Sunday, June 15, 2008

Pembangunan Iskandar Malaysia boleh sebabkan orang Melayu terpinggir - dakwa Dr M

TELUK INTAN: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mendakwa bahawa rancangan untuk membangunkan Iskandar Malaysia, koridor pembangunan di selatan Johor yang berdekatan dengan Singapura, bukan sahaja akan menjadikan wilayah pertumbuhan seluas 2,217 kilometer persegi itu sebagai 'Utara Singapura/Singapore North' tetapi juga bakal menyebabkan orang Melayu di Johor terpinggir.

"Penduduknya akan terdiri daripada orang yang kaya belaka dan mereka akan datang daripada Singapura. Kawasan itu akhirnya tidak akan ada orang Melayu kerana mereka tidak berupaya nak beli tanah (disebabkan harganya yang mahal) dan apabila jumlah orang lain terlalu ramai, mereka akan desak meminta hak itu dan hak ini," katanya dalam satu majlis dialog di sini. Sehubungan itu beliau mengingatkan orang Melayu di sekitar koridor pembangunan tersebut agar tidak mudah melepaskan tanah yang mereka miliki apabila ditawarkan dengan harga yang cukup tinggi oleh pihak tertentu.

Lebih RM47 bilion diperlukan bagi membangunkan kawasan itu sebagai sebuah pusat pertumbuhan yang terbesar di rantau ini yang akan memakan masa sehingga tahun 2025.

Keseluruhan kawasan pembangunan itu dikatakan menyamai 2 setengah kali ganda keluasan Singapura apabila siap sepenuhnya dengan syarikat Khazanah Nasional Berhad sebagai peneraju utama dalam merealisasikan wawasan pembangunan tersebut. - Bernama

Koridor ini, yang juga dikenali sebagai Pembangunan Wilayah Ekonomi Selatan Johor (SJER), diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 30 Julai 2006. Namanya ditukar kepada Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) pada 4 Nov 2006 bersempena nama Sultan Johor, Sultan Iskandar sebelum sekali lagi ditukar namanya menjadi Iskandar Malaysia pada 11 April lepas.

Friday, June 13, 2008

RAKYAT Mula Naik 'MINYAK'

Masyarakat Ibu Kota 'Naik Minyak' akibat langkah pihak pemerintah menaikkan harga Minyak (Petrol dan Diesel)


Rakyat Malaysia sebelum ini agak kurang terkenal dengan aktiviti mencabar pihak pemerintah kerana takut ataupun terkongkong dengan akta-akta tertentu seperti Akta Polis, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan lain-lain lagi. Namun, situasi sedemikian nampaknya sudah berubah gara-gara pihak pemerintah yang memerintah negara mengikut sesuka hati mereka tanpa memikirkan soal kebajikan dan masalah rakyat. Rakyat sudah mula bengang dan muak dengan tipu muslihat pihak pemerintah. Baru-baru ini derita rakyat ditambah lagi dengan 'hadiah' yang terbaik dari pihak pemerintah iaitu dengan menaikkan harga bahan bakar (petrol dan diesel) pada tahap paling tinggi dalam sejarah, cumanya masih belum tercatat dalam Malaysia Book of Records.

Semenjak Perdana Menteri mengumumkan kenaikan tersebut, banyak harga barang-barang keperluan lain dan juga kos perkhidmatan terus meningkat seperti harga telur, ikan, sayur-sayuran, tiket bas dan lain-lain lagi. Maka, bermulalah episod penjual menunding jari mengatakan pemborong yang bersalah kerana menaikkan harga telur misalnya, si pemborong menyalahkan si penternak, bahkan si penternak juga terpaksa menyalahkan si ayam kerana bertelur sedikit dan sebagainya. Sebenarnya salah siapa? Jika pihak kerajaan meneliti dan mengkaji secara teperinci kesan daripada kenaikan harga bahan api sebelum membuat keputusan menaikkannya, nescaya pihak pemerintah akan dapat mengatasi masalah yang dihadapi oleh rakyat dengan mudah. Senang saja, harga barang-barang keperluan, kos perkhidmatan dan pengangkutan naik mendadak disebabkan kenaikan harga petrol dan diesel. Jelas! sudah terang lagi tersuluh lagi.




