Monday, March 31, 2008

FITNA: Kesucian Islam Dicabar Lagi


Kelab Ma’ruf (Ma’ruf Club) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan seluruh ahlinya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadap Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders yang menerbitkan filem ‘Fitna’ yang jelas menghina dan mencabar kesucian Islam. Filem tersebut menggambarkan imej-imej serangan pada 11 September 2001 di Amerika Syarikat dengan menunjukkan para pengebom yang terlibat dalam serangan itu membaca beberapa ayat al-Quran.

Islam merupakan agama rahmat bagi seluruh alam sangat menitikberatkan soal keamanan dan ketenteraman. Tidak ada dalam ajaran Islam menggesa umatnya supaya bertindak di luar batasan agama dan melakukan keganasan. Hanya golongan anti-Islam yang tidak bertanggungjawab sahaja yang menggambarkan bahawa Islam adalah agama yang menganjurkan umatnya melakukan keganasan. Jika dakwaan mereka benar, datangkan bukti yang kukuh bagi mengesahkan dakwaan tersebut. Siasatan tragedi ‘11 September’ ternyata gagal membuktikan bahawa serangan tersebut didalangi oleh pejuang Islam, tetapi sebaliknya jelas menunjukkan bahawa ia merupakan satu strategi musuh Islam bagi memburukkan imej umat Islam yang merupakan umat yang terbaik.

Kajian-kajian yang dilakukan oleh rakyat Amerika sendiri membuktikan bahawa tragedi tersebut bukan merupakan serangan pengganas yang dilakukan oleh orang Islam. Jimmy Walter merupakan antara pengkaji yang menyangkal dakwaan Washington bahawa umat Islam yang melancarkan serangan dalam tragedi September 11 melalui sebuah dokumentari yang dihasilkannya yang bertajuk ‘Confronting The Evidence’. Justeru, tindakan Wilders mengaitkan umat Islam dengan keganasan melalui filem ‘Fitna’ dilihat sengaja dilakukannya bagi menzhirkan kebenciannya terhadap Islam dan penganutnya disamping beliau cuba meniupkan api kemarahan masyarakat Islam yang belum reda dengan isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. melalui lukisan karikatur baru-baru ini.

Justeru itu, Kelab Ma’ruf menyeru umat Islam supaya menghayati, memahami dan melaksanakan ajaran Islam dengan sebaik-baiknya disamping mengelak dari melakukan tindakan yang tidak bertanggungjawab dan melampaui batas. Umat Islam mesti bersatu dan berusaha mempertahankan kesucian Islam yang saban hari cuba dicemari oleh musuh-musuh Islam tanpa mengira latang belakang fahaman politik. Kesatuan melambangkan kekuatan, itulah teras kekuatan umat Islam yang dinyatakan oleh Allah S.W.T. dalam al-Quran: “Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan (berpecah belah), yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”. – al-Anfal: 46.

Seruan kepada pihak kerajaan dan pihak berwajib supaya menghalang sekeras-kerasnya tidakan mana-mana pihak yang cuba membawa masuk dan menayangkan filem ‘Fitna’ di negara ini. Tindakan dan hukuman tegas mestilah dikenakan kepada sesiapa sahaja yang terlibat dengan usaha tidak bertanggungjawab ini disamping juga mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang cuba menghina mana-mana agama atas dasar kebebasan bersuara.

Tuesday, March 25, 2008

Syor pinda AUKU langkah positif

KUALA LUMPUR: Cadangan Kementerian Pengajian Tinggi meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi memberi pelajar dan universiti lebih kebebasan disifatkan langkah positif dalam melahirkan graduan berdaya saing. Prof Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim, berkata selain memberi mandat penuh kepada universiti membuat sesuatu keputusan, pindaan itu wajar kerana ia sebagai tanda kepercayaan kerajaan terhadap pihak berkenaan untuk lebih bersedia berdepan dunia global. Mengimbas pelaksanaan AUKU sejak 37 tahun lalu, beliau berkata, tindakan Menteri Pelajaran ketika itu seolah-olah mengongkong kebebasan pelajar untuk mempamerkan kemahiran mereka memimpin yang sepatutnya digilap ketika berada di kampus.

