standard tinggi yang diamalkan itu dapat dilaksanakan secara konsisten. Namun, ini tidak berlaku. Dalam tempoh 20 tahun lalu, kebebasan dan integriti badan kehakiman terhakis. Akibatnya, berlaku kehilangan keyakinan terhadap sistem kehakiman. "Semua ini adalah titik hitam terhadap maruah dan reputasi kita dan ia berpotensi melemahkan malah menghancurkan negara," titah baginda.

Sambil menegaskan Malaysia memerlukan satu 'kebangkitan dalam badan kehakiman', Raja Nazrin bertitah jika pentadbiran sesuatu negara itu tidak baik, pelabur akan mencari negara lain. "Tidak cukup untuk kerajaan sekadar menjanjikan kekayaan, rakyat turut mementingkan kebebasan dan perlindungan... daripada rasuah, penindasan," titah baginda. Baginda menegaskan, jalan penyelesaian perlu difikirkan dengan menangani isu secara realistik bagi mengatasi masalah ini supaya badan kehakiman akan lebih kuat di masa depan.

Justeru, Mahkamah Persekutuan sendiri perlu mengambil pendekatan lebih terbuka terutama ketika menyemak semula keputusan terdahulu yang mungkin mengakibatkan ketidakadilan. "Tidak boleh dinafikan bahawa ada penghakiman Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mungkin menimbulkan kebimbangan di kalangan pengamal undang-undang dan orang awam. "Jika ada keputusan yang mungkin mengakibatkan berat sebelah kepada mana-mana pihak, ia perlu diperbetulkan di peringkat Mahkamah Persekutuan dan tidak dibiarkan kekal sebagai catatan perundangan kita.

"Mencapai keadilan dan membawa perubahan dalam keadaan ketidakadilan adalah perkara induk yang menjadi asas dalam sistem perundangan dan keadilan yang bertamadun," titah baginda. Raja Nazrin bertitah, badan kehakiman perlu dikembalikan statusnya dalam Perlembagaan seperti yang pernah dinikmatinya sejak Merdeka sehinggalah 20 tahun lalu. Jika itu tidak dilakukan, doktrin pengasingan kuasa yang menjadi asas demokrasi di Malaysia, akan terus menjadi lemah. "Kita tidak boleh semata-mata cuba mendapatkan kegemilangan zaman silam tetapi hendaklah berusaha mencapai kejayaan lebih besar. Namun, dalam kita hendak menggapai bintang di langit, kita perlu berpijak di bumi nyata.

"Selagi kuasa kehakiman tidak dikembalikan kepada kepada badan kehakiman seperti juga kuasa eksekutif diberi kepada Yang di-Pertuan Agong dan Kabinet, adalah sukar untuk meyakinkan semua pihak bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang ditadbir mengikut undang-undang," titah baginda.

Monday, April 7, 2008

Antara Dua Darjat: Retak Menanti Hancur


KESIAN bila melihat 'taufan' masih membadai parti politik UMNO yang sebelum ini terkenal dengan tradisi membela dan memperjuangkan agenda Melayu. 'Tsunami Politik' yang melanda politik tanah air pada 8 Mac 2008 yang lepas menyebabkan pemimpin UMNO/BN dan seluruh ahlinya masih lagi berada dalam keadaan trauma. Bukan sahaja BN kehilangan majoriti 2/3 di parlimen Malaysia bahkan kehilangan lima buah negeri yang dikuasai mereka iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. "Hmm...tidak diduga boleh jadi macam ni" keluh seorang ahli UMNO.

Hari ini kemelut dalaman UMNO semakin membarah. Setelah berlakunya kemelut dalam pelantikan Menteri Besar Perlis dan Terengganu baru-baru ini, UMNO sekali lagi ditakutkan dengan 'kritikan pedas' oleh bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Dr. Mahathir Mohammad dan ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaligh Hamzah yang meminta Dato' Seri Abdullah Badawi berundur dan meletak jawatan sebagai PM dan presiden UMNO. Kekeruhan hubungan antara Mahathir dan Pak Lah dapat di lihat sebelum pilihan raya umum ke-12 lagi.

"Dia (Mahathir) kata dia kuat, memanglah dia kuat. Tetapi kekuatan yang digunakan ialah sesuatu kekuatan yang disalahgunakan,'' kata Pak Lah. Beliau cuba mengimbas komen Dr. Mahathir yang mempunyai nada berbeza semasa BN mencatat kemenangan besar pada pilihan raya umum 2004.

''Apa yang berlaku dulu, masa kita menang 2004, kata beliau.. 'ini kuat sangat, tak boleh, tak elok, mesti ada pembangkang'... seolah-olah dia bertolak-ansur dengan pembangkang sepanjang masa.

''Apabila pembangkang naik (menang), saya ingat kut dia nak raikan... dia hentam kita pula.

Dia kata mengapa pula jadi begini?

''Jadi menang banyak pun tak boleh, menang sikit pun tak boleh. Apa yang boleh?,'' soalnya.

Aib Mahathir di bongkar:

Beliau juga turut mempersoalkan kenyataan Dr. Mahathir yang mendakwa kebebasan media kini disekat.

''Apakah pada masa dulu tidak ada sekatan-sekatan seperti itu?'' soalnya.

Menurut Abdullah, Dr. Mahathir sendiri menghalang media membuat liputan tentang Tun Hussein Onn sejak mengambil alih jawatan daripada Perdana Menteri ketiga itu.

