Monday, October 27, 2008

Tetiba Aku Jadi Meluat Nak Baca Akhbar...aAGH!!!

Salam buat semua...janganlah tension macam saya! huhu

Sejak kebelakangan ini, saya dah MELUAT nak baca akhbar sama ada berbentuk elektronik atau cetakan. Kenapa? Sebab UMNO lah...dah tak dak berita lain ke? Hari-hari cite pasal UMNO? Pernah kawan rasai apa yang saya rasai? Pernah baca tajuk-tajuk akhbar begini: Najib 99, Muhyiddin 63, Mohd Ali 23, dan Muhd Taib 15? Mukriz 66, Khairy 47, dan Khir 33? Aduh! sume ni pasal pemilihan agung UMNOLAH...yang Pak Lah pun, watpa la tangguh lama-lama sangat pemilihan agung UMNO?


Aduh! tensionye aku...huhu!

Pasai apa tak ikut perancangan awal iaitu pada bulan Disember? Bulan tiga tu lambat lagi...kalau ya pun, tak yah la wat mesyuarat kawasan awal-awal mcm ni. Kenapa tak wat bulan februari ja? Semua menteri sibuk berkempen pasal pemilihan ini? Hari Najib umum tawar bertanding, esok Muhyiddin plak, lusa Ali Rustam, tulat Muhd Taib, Khir Toyo, Mukhriz, Khairy....bla...bla...bla. Pastu pakat dok sibuk kempen diri, tabur duit sana sini. Negara dok dalam huru hara, krisis ekonomi, inflasi, kenaikan harga minyak dan barang-barang keperluan, masalah remaja dan pelajar...dan banyak lagi. Makin berserabut la bila pemimpin Negara dok sibuk kat benda lain...aduh! awat la jadi sampai macam nih?

Kepada wartawan-wartawan Malaysia, hangpa dah tak dak berita lain ka nak lapor? Kalau utusan Meloya dan Berita Hairan yang banyak buat laporan pasai isu ni tak pa la...sebab depa tu memang kerja untuk UMNO. Ni...Akhbar alternatif lain pon dok wat benda yang sama...lebih-lebih lagi malaysiakini.com. Maaf la! kawan2. Bukan nak marah...tapi tension cikit ja. Huh...Kepada yang terlibat, bertaubatlah segera, sama-sama kita fokus kepada isu-isu dan masalah-masalah yang lebih besar lagi. Pasai UMNO biaq la depa dok gaduh sama-sama depa...keluarga depa! Bukan nak kata kita kena jadi 'selfish'. Tak! tapi bertempat la...k.

Saturday, October 25, 2008

Takziah! buat K.Zatil - Al-Fatihah


Salam takziah buat kak Zatil...diatas pemergian bonda yang tersayang buat selama-lamanya. Semoga akak tabah dalam menghadapi dugaan dan cabaran hidup yang seterusnya. Semoga Allahyarhamah diRedhai dan diBerkati oleh Allah S.W.T. serta diampunkan segala dosa-dosa beliau. amiin! Pesanan buat yang masih bernyawa: "Buatlah persiapan sebaik-baiknya untuk hari Akhirat, ketahuilah bahawa setiap yang bernyawa pasti merai MATI. Dan sebaik-baik bekalan ialah TAQWA."

Gambar sekitar rombongan ziarah Jenazah Ibu K. Zatil di Pasir Mas, Kelantan.


Sabar & tabah: Mungkin itu pesanan sahabat2 buat k. Zatil sebelum pulang

Rumah: Inilah teratak k. Zatil & keluarga


Berselera: Abe sedang makan nasi bersama sanak saudara k. Zatil


Tenang: Dua wajah abang sulung & kedua k. Zatil

Ayah: Penulis bersama ayah & kakak kepada k. Zatil

Sedap: Sarapan pagi masakan ibu Abe


Jangan malu: Sila2...kang kawe habiskan sume nih!








Friday, October 24, 2008

Akhirnya Tertunai Juga Hajat Ayah!