Malah katanya, peraturan yang tidak pernah dilaksanakan di mana-mana negara maju itu turut mengehadkan kreativiti pelajar terus aktif dalam pelbagai kegiatan terutama politik, di samping mengemukakan pandangan masing-masing. Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar semalam yang memetik Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kerajaan akan meminda AUKU bagi memberi pelajar dan universiti lebih kebebasan. Di PULAU PINANG, Universiti Sains Malaysia (USM) menyambut baik keputusan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengkaji semula AUKU.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dzulkifli Abdul Razak berpendapat sebarang kajian semula atau perubahan terhadap AUKU perlu memberi fokus kepada usaha penambahbaikan akta itu bagi kepentingan penuntut dan universiti dari masa ke masa. “Kalau apa-apa tindakan atau perubahan ia mesti bersifat penambahbaikan dan perubahan untuk menjadikan AUKU lebih relevan dengan tuntutan masa,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara USM dengan lapan organisasi media di sini, semalam. Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Prof Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali, berkata walaupun terikat dengan ketetapan kementerian, pada masa sama sama. perlu ada keseimbangan di universiti. Beliau berkata, kelonggaran antaranya membenarkan pelajar mewujudkan program berbentuk politik seperti berdebat dan mengemukakan pandangan bernas perlu digalakkan.

Pelajar universiti, katanya, adalah generasi muda yang matang, berfikiran terbuka dan sedia menerima pandangan sama ada daripada parti pembangkang mahupun pemerintah. “Senario ini menjadikan mereka lebih rasional dalam membuat keputusan. Kematangan ini sebagai persediaan mereka menjadi lebih dinamik serta mempunyai keyakinan terus bersaing pada peringkat global. “Usaha menjana modal insan ini perlu dilaksanakan mulai peringkat akar umbi dan universiti adalah institusi terbaik dalam melahirkan intelektual yang seimbang,” katanya.

Sementara itu, beberapa persatuan pelajar mahu cadangan meminda AUKU disegerakan berikutan kesannya yang jelas menyekat kebebasan dan kreativiti pelajar, sekali gus menyukarkan universiti untuk mencapai tahap kecemerlangan pada peringkat global. Langkah itu juga diharap bukan ‘omong kosong’ berikutan cadangan sama pernah diutarakan Menteri sebelum ini namun sehingga kini tidak menjadi kenyataan.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Mohd Hilmi Ramli, berkata beberapa peraturan dalam AUKU seperti Seksyen 15 (1), (2), (3) dan (4) yang melarang mahasiswa menganggotai organisasi luar kampus, melarang persatuan mahasiswa bergabung atau bekerjasama dengan organisasi luar dan melarang mahasiswa atau persatuan mahasiswa menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap organisasi luar, perlu dihapuskan. Katanya, peruntukan seumpama itu bukan saja menyekat kebebasan pelajar malah menjadikan pelajar tidak mempunyai daya saing yang tinggi. “AUKU ini menyebabkan pelajar kita pasif dan takut untuk menyuarakan pendapat mereka mengenai sesuatu isu.