Najib kata: "Minyak tak akan naik lepas pilihanraya", Dollah kata:"Petrol naik 78 sen, diesel naik RM1" - Mereka Tipu Rakyat!


Hari ini masyarakat ibu kota mula 'naik minyak' dengan menadakan demonstrasi bagi membantah kenaikan harga minyak. Pada awalnya saya menjangkakan hanya segelintir sahaja masyarakat Kota yang akan menyertai perhimpunan tersebut kerana berdasarkan demonstrasi-demonstrasi sebelum yang berkaitan harga bahan api dan tol gagal mendapat sokongan ramai. Namun, pengamatan saya agak meleset sama sekali apabila saya membaca website malaysiakini.com. Sebelum itu, saya tidak berkesempatan menyertai perhimpunan tersebut kerana mempunyai urusan lain. Walaupun mendapat tentangan dan halangan daripada pihak polis dan FRU, rakyat tidak berputus asa untuk meneruskan perhimpunan pada petang tadi dengan jumlah kehadiran yang begitu ramai mencecah angka 2000-3000 orang katanya.

Mungkin perhimpunan hari ini merupakan langkah awal bagi membentuk gelombang kesedaran dikalangan rakyat bagi membela hak dan kebajikan mereka yang sepatutnya dijaga dan dibela oleh pemerintah yang dipilih dan diberi mandat untuk memerintah negara oleh rakyat pada PRU12 yang lepas. Saya menjangkakan perhimpunan yang akan berlangsung pada 5 Julai akan datang, anjuran PROTES, jumlahnya lebih besar mengatasi jumlah kehadiran pada perhimpunan anjuran BERSIH pada 10 November tahun lepas. Harap-harapnya pihak pemerintah SEDAR dari LENA sebelum mengalami satu MIMPI ngeri yang sukar dilupakan nanti. 'Makkal Sakti'

Wednesday, June 11, 2008

BERSAMA MEMBELA HAK MAHASISWA!



FORUM PERDANAN 'AUKU' SEMPENA SAMBUTAN HARI HAK MAHASISWA

Hari: Jumaat
Tarikh: 13 Jun 2008
Waktu: 3 PM
Tempat: Chinese Assembley Hall, KL


PANELIST:

1) Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim
2) Prof. Dr Abdul Aziz Bari (UIAM)
3) Sdr. Zainulfaqar Yaakob (PMN)


SEMUA MAHASISWA DAN AHLI AKADEMIK SELURUH NEGARA DI JEMPU HADIR!

"KUASA MAHASISWA KUASA PERUBAHAN"

- STUDENT POWER -

JOM! JOIN MANSUH ISA

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Jawatankuasa Hak Asasi (HRC) Majlis Peguam Malaysia dan Civil Rights Committee- KL & Selangor Chinese Assembly Hall (CRC-KLSCAH) menjemput anda menghadiri


Forum: “ISA: Antara Mansuh dan Pinda”

Tarikh : 17 Jun 2008

Masa : 8.00pm-10.30pm

Tempat : KL & Selangor Chinese Assembly Hall,

Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur



Panelis:

1. Datuk Ambiga Sreenevasan – Presiden Majlis Peguam Malaysia

2. Sdr Lee Ban Chen – Bekas Tahanan ISA & Kolumnis

3. Sdr Syed Ibrahim Syed Noh Al-Habshi – Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)

4. Keluarga Tahanan ISA


Moderator:

Cik Fadiah Nadwa Fikri – Ahli Jawatankuasa Hak Asasi (HRC) Majlis Peguam Malaysia