"SELAMAT PENGANTIN BARU" buat abang Dan & Kak Ros...walaupun dah lama aqad nikah! he.he. Alhamdulillah, akhirnya tertunai juga hajat ayah walaupun dia tidak dapat bersama-sama memeriahkan majlis meraikan 'raja' sehari. Teringat gelagat ayah ketika disaat menuju penghujung hayatnya, sangat sibuk untuk menimang 'menantu'. Dimintanya untuk disegerakan seawal bulan Julai, seolah-olah dia sudah tahu akan ajalnya. "Buat la cepat-cepat, nanti ayah tak sempat." Memang benar kata-katanya itu. Bukan kami tak nak percepatkan, tapi ibuku yang tak nak lagi disebabkan masalah kewangan. Mudah saja ayahku menjawab: "Buat mudah-mudah saja, tak payah tukar baru, baiki mana yang ada sikit-sikit aja."

Tak henti-henti ayahku menyuruh adik membaiki rumah, walaupun tidak sihat, dia naik jugak ke atas rumah untuk melihat keadaan bilik pengantin yang terlalu uasang disebabkan sudah hampir 1o tahun tak digunakan. Alhamdulillah, ketika dia diuji sakit tenat sebulan sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia sempat juga menatap dua wajah dua orang bakal menantunya. Teringat lagi ketika berbincang dengan ayah, beliau bertanya bila aku bercadang nak langsungkan perkahwinan? Lantas aku menjawab: "Mungkin bulan tiga kot ayah...bagi habis ngaji dan cari duit sikit." Ayah membalas: "Tak pa la...bagi a.dan dulu. Duit tak dak, klu bulan satu depan sempatla ambik (tuai) padi, ada duit cikit." Tapi, perancangan Allahlah yang lebih baik, Allah lebih sayang kepada Ayah...al-Fatihah! Ya, Allah! Ampunkanlah dosa-dosa ayah & tempatkannya bersama Nabi-Mu dan orang-orang yang soleh. Amiin!

Gambar-gambar sekitar walimah abang kandung aku...yang satu mak & satu ayah:


A.Dan & K.Ros! Semoga Bahagia selalu...


Hantaran Pengantin Perempuan


Sayang Mak! Ibuku menerima menantu baru...tanpa ayah disisi!


Ust. Ishak Din & Isterinya turut memeriajkan suasana


Udang Terbang: Menu utama untuk Pengantin


Ros Tembikai! Hasil tangan anak-anak sedaraku


Gotong royong: orang-orang kampung sedang hiris daging


Bunga Telur: Hasil sumbangan orang ramai


Keluarga baru: Bergambar atas pelamin, di rumah pengantin perempuan (Perak)


Raja Sehari: Selamat Pengantin Baru ya...










BENARKAH PRK UIAM DIMANSUHKAN?



Pilihanraya Kampus (PRK) merupakan aktiviti tahunan yang wajib dilalui oleh setiap warga universiti yang bergelar 'Mahasiswa' kerana PRK adalah medan terbaik bagi mahasiswa untuk memilih pemimpin-pemimpin mereka yang benar-benar berkualiti, berkredibiliti, berintergriti dan mengutamakan kebajikan pelajar. Selain itu, PRK juga merupakan lapangan yang sesuai untuk melatih karektor dan kepimpinan mahasiswa kerana mereka inilah yang bakal menjadi pelapis kepada kepimpinan Negara yang ada pada hari ini. Mahasiswa secara praktikalnya perlulah didedahkan dengan ilmu politik, pelaksanaan sistem demokrasi yang tulen dan diberi kebebasan untuk menentukan halatuju mereka tanpa ada sebarang sekatan dan ugutan selagi mana ia tidak bercanggah dengan Syari'at Islam.

Namun, mahasiswa Malaysia sejak tahun 1970-an hingga ke hari ini masih lagi dibelenggu oleh 'kuasa-kuasa' ghaib yang cuba memandulkan dan melemahkan idealisme mereka. Pelbagai usaha dilakukan oleh golongan ini untuk menakutkan mahasiswa daripada bergiat aktif dalam kancah politik kampus dan tanah air disamping bergiat aktif dalam masyarakat serta cakna kepada isu-isu semasa. Pelabagai sekatan berbentuk akta dan juga ugutan dihidangkan kepada mahasiswa seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), ugutan buang kolej, buang universiti, ditarik balik biasiswa dan juga pinjaman. Semua tindakan ini dibuat adalah demi untuk kepentingan 'politik', 'pengaruh' dan 'kuasa' pihak pemerintah semata-semata. Mereka tak nak kedudukan mereka tergugat dan digugat oleh mana-mana pihak termasuk mahasiswa walaupun terbukti merekalah pemerintah yang penipu, zalim dan gila kuasa. Menyekat hak mahasiswa untuk menikmati nilai demokrasi yang sebenar merupakan satu tindakan yang zalim dan pengecut.