Ini sekali gus membantutkan usaha pembangunan diri pelajar,” katanya. Presiden Kesatuan Pelajar-Pelajar Melayu Selangor, Datuk Mat Yasir Ikhsan, berkata 75 peratus kandungan AUKU masih relevan dan perlu dikekalkan tetapi pindaan perlu dijuruskan kepada peraturan yang mengekang pelajar daripada terbabit secara langsung dengan aktiviti kemasyarakatan di luar universiti. Beliau berkata, pindaan itu wajar dilakukan kerana jelas ada peruntukan dalam akta berkenaan mengongkong pelajar. “Kita mahu melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang dalam akademik tetapi juga di luar bidang akademik seperti interaksi dengan masyarakat sekeliling,” katanya.

sumber: http://www.bharian.com

PDRM Perlu Lebih Mesra Massa

Bersempena dengan sambutan ke-201 tahun Hari Polis semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mestilah tampil dengan imej dan kualiti kerja yang lebih baik dan berkesan. Saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meminta seluruh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghayati serta mendalami maksud tema baru pasukan itu yang diperkenalkan hari ini iaitu `Tegas, Adil dan Berhemah’, serta pemakaian lencana `Integriti Amalan Kita’ yang diharapkan dapat mening katkan prestasi dan kewibawaan pasukan mestilah disambut baik oleh semua anggota dan kakitangan PDRM.

Bagi memastikan hasrat murni itu tercapai pihak polis disarankan agar lebih mesra massa dan berhikmah dalam menjalankan tugas. Masyarakat hendaklah dilayan sebaik-baiknya dan sama rata tanpa mengira perbezaan darjat dan kedudukan seseorang termasuklah perbezaan fahaman politik. Jika pihak polis mampu berbuat demikian nescaya kita tidak akan dengar lagi rungutan seperti yang berlaku baru-baru ini apabila saudara Jazimin ayah kepada adik Nurin Jazlin mendakwa ada 'double standard' pihak polis dalam menyelesaikan kes beliau seolah-olah kes Nurin tidak diberi keutamaan.

Selain itu, pihak polis juga disarankan agar melakukan rondaan di kawasan perumahan atau tempat-tempat awam dengan berjalan kaki atau menunggang basikal. Cadangan ini penting kerana selain dapat mungurangkan kadar jenayah pihak polis juga dapat beramah mesra dengan penduduk setempat dan orang awam. Jadi, jika berlaku jenayah kecurian di kawasan perumahan misalnya, pihak polis sudah mengenali suspek tersebut sama ada orang tempatan atau orang luar bahkan tindakan segera boleh diambil jika pihak polis terserempak dengan orang yang tidak dikenali di kawasan perumahan tersebut.

Akhir sekali, tahniah diucapkan kepada seluruh anggota dan kakitangan PDRM di atas kesungguhan dan komitmen tinggi yang diberikan selama ini bagi menjamin keamanan dan kestabilan negara. Kepada kerajaan Malaysia berilah sokongan sepenuhnya kepada PDRM dengan mengutamakan kebajikan pihak polis seperti memberi gaji yang setimpal iaitu RM1500 minimum disamping menyediakan kemudahan-kemudahan yang sempurna kepada mereka bagi menjamin keselesaan hidup mereka dan ahli-ahli keluarga. Jika cadangan ini dipertimbang dan dilaksanakan nescaya kita akan dapat mengatasi amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dikalangan anggota dan pegawai polis. Dengan itu, barulah tema PDRM yang baru dapat dihayati oleh semua anggota dan kakitangan PDRM.

Pinda AUKU: Mahasiswa Sambut Baik Cadangan KPT

Mahasiswa menyambut baik cadangan Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi memberi mahasiswa dan universiti lebih kebebasan dalam usaha melahirkan intelektual generasi kedua yang lebih berdaya saing serta mempunyai daya tahan yang tinggi.

Sudah tiba masanya untuk kita menilai kembali akta tersebut dan memberi nafas baru kepada universiti dan mahasiswa untuk lebih bergiat aktif dan kreatif. Kebebasan seharusnya diberikan sepenuhnya kepada mereka agar dapat memajukan diri dan melonjakkan kredibilti universiti ke peringkat antarabangsa. Universiti berhak menentukan halatuju masing-masing untuk memberi khidmat terbaik kepada ummah dan melahirkan ramai graduan yang berkualiti tinggi untuk menjadi ejen perubahan kepada masyarakat dan negara. Justeru, tidak perlu adanya apa-apa sekatan atau akta yang boleh menyekat dan merencatkan visi atau misi sesebuah unversiti.