Wednesday, June 4, 2008

Auku, harga barang dan PTPTN antara punca mahasiswa tolak kerajaan

Intan Abdullah Thu Jun 05, 08 10:27:12 am MYT
KUALA LUMPUR, 5 Jun (Hrkh) - Kerajaan mengakui isu Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), kenaikan harga barang serta pinjaman PTPTN telah dikenal pasti menjadi faktor yang menyebabkan sebahagian mahasiswa tidak memberi sokongan kepada kerajaan.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Idris Haron berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Senator Dato' Hajah Azizah Abd Samad berhubung senario mahasiswa yang tidak cenderung menyokong kerajaan di kampus.

"Saya tidak ingin mengambil satu keputusan yang tidak 'judgemental' dengan mengatakan pelajar-pelajar tidak memberikan sokongan kepada kerajaan, tetapi yang kelihatan pada kita kerajaan BN masih lagi mendapat pengaruh yang besar di peringkat Dewan Negara," ujarnya kepada sidang dewan.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa antara isu yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) baru-baru ini, Auku, kenaikan harga barang dan masalah pinjaman PTPTN merupakan antara penyebab berlakunya penolakan kepada kerajaan BN.

"Untuk itu, antara cadangan yang diberikan MPPK adalah melakukan pindaan kepada Auku, di samping menyediakan kad diskaun pelajar bagi menampung kehidupan seharian di Institusi Pengajian Tinggi masing-masing," katanya lagi.

Sungguhpun begitu ujarnya, mahasiswa masih lagi tidak bersetuju dengan penetapan 3 peratus caj perkhidmatan dalam pembayaran balik PTPTN bagi para graduan selepas menamatkan pengajian. - mns

Harga Minyak Naik: Rakyat diTipu Lagi


Terkejut! Ramai rakyat yang terkejut dan tidak sangka akan kenaikan harga minyak secara mendadak pada hari ini, berkuatkuasa pada tepat jam 12.00 tengah malam, bersamaan dengan 5 Jun 2008. Siapa sangka? Semua orang tidak menyangka harga bahan api akan dinaikkan dalam masa terdekat kerana sebelum ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad telah meyakinkan rakyat bahawa paling cepat harga bahan api akan dinaikkan pada bulan Ogos depan.

"Ia akan berlaku... harga petrol akan naik, saya fikir mungkin dalam Ogos tahun ini apabila sistem subsidi diberi penstrukturan semula," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen baru-baru ini, lapor Bernama.

Namun, hari ini belum pun sampai seminggu Menteri tersebut membuat kenyataan, tiba-tiba hari ini rakyat diberitakan dengan satu khabar 'gembira' bahawa kerajaan akan menaikkan harga minyak petrol dan diesel serta merta. Pengumuman kenaikan harga minyak (diesel RM1,00 dan Petrol RM0.78 sen) dibuat agak tergesa-gesa kerana kerajaan sebelum ini berjanji akan mengkaji secara mendalam dan terperinci mengenai kaedah dan mekanisma yang terbaik untuk mengatasi masalah ini khususnya bagi meringankan beban rakyat apabila harga bahan minyak dinaikkan.


Selaku rakyat, sudah semestinya saya rasa tertipu dengan segala janji kerajaan. Ini bukan kali pertama rakyat ditipu, dulu pun kerajaan cakap tak akan naikkan harga minyak lagi. Sejak 2004, harga petrol naik sebanyak 97.1 peratus manakala harga diesel pula naik sebanyak setinggi 231 peratus. Kerajaan sepatutnya memikirkan perkara ini semasak-masaknya, jangan terburu-buru kerana kenaikan harga minyak akan menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan yang lain, yang memerlukan kos pengangkutan. Sudahlah baru-baru ini rakyat dibebankan dengan kenaikan harga beras selaku makanan ruji bagi negara kita.