Seperti universiti-universiti lain di sekitar Lembah Klang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) juga tidak terkecuali daripada menerima tekanan daripada pihak pemerintah yang gila kuasa. Sehingga ke hari ini, pihak pentadbiran UIAM masih lagi membisu seribu bahasa berkenaan isu pilihanraya kampus sesi 2008/09. Tiada sebarang notis pemberitahuan mengenai status PRK pada kali ini. Walaupun Pro-Mahasiswa UIAM (Pro-M) yang lebih dikenali dengan kumpulan 'We Unite For Islam' (WUFI) mendapat maklumat yang tidak rasmi secara verbal oleh seorang pensyarah kanan universiti bahawa Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Ust. Hamidon Abd Hamid ada memberitahunya tentang perjalanan PRK 08/09 yang akan dijalankan pada semester dua akan datang, januari 2009. Ust. Hamidon ada menyatakan bahawa pihak pentadbiran UIAM tidak akan sekali-kali tunduk kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) jika arahan yang dikeluarkan oleh mereka bercanggah dengan perlembagaan universiti. Bila ditanya bila PRK akan diadakan? Beliau berkata: "Itu KPT yang tentukan, kami hanya tunggu arahan." Tapi, bila mahasiswa berpiket di KPT dan Univeristi Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mendapat jawapan rasmi daripada Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Khaled Nordin, apa dia jawab? "Kita serah kepada universiti yang tentukan tarikh PRK". Apa semua ini?

Untuk makluman semua, sebenarnya pihak pro-mahaiswa UIAM masih lagi tertanya-tanya adakah PRK 08/09 akan tetap diadakan atau dihazafkan terus? Maksudnya tiada lagi pilihanraya kampus di bumi UIAM. Yang ada hanyalah Forum bagi pemimpin-pemimpin pelajar yang dilantik diperingkat kuliyyah-kuliyyah (fakulti). Sebelum ini memang ada desas-desus berkaitan isu ini. Cumanya ia menjadi diam seketika setelah wakil-wakil MPP pro-m sesi lepas cuba membuat bantahan. Boleh jadi ia akan usaha jahat ini akan diteruskan memandangkan sikap pihak pentadbiran yang terus membisu dan buat-buat pekak. Sebenarnya, sejak zaman berzaman lagi pelbagai usaha dilakukan oleh pihak pentadbiran yang pro-UMNO untuk melenyapkan pengaruh We Unite For Islam (WUFI) dilihat cenderong kepada pembangkang. Namun, usaha mereka tetap gagal, mahasiswa UIAM tetap bersama dengan pro-m atau wufi. Pro-Aspirasi hanya dapat membentuk kabinet mahasiswa pro-UMNO hanya sekali sahaja iaitu pada tahun 2005 setelah wufi memboikot pilihanraya pada ketika itu disebabkan oleh sistem dan peraturan baru yang diperkenalkan.

Biar apa pun yang terjadi, pro-m UIAM akan tetap memperjuangkan kebenaran dan hak-hak serta kebajikan mahasiswa. Mahasiswa UIAM perlu ingat, kita bukannya pak turut yang dicucuk hidunya untuk mengiakan apa yang tidak benar dan bersifat munkar. Jesteru, pro-m UIAM menggesa agar pihak pentadbiran supaya tetap mengadakan pilihanraya kampus seperti sediakala tanpa ada sebarang sekatan dan penyelewengan. Berilah kebebasan kepada mahasiswa, laksanakan amanah dengan adil dan telus, jangan sekali-kali mempermainkan mahasiswa. Kami tidak akan berdiam diri, kaku dan layu, kami akan bangkit menentang sebarang bentuk kezaliman. Ingat! kami bukan budak-budak tadika yang masih berhingus. Cukuplah sekali pihak pentadbiran memalukan universiti kepada dunia umum pada PRK yang lepas setelah penamaan calon kali kedua diadakan. Tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia penamaan calon buat kali kedua dengan tujuan untuk melayakkan calon-calon pro-aspirasi yang terperangkap dalam jerangkap samar ciptaan mereka sendiri. Mereka telah gagal sebelum perlawanan bermula. Student Power!