Selain itu, mahasiswa juga merupakan elemen yang penting untuk membawa arus perubahan dalam masyarakat. Bergelar golongan cerdik pandai dan cendikiawan muda mereka ini haruslah diberi lebih perhatian dan kebebasan untuk bergiat lebih aktif dan kreatif di dalam dan luar universiti. Mereka ini sepatutnya tidak terikat dengan mana-mana akta untuk menyuarakan pandangan, mengkritik mana-mana pihak dan terlibat dengan mana-mana pertubuhan termasuk parti-parti politik. Mengapa perlu adanya halangan dan sekatan? Jika mereka melakukan sebarang kesilapan dan kesalahan, maka ambillah tindakan yang sewajarnya dengan memberi teguran dan tunjuk ajar kepada mereka.

Galakan haruslah diberikan kepada mereka untuk terlibat dengan mana-mana pertubuhan khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dengan gerakan sivil dan kemasyarakatan. Pengalaman dan ilmu yang mereka perolehi di kampus sewajarnya di kongsi bersama dengan masyarakat di luar disamping mereka akan menimba pelbagai ilmu dan pengalaman baru apabila bergiat aktif di dalam kelompok masyarakat. Cadangan pindaan ini haruslah dipandang serius oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi yang dipimpin oleh Dato’ Khaled memandangkan keputusan undian pesanan khidmat ringkas (SMS) yang dibuat oleh TV3 malam tadi menunjukkan 91% masyarakat pelbagai latarbelakang bersetuju untuk AUKU dimansuhkan bukan dipinda.

Monday, March 24, 2008

Kerajaan cadang pinda AUKU: Khaled


PUTRAJAYA: Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kerajaan akan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi memberi pelajar dan universiti lebih kebebasan.

Beliau berkata, kajian awal mendapati beberapa peraturan dalam AUKU menyekat kreativiti pelajar dan pihak pengurusan universiti untuk mencapai tahap kecemerlangan di peringkat global.

Sehubungan itu, katanya, pihak pengurusan universiti akan diberi kuasa autonomi secara berperingkat mengikut kesesuaian masa dan keperluan sebaik AUKU dipinda bagi memastikan tugas mentadbir berjalan lancar.

Katanya, pihak pengurusan universiti memerlukan perubahan dan kini sudah tiba masanya akta berkenaan dikaji semula dalam usaha melahirkan intelektual generasi kedua yang lebih berdaya saing serta mempunyai daya tahan yang tinggi.

"Pihak pengurusan universiti memerlukan kuasa autonomi yang lebih bagi membolehkan mereka bebas membuat keputusan penting untuk kebaikan semua pihak, sedangkan kini keputusan tertakluk kepada ketetapan kementerian.

"Kuasa yang terhad menyebabkan masing-masing kurang kreatif dalam usaha melonjakkan kecemerlangan pendidikan.

"Malah, pemberian kuasa autonomi memberi peluang pihak pengurusan lebih bertanggungjawab dalam keputusan yang dibuat," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan tugas oleh bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed di sini semalam. Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Zulkefli A Hassan.

Mohamed Khaled berkata, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkaitan, termasuk tokoh akademik, pengamal industri dan wakil pelajar berhubung cadangan meminda AUKU.

Kajian semula AUKU, katanya, juga sejajar dengan langkah kerajaan mengkategorikan universiti, iaitu Universiti Penyelidikan dan Universiti Apex, yang memerlukan pihak pengurusannya memperoleh kuasa autonomi yang lebih bagi memutuskan keputusan penting.

Beliau berkata, AUKU menyebabkan universiti berkenaan tidak mempunyai kuasa mutlak melantik naib canselor dan timbalan naib canselor.