Akhir sekali, saya meyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar tidak berdiam diri dan terus mendesak kerajaan agar menurunkan harga minyak. Mengapa harus dinaikkan harga minyak? kenapa kerajaan tidak mengurangkan eksport minyak ke negara lain seperti China dan Jepun? saya optimis kerajaan dapat menyelesaikan isu ini dengan baik jika menghadkan eksport minyak ke negara lain dan menjadikan minyak PETRONAS untuk kegunaan rakyat di negara ini. Sekian!

Auku tidak halang penuntut IPT bergiat dalam pertubuhan

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Hrkh) - Kementerian Pengajian Tinggi menolak kemungkinan bahawa keputusan pilihan raya umum ke-12 lalu, yang menunjukkan BN kehilangan sokongan daripada pengundi muda terutamanya golongan profesional dan para graduan adalah disebabkan perasaan tidak puas hati mereka yang telah lama terpendam terhadap sekatan melalui pelaksanaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan pendekatan pentadbiran akta ini sejak zaman pengajian mereka di kampus.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Dr Hou Kok Chung ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Senator Heng Seai Kei (BN-Perak) ianya hanyalah salah satu daripada analisa yang dibuat pelbagai pihak terhadap prestasi BN dalam pilihan raya umum lalu.

"Adalah kurang tepat untuk menyatakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) menjadi penyebab prestasi kurang baik BN," katanya pada sesi soal jawab lisan sidang Dewan Negara semalam.

Beliau mendakwa Auku tidak menghalang pelajar untuk bergiat dalam kegiatan kostruktif dan menyertai mana-mana pertubuhan dalam negara dengan syarat ianya bukan pertubuhan haram dan tidak menyalahi peraturan.

Terdahulu, Hou menjelaskan bahawa KPT telah melantik Jawatankuasa Mengkaji dan menyemak Auku bagi tujuan semakan dan pindaan seperti mana yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Menurut soalan yang dikemukakan Datin Paduka Dato' Nor Hayati Tan Sri Dato' Seri Onn, penambahbaikan Auku terutamanya pada seksyen 15 dan 17 yang dikatakan mengongkong kebebasan para pelajar untuk aktif dalam politik kampus mungkin boleh membolehkan mahasiswa dapat berkomunikasi dengan kerajaan secara berhemah dan proaktif. - mks.

Sunday, June 1, 2008

Dunia Islam Dalam Bencana dan Ujian

Sesungguhnya dunia Islam pada hari ini hidup dalam satu zaman yang penuh dengan bencana dan ujian yang tidak pernah dilalui sejak zaman berzaman. Apakah yang dimaksudkan dengan bencana tersebut? Sesungguhnya dunia Islam pada hari ini menghadapi 1) bencana berbentuk dendam dan dengki daripada musuh-musuhnya yang tidak henti-henti menyerang Islam sama ada dalam bentuk peperangan ideologi, pemikiran dan juga persenjataan, 2) bencana berbentuk kejahilan anak-anak Islam (umatnya) yang jahil dengan ajaran, syari’at, hukum dan risalahnya, sehingga Islam menjadi suatu ancaman kepada mereka, bukannya ancaman itu datang dari musuh Islam semata-mata.





Bahkan terdapat ramai anak Islam yang terpengaruh dan terkesan di hati-hati mereka syubhat dan rancangan jahat musuh-musuh Islam di seluruh pelosok dunia. Pemikiran mereka dikuasai dan dijajah sepenuhnya oleh musuh-musuh Islam dengan gerakan yang sistematik untuk melumpuhkan kekuatan umat Islam dengan mengahapuskan generasi pelapisnya. Pengahapusan generasi pelapis (baru) berlaku dalam pelbagai cara antaranya ialah dengan merosakkan pemikiran dan akhlaq mereka dengan budaya hedonisme, gangsterisme, individualistik, pergaulan bebas, pengedaran bahan-bahan lucah dan macam-macam lagi.