Cerita Pilu Seorang Ayah!

Salam muhibbah buat semua...dulu saya pernah menulis tentang seorang 'Mujahidah' Ma'ruf Club yang telah kembali menemui Kekasih Agungnya. Kini, marilah sama-sama kita amati saat pemergian beliau yang dinukilkan sendiri oleh Ayahandanya yang tercinta:

AL-FATIHAH BUAT PUTERIKU SITI HAJAR
Oleh: Anak Bapa

Hati mana tak akan pilu apabila anak tersayang diambil di kala kasih sayang sedia terbelai. Perasaan mana tidak hiba apabila permata hati dirampas ketika dalam dakapan mesra. Emosi mana yang tidak terganggu apabila insan harapan ghaib dalam sekelip mata. Mungkin rintihan ini dek kerana “emotional outburst” yang melulu dan tidak terkawal. Tetapi hakikatnya itulah perasaan seorang ayah yang kehilangan anak tercinta ……

Tanggal Isnin 8 September 2008, di kala umat Islam sedang asyik mengerjakan sunat Tarawih, puteriku Siti Hajar dalam diam-diam dijemput menemui PenciptaNya. Umurnya yang baru menempuh 23 tahun, pelajar tahun 1 UIA di dalam bidang Bahasa Arab dan memiliki tubuh badan yang sihat bukanlah merupakan alasan untuk memanjangkan usianya. Saat dan ketika puteriku dah sampai, dan sebagaimana janji Allah swt, 1 saat pun tidak akan ditangguhkan apabila ajal dah tiba. Aku pasrah kepada ketentuan Ilahi …….

Kakak, begitulah ia membahasakan dirinya, tidak pernah sakit lebih daripada 2 hari lamanya sebelum ini. Itu pun jarang berlaku. Kakak seorang yang sihat dan aktif di dalam kerja-kerja jamaah dan pelajaran. Secara tiba-tiba Kakak terkena sakit ruam di seluruh badan lebih kurang sebulan yang lalu. Aku ubati Kakak sebagaimana biasa. Ruamnya sembuh tetapi sendi-sendi kakinya pula rasa sengal dan sakit. Ujian darah di SJMC menunjukkan Kakak mengidap “Rheumatoid Athritis” yakni radang sendi di peringkat awal. Menurut doktor yang mana juga aku persetujui, ia hanya kecil, mudah sembuh dan tidak merbahaya. Kakak mengambil ubat-ubatan secara alopati, homeopati dan juga rawatan secara Islam. Hasilnya Kakak hampir sembuh 2 minggu kemudian. Apa yang peliknya, kebiasaan manusia apabila penyakitnya makin sembuh maka tahap kecergasannya pun semakin meningkat. Tetapi tidak dengan Kakak. Kecergasannya semakin menurun walaupun penyakitnya semakin sembuh. Ini yang membingungkanku dan semua orang ……

Lebihkurang 1 minggu yang lepas, Kakak tiba-tiba demam. Demam biasa saja, suhu tinggi sikit dan diiringi dengan batuk dan cirit-birit. Walaubagaimana pun keadaannya tidaklah begitu membimbangkan, musim demamlah katakan …..