''Saya tahu pemberita semua dipanggil apabila Tun Mahathir mengambil alih (jawatan) Perdana Menteri, jangan (buat) berita, jangan tunjuk gambar (bekas Perdana Menteri ketiga) Tun Hussein (Onn), jangan beri berita kepada dia.

''Operasi Lalang siapa yang bertanggungjawab, saya tahu, bukan saya tak tahu. Orang tertentu jangan diberi liputan oleh akhbar. Ini adalah arahan-arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa yang saya tahu,'' katanya.

Adakah Mathathir Makin Kurang Siuman?

Tun Mahathir dilihat semakin pelik. Satu demi satu keaibannya semasa menjadi PM dibongkarkan bahkan dia sendiri mengaku menzalimi Anwar Ibrahim yang katanya tidak mempunyai apa-apa kesalahan. Turut dibongkarkan adalah krisis pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas dan hakim-hakim lain yang terlibat. Adakah tindakan undang-undang akan diambil terhadap bekas PM tersebut? Mungkin dengan tindakan tersebut sahaja yang boleh menjamin Pak Lah untuk terus kekal sebagai PM dan presiden UMNO. Jadi, kena dakwa dan ambil tindakan tegas terhadap Tun Mahathir. Penjarakan? ISA?

Ditanya sama ada Dr. Mahathir yang dikaitkan dengan campur tangan pelantikan hakim akan disiasat seperti disarankan oleh peguam yang juga Ahli Parlimen DAP, Karpal Singh, beliau berkata, ia perlu dipertimbangkan sekiranya ada bukti.

''Kalau ada tuduhan yang terbukti kepada sesiapa pun... tak kan kita nak pejam mata, tak boleh,'' katanya.

Bagaimanapun tegasnya, keputusan untuk membuka fail siasatan itu tidak akan dibuat olehnya.

''Saya tidak buka fail (siasatan). Bukan tugas saya untuk membuka fail siasatan ke atas sesiapa pun. Itu tugas Badan Pencegah Rasuah. Kalau ia rasa itu sesuatu yang sudah wajar dan ada bukti, terserah kepada mereka,'' katanya.

hmm...tak habis2 masalah dalaman & perebutan kuasa dikalangan pemimpin UMNO. Buat Tun berhentilah dari menganggu Pak Lah. Ni zaman dia...zaman Tun dah berlalu. Kesian Pak lah...Hidup Pak Lah!

Wednesday, April 2, 2008

Fatwa Al-Bouti: Hukum Kafir Bagi Orang Yang Jelas Menolak Hukum Islam

ما رأي فضيلة الدكتور إذا كان الحاكم المسلم يقرر أمام شعبه بأن الحكومة لا بد أن تبتعد عن الدين، فالدولة التي تقوم على أساس الدين ليس لها بقاء ولا رخاء بل أكثر ما يكون الى التدهور؟.

إذا اعتذر المسلم بأنه لايستطيع أن يطبق أحكام الإسلام، وأنه مضطر لمخالفة الشرع، سواء كان حاكماً في شعبه أو ربّ أسرة في أهله. يُنْظَر في أمره، فإن كان مقراً بهذه الأحكام الشرعية، فهو فاسق بمخالفته لها وليس كافراً، وإن كان غير مقرٍ بها فهو كافر مرتد.

http://www.bouti.net/fatawa


Soalan: Apa pandangan yang berbahagia Dr. Ramadhan sekiranya seorang hakim muslim membuat kenyataan di khalayak ramai bahawa kerajaan mesti menjauhi dari Agama (Islam). Negara yang berdiri di atas (dasar) agama tidak akan kekal dan sejahtera bahkan lebih teruk boleh hancur?

Jawapan: Apabila seseorang muslim tidak mampu melaksanakan hukum-hukum Islam, dan dia dipaksa untuk tidak mengikut syara' samaada dia merupakan seorang hakim bagi sesebuah masyarakat atau ketua keluarga bagi ahlinya (bapa). Kita lihat kepada situasi yang berlaku, sekiranya dia masih lagi mengakui hukum syariah maka dia jatuh fasik disebabkan cuba bertentangan dengan hukum tersebut, dan jika dia menolak hukum syariah (dengan jelas) maka dia jatuh kafir dan murtad.

Tuesday, April 1, 2008

Terkenang Dua Tanah Haram (Dalam Proses: Maaf atas kesulitan)

"Suasana di luar Masjidil Haram pada waktu malam"



"Kenangan: dari kiri; abu munzir, mofir, qeswah dan syarif"



"Belatarbelakangkan Jabal Nur (Gua Hira') tempat Nabi s.a.w. menerima wahyu pertama"


"Ketika baru tiba di Makkah"


"Jabal Rumat: Tempat tentera pemanah Rasulullah s.a.w. dalam perang UHUD dan gambar bawah merupakan Maqam Syuhada' UHUD"


KENALI MENTERI BESAR KEDAH

Ust. Azizan Abdul Razak berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar dan Undang-Undang dari Universiti of Kent, United Kingdom.

Beliau merupakan bekas Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selain pernah menjadi pensyarah pelawat Mindanao State University, Filipina sejak 1984 sehingga 1986 dan pensyarah sambilan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari tahun 1983 dan 1984 serta 1986 hingga 1995.

Azizan pada pilihan raya umum kali ini mengalahkan calon BN, Basorri Abu Hassan di kerusi DUN Sungai Limau dengan majoriti 3,212 undi.

Beliau mempunyai 14 anak hasil perkongsian hidup dengan dua isterinya.