Umat Islam juga menjadi lemah dan dipermain-mainkan oleh musuh disebabkan perpecahan hasil daripada perbezaan fahaman politik, ideologi dan keta’asuban kepada parti (jama’ah) masing-masing. Persengketaan yang berlaku menyebabkan saf-saf umat berpecah, kesatuan mereka menjadi lemah, dan kekuatan mereka terus hilang. Maka benarlah firman Allah S.W.T. dalam Al-Quran: Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan (berbalah sesama sendiri dan berpecah), yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. [Al-Anfal: 46]


Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai…” [Ali-Imran: 103]


Islam melarang keras kepada umatnya supaya tidak berpecah dan bergaduh sesama sendiri. Walaupun para Ulama’ ada yang berpendapat bahawa perselisihan dan perbezaan pendapat diizinkan atas sebab-sebab yang disyari’atkan, namun saya ingin mengingatkan kepada sesiapa yang ingin berselisih pendapat dan memilih untuk berbeza-beza gerakan (jama’ah atau parti) supaya mampu menerima dan menghormati pendapat orang lain, tidak terlalu ta’asub kepada kelompok masing-masing dan mampu bersatu jika Islam kembali berkuasa khususnya di Malaysia. Jika tidak mampu, jangan berbeza-beza pendapat dan berpecah belah kerana semua ini akan merugikan Islam itu sendiri.


Note: Akan ada sambungan lagi...nantikan!

Misi Asnaf Zakat Selangor

Penulis berkesempatan menyertai satu aktiviti khidmat masyarakat baru-baru ini di sekitar Kg. Nakhoda, Batu Caves. Misi kami ialah untuk membanci penduduk di Kampung tersebut yang layak menerima zakat bagi kategori fakir dan miskin dari Lembaga Zakat Selangor (LZS). Satu pengalaman yang sangat menyeronokkan kerana dapat membantu dan berkhidmat kepada masyarakat.



Sebelum ini penulis berpendapat bahawa penduduk di Selangor mampu hidup senang lenang kerana Selangor merupakan negeri terkaya di Malaysia berbanding negeri kelahiran penulis iaitu Kedah. Selangor 'ditauliahkan' sebagai negeri maju pada tanggal tanggal 27 Ogos 2005 ketika di bawah Menteri Besar ketika itu iaitu Dato’ Seri Dr. Mohd Khir Toyo. Namun, setelah menyertai misi ini tanggapan penulis tersebut sama sekali tidak tepat dan meleset jauh. Rupa-rupanya disebalik kemajuan dan kekayaan negeri Selangor masih lagi ramai rakyat yang hidup dalam kesempitan dan boleh dikategorikan sebagai fakir. Ini baru sahaja di Kg. Nakhoda, Batu Caves, di kawasan-kawasan lain dilaporkan masih bercambah.


“SELANGOR negeri kelima terkecil di Malaysia, mencapai status negeri maju 15 tahun lebih awal berbanding negeri-negeri lain di negara ini.Dengan kepadatan penduduknya yang kini berjumlah 5 juta orang, Selangor mendapat status itu pada tanggal 27 Ogos 2005 tanpa pengisytiharan besar-besaran.”

http://www.suaraselangormaju.com.my


Sedih! Itulah yang penulis boleh gambarkan apabila bertemu dan bertemuramah dengan mereka yang terlibat. Sungguh malang nasib mereka, walaupun mengalami kesusahan dan kesempitan hidup hampir 30 tahun yang lalu, namun sehingga hari ini masih belum ada yang sudi untuk menghulurkan bantuan khususnya pihak kerajaan negeri, wakil rakyat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ada penduduk yang berkali-kali membuat permohonan tetapi tidak diendahkan. Ada penduduk yang sudah berputus asa dan berusaha sendiri untuk menyara keluarga dengan serba kekurangan.