Hari Isnin, ketika aku sibuk bersiap untuk ke tempat kerja pada sebelah pagi, isteriku memaklumkan bahawa Kakak merasa sedikit penat hari itu. Aku jenguki Kakak dan mendapati ia sedang berbaring relaks. “Nampak biasa saja,” bisik hati ku lantas bergegas ke tempat kerja. Di sekitar pukul 6.30 petang aku pulang dari kerja dan terus menjenguk Kakak. Pelik hari tu kerana Kakak tidak berbaring di biliknya sebaliknya memilih berada di bilik tetamu. Sebaik aku masuk, terpandang keadaan penat Kakak yang agak melampau sehinggakan kepala dan tangannya tergoyang-goyang di luar kawalan. “Ini sangat serius,” bentak hatiku. Saya cadangkan kepada Kakak supaya kita ke klinik tetapi Kakak menolak dengan lembut. “Kakak tak taulah ayah, Kakak penat betul hari ini. Boleh tak esok saja kita pergi klinik?”,ujarnya dengan nada yang amat memilukan. Hatiku bagai disiat-siat melihat keadaan Kakak. Aku angguk kepala tanda setuju. Aku duduk di sisinya lantas memegang dan mengusap tangan dan muka Kakak. Suhu badan normal, sendi-sendinya pun sudah tidak sakit lagi dan batuknya pun telah ghaib entah ke mana. Kakak berkata ia semakin sihat. Peluhnya keluar mencurah-curah dan ia berselera sekali makan. Walaupun ketika aku amati wajahnya dalam-dalam kelihatan seolah-olah ia seperti nazak tetapi aku cuba nafikan hakikat ini kerana keadaan fizikalnya tampak semakin baik. Baru aku sedari kemudian bahawa Kakak bukan penat biasa tetapi nyawanya semakin pendek dek ditarik perlahan-lahan oleh Malikul-Maut.

Aku berbual-bual mesra dengan Kakak sambil ia memegang erat tangan ku. Apabila aku menarik tangan untuk pergi bersiap berbuka puasa, Kakak merayu supaya aku tunggu sekejap lagi bersamanya. Aku berjanji akan kembali menemani Kakak selepas berbuka puasa di masjid. Sekembali aku dari masjid aku dapati Kakak semakin ok, siap senyum lagi dan meminta ayah pergi bertarawih ke masjid. Dia dah sembuh, katanya. Aku pergi bertarawih dengan agak ceria apabila mendengar pengakuan Kakak. Telepon bimbit pun tidak “bervibrate” ketika solat bermakna semua ok di rumah.

Ketika aku berada 100 meter dari rumah waktu pulang bertarawih, tiba-tiba telepon bimbit berbunyi. “Cepat bang anak kita tak mahu bangun!”, jerit isteriku. Menurut isteriku kemudiannya, selepas aku ke masjid, Kakak minta nak solat segera selepas azan Isya. Selesai solat ia meminta kebenaran maknya untuk berbaring relaks buat seketika. Maknya pun bersetuju dan membiarkan Kakak berbaring sambil ia sendiri menunaikan solat tarawih berhampiran dengan Kakak. Selesai solat witir isteriku berpaling ke belakang dan mendapati Kakak sedang berbaring tidak bergerak-gerak. Ia lantas cuba membangunkannya tetapi Kakak tetap membisu…..

Aku periksa nadinya, cuba mengesan bunyi nafas dan degupan jantungnya, tapi tiada. Aku cuba lakukan CPR, dan sebaik saja aku tiup di mulutnya udara mudah saja sampai ke paru-paru seolah-olah aku sedang meniup melalui straw ke dalam belon. Ini membuktikan bahawa Kakak sudah pergi, pergi selama-lamanya …..

Aku tidak mahu menghampakan isteriku. Lantas aku ajak abang ipar ku untuk mengangkat Kakak ke dalam kereta dan segera menuju ke pusat perubatan berhampiran. Sebaik tiba di pusat perubatan berkenaan, doktor di bahagian kecemasan hanya mengambil masa 10 minit untuk mengesahkan apa yang kami amat takuti, yang Kakak telah pun meninggalkan kita lebih setengah jam yang lalu. Air mata semua berguguran tak tertahan-tahan lagi. Aku cuba gagahi bertahan. Sebagai ayah aku kena pujuk ahli keluarga lain. Bagaimana dapat aku lakukan tugas ini jika aku turut sama terheret di dalam pesta air mata. Berterusan doaku semoga aku diberi kekuatan untuk menghadapi ujian yang amat hebat ini. Alhamdulillah makbul …..