"Keadaan ini memerlukan perhatian dan peraturan sedia ada perlu diubah mengikut keperluan semasa bagi memastikan pelaksanaan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara berjalan lancar.

"Usaha ini sekali gus membantu kerajaan merealisasikan wawasan menjadikan negara sebagai hub pendidikan tinggi serantau," katanya.

Mengulas perkara lain yang akan diberi perhatian khusus, Mohamed Khaled berkata antaranya program pembelajaran sepanjang hayat yang kini menjadi pilihan golongan profesional meningkatkan nilai ditambah dalam kerjaya masing-masing.

Beliau berkata, fungsi Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) dan peranan agensi akreditasi negara - Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF), juga akan dimantapkan bagi memastikan program yang ditawarkan di semua institusi pengajian tinggi memenuhi kriteria ditetapkan.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya juga bercadang melaksanakan penarafan bagi setiap program pengajian mengikut universiti.

Beliau turut memberi jaminan akan meneruskan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, terutama bagi meningkatkan kedudukan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dalam senarai pengiktirafan antarabangsa serta kualiti kursus untuk mengurangkan graduan menganggur.

Katanya, tidak timbul isu mengubahsuai pelan induk kerana yang paling penting ialah pelaksanaan dan pencapaian matlamat yang ditetapkan.

"Menteri sebelum ini sudah menyediakan landasan kukuh, antaranya menyediakan pelan induk bagi menentukan hala tuju pendidikan tinggi negara. Yang penting sekarang bagaimana kita menterjemah dan melaksanakannya dan ia perlu dilakukan di peringkat IPT itu sendiri.

"Ini kerana IPT diterajui kumpulan yang bukan saja berilmu, malah individu yang mewakili sebahagian daripada cerdik pandai negara yang mempunyai idealisme masing-masing dalam menentukan sasaran yang perlu dicapai dalam tempoh tertentu," katanya.

sumber: http://www.bharian.com.my


Sunday, March 23, 2008

PRU 12: HUKUMAN ALLAH BUAT KEANGKUHAN & KEEGOAN UMNO-BN

“Tsunami Politik” itulah istilah yang digunakan oleh kebanyakan tokoh-tokoh, penganalisis dan pemerhati politik tanah air mahupun luar negara apabila melihat kepada keputusan pilihan raya umum ke-12, Malaysia. Dalam PRU kali ini satu kejutan telah berlaku dimana buat pertama kali dalam sejarah Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti 2/3 dalam parlimen Malaysia di mana BN berjaya memenangi kerusi parlimen sebanyak 140 daripada 222 kerusi yang dipertandingkan, manakala Barisan Alternatif (BA) berjaya memperolehi sebanyak 82 kerusi iaitu PKR (31), DAP (28) dan PAS (23). Lebih parah lagi, empat negeri yang dikusai BN sebelum ini iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor turut tumbang ditangan pembangkang, selain kerajaan PAS kelantan berjaya mengekalkan penguasaan mereka dengan majoriti 2/3.

Risalah ini bukan bertujuan untuk mengangkat dan menjatuhkan sesetengah pihak, tetapi lebih kepada pemerhatian, penilaian dan pandangan peribadi sahaja. Keputusan PRU 12 sememangnya di luar dugaan semua pihak termasuklah barisan pimpinan UMNO/BN, parti-parti pembangkang PKR,DAP dan PAS serta pemerhati dan penganalis politik kerana jika dilihat dari kemampuan BN yang mempunyai dana yang cukup besar dan penguasaan media massa sepenuhnya lebih-lebih lagi RTM1/2 berbanding pembakang yang tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan dinafikan untuk akses dan berkempen melalui media massa melainkan menerusi saluran alternatif seperti internet dan risalah-risalah yang dikeluarkan sendiri bagi memberi penerangan kepada pengundi menjelang pilihan raya.