Penulis bersama seorang sahabat memperkenalkan diri dan memohon izin untuk membuat bancian asnaf zakat


Pilu dan sebak menguasai lubuk hati penulis apabila bertandang ke sebuah rumah penduduk yang agak uzur dan sederhana. Ketua keluarga juga kurang sihat, hanya mampu beniaga sayur-sayuran secara kecil-kecilan. Pendapatannya sekitar RM150-200 sebulan bergantung kepada tahap kesihatan. Jika beliau tidak sihat, maka hilanglah pendapatan. Di rumah tersebut terdapat seorang OKU yang cacat sejak kecil merupakan anak sulung kepada keluarga ini serta tiga lagi anak mereka yang masih bersekolah dan seorang yang baru habis STPM (Masih menunggu panggilan ke menara gading). Perbelanjaan bulanan bagi menjaga dan mengurus kehidupan keluarga sangat tinggi melebihi pendapatan yang diperolehi khususnya untuk mengurus kehidupan anak mereka yang cacat.



Kelihatan kami sedang membuat bancian di rumah salah seorang penduduk yang miskin


Penulis bertanya adakah mereka pernah mendapat apa-apa bantuan dan sumbangan daripada mana-mana pihak sebelum ini? Pak cik (ketua keluarga) menjawab: ”Tidak ada, pak cik pun dah malas nak minta bantuan. Kalau dah adik-adik datang untuk membantu tidak mengapa lah. Masa PRU (12) yang lepas adalah calon wakil BN datang bagi kerusi roda untuk anak pak cik yang cacat tu…waktu kempen ja lah datang.” Kesimpulan yang penulis dapat buat berdasarkan bancian terhadap penduduk di kawasan tersebut, boleh dikatakan majoriti fakir dan miskin yang menetap di situ tidak pernah mendapat apa-apa bantuan sumbangan dari Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pemimpin dan wakil rakyat pun tak datang menjenguk nasib yang mereka hadapi sejak berpuluh-puluh tahun. Kalau datang pun waktu kempen pilihanraya sahaja.


Penulis agak bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh seorang ahli parlimen Sabah Dato’ Anifah Aman (Kimanis) ketika beliau mengungkit soal Sabah dianaktirikan, layanan double standard dalam membawa pembangunan infrastruktur dan pendidikan serta mencabar PM agar merombak semula Kabinet dengan memberikan jawatan menteri penting kepada Sabah kerana peruntukan tiga kerusi menteri kepada ahli Parlimen Sabah yang merupakan kerusi tidak penting sebagai penghinaan kepada rakyat Sabah. Tambah beliau pemimpin Negara hanya turun di kawasan-kawasan tertentu sahaja seperti di Bandar Kota Kinabalu dan terus menghukum bahawa Sabah telah maju dan membangun tanpa turun melihat di kawasan-kawasan pendalaman yang amat memeritkan dan memilukan jika dilihat kadar kemiskinan tertinggi di negeri yang kaya dangan sumber hutan dan hasil bumi. Keadaan yang sama berlaku di negeri Selangor dan negeri-negeri lain. Pembangunan dan kemajuan dilihat dan dinilai di kawasan-kawasan bandar semata-mata. Rakyat yang fakir dan miskin berterusan papa kedana.


Dhaif! itulah gambaran yang boleh dibuat apabila melihat situasi ini


Seruan penulis kepada pemimpin-pemimpin negara baik di pihak kerajaan mahupun di pihak pembangkang supaya mengutamakan kebajikan dan pembangunan rakyat secara menyeluruh dan adil tanpa membeza-bezakan fahaman politik, geografi dan lokaliti serta pangkat dan jawatan. Jawatan yang dipikul merupakan AMANAH rakyat! dan setiap AMANAH itu akan dihisab dan dihintungkan di hadapan Allah S.W.T. di akhirat kelak! Berlaku adillah wahai sang penguasa...