Pada pandangan saya dari segi zahirnya kejayaan BA menafikan majoriti 2/3 BN dalam parlimen dan merampas empat buah negeri yang dikuasai BN adalah disebabkan kekuatan dan kesungguhan jentera parti pembangkang bekerja siang malam untuk memenangkan calon-calon BA yang bertanding disamping berlaku perpecahan dalam UMNO/BN berhubung penamaan calon yang tidak dipersetujui sesetengah pihak dan perestasi buruk kerajaan BN dalam menangani isu-isu rakyat seperti kenaikan harga petrol dan barang-barang keperluan, dan krisis moral yang melibatkan akhlaq dan salah laku pemimpin-pemimpin kerajaan seperti penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dana awam, rasuah dan terlibat dengan skandal seks. Itulah yang zahirnya, namun di sebalik itu kuasa Allah S.W.T. mengatasi segala-galanya. Mungkin Allah mahu menghukum keangkuhan dan keegoan pemimpin-pemimpin UMNO/BN disamping memberi peringatan dan pengajaran kepada mereka bahawa Allah lebih berkuasa menentukan segalanya dan mereka itu sebenarnya makhluq yang lemah.

Firman Allah S.W.T. bagi menzahir dan menegaskan tugasan sebenar kerajaan yang dikekalkan oleh-Nya di atas muka bumi ini: “(yaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi niscaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan”. [Surah Al-Hajj: 41]

Faktor-faktor kegagalan BN dalam PRU-12 boleh diringkaskan seperti berikut:

i. Keangkuhan dan keegoan BN dalam menhadapi PRU-12 seolah-olah merekalah yang berkuasa mutlak, memberi rezeki kepada rakyat dan penentu nasib dan masa depan rakyat mengatasi kuasa Allah S.W.T.
ii. Penghinaan melampau terhadap kerajaan PAS dan rakyat kelantan melalui kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin tertinggi BN seolah-olah rakyat kelantan bodoh, hina dan tidak bermaruah.
iii. Propaganda-propaganda BN yang memuakkan melalui media massa yang dikuasai sepenuhnya oleh mereka seperti RTM 1/2, Media Prima, dan media cetak yang lain. Saya rasa kita semua masih ingat propaganda ini: “Kita berada di landasan yang benar, undilah untuk Malaysia, undilah Barisan Nasional (BN).” Yang diulang-ulang selang beberapa minit disamping propaganda-propaganda lain.
iv. Krisis moral dan akhlaq pemimpin-pemimpin kerajaan seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dana awam, dan terlibat dalam skandal seks.
v. Strategi lapuk melatari kempen-kempen BN: Politik wang, politik turap jalan, politik geran tanah dan pemilikan dan politik pecah tanah antara strategi lapuk kempen-kempen BN menjelang PRU. Ternyata rakyat tidak mudah tertipu dan diperbodoh-bodohkan.

Akhir sekali, marilah sama-sama kita renungi hadis Nabi Muhammad s.a.w. di mana baginda bersabda: “Apabila hilangnya amanah maka nantilah saat kehancuran. Maka sahabat bertanya: Bagaimana boleh terjadi perkara sedemikian? Nabi s.a.w. menjawab: Apabila amanah itu diberikan kepada bukan ahlinya (orang yang layak memikul amanah tersebut)”. [Hadis Sohih Riwayat Al-Bukhari] Kesimpulannya, kepimpinan negara merupakan satu amanah yang berat khususnya dalam melaksanakan perintah dan suruhan Allah S.W.T., mencegah kemungkaran yang dilarang oleh-Nya, memimpin manusia (rakyat) ke jalan yang benar (Islam), dan menegakkan keadilan di atas muka bumi Allah kepada seluruh makhluq-Nya. Kita mesti ingat! Kuasa Allah S.W.T. mengatasi segala-galanya. “Dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu (makhluq-Nya)”. [Surah Al-Maidah: 120].