Doktor tidak tahu nak tulis kematian mengejut ini disebabkan oleh penyakit apa. Umur muda dan tidak ada sejarah sebarang penyakit merbahaya. Dia meminta saya bersetuju dihantar ke hospital kerajaan untuk dibedahsiasat. Aku merayu dan merayu supaya jenazah puteriku tidak disiksa begitu rupa. Berkat doa dan pertolongan semua, sekali lagi Allah swt makbulkan doaku. Jenazah Kakak sedia untuk dibawa pulang ke rumah. Di saat itu pusat perubatan sudah dibanjiri oleh saudara dan rakan yang datang untuk berkongsi sedih. Di sekitar 1.30 pagi, jenazah Kakak sudah ada di rumah menunggu esok untuk dikebumikan. Ayah dan makku di kampong sudah luluh di dalam tangisan hiba. Mereka segera bertolak dari Perlis untuk bersama berkabung bersama keluargaku. Rakan taulan dan saudara mara tidak putus-putus berkunjung ke rumah ku sehingga ke subuh. Pukul 11 pagi Kakak dimandi, dikapan dan disolat jenazah (yang aku imami) sebaik saja selesai solat zohor. Menurut sorang Pak Aji yang tinggal berdekatan masjid mengakui bahawa ini adalah sejarah kehadiran paling ramai makmum bersolat jenazah sejak masjid ini mula dibuka. Rezekimu Kakak ……

Kakak selamat dikebumikan di Seksyen 21, Shah Alam sekitar jam 3.00 petang. Ayahku sendiri yang membuat tazkirah dan doa selepas selesai upacara pengkebumian. Kami sekeluarga pulang, pasrah kepada ketentuan Ilahi bahawa Kakak telah pergi buat selama-lamanya menemui allah rabbuljalil.

Ramai teman bertanya bagaimana aku boleh begitu “cool” menghadapi saat-saat kematian puteri sulong tercinta. Jawapannya mudah, kerana kekuatan yang Allah beri kepada ku. Kakak pergi dalam keadaan yang paling baik yang boleh kita minta. Ia anak yang sentiasa patuh kepada ibubapa, berakhlak mulia, sentiasa menjaga kehormatan diri dan ibadat. Malah ketika berbaring, lidahnya tidak lekang membaca Al-Qur’an dan berwirid. Kakak adalah insan yang mudah bertolak ansur dalam bab keduniaan. Jawapannya sentiasa,”Ikut suka hati ayah …..”. Walaubagaimanapun, Kakak begitu tegas dalam bab agama. Berapa kali bapa saudaranya ditegur kerana masih merokok. Kakak diberi pendidikan agama sejak kecil sehingga di Universiti, samada di sekolah atau di rumah. Kakak seorang yang rajin di dalm kerja-kerja jamaah dan memang memiliki jiwa pemimpin. Kehadiran ramai temannya dari UIA membuktikan hakikat ini. Di samping itu Kakak sangat cemerlang di dalam pelajarannya. Beberapa hari selepas meninggal dunia, kami menerima sepucuk surat daripada UIA memaklumkan Kakak tersenarai di dalam Senarai Dekan kerana kecemerlangan akademiknya. Saya menyaksikan sendiri banyak tanda-tanda kurniaan Allah kepada Kakak. Bilik tempat Kakak meninggal dunia harum semerbak bau bunga-bungaan (sehingga ke hari ini) walaupun kita tak pernah bawa masuk sekuntum bunga pun ke dalam rumah. Waktu dimandi jenazahnya oleh maknya tak ada sedikit najis apa pun keluar darinya. Wajahnya puteh berseri-seri, lembut ayu dan tersenyum seolah-olah seperti sedang tidur. Kombinasi semua ini dan banyak lagi memberikan seribu alasan untuk kami lebih gembira daripada bersedih di atas pemergiannya. Namun sebagai ayah, kehilangan Kakak tetap dirasai dan dirindui. Kakak telah membawa bersama secebis hati ayah yang tak mungkin dapat ayah perolehi kembali di dunia ini. Ayah sayang kepada Kakak dunia hingga ke akhirat ……..

Anak Bapa: Moga Allah cucuri ruh Kakak dan ditempatkan di kalangan orang yang solihin.

http://www.cikgu.net.my

Wednesday, October 22, 2008

Aksi 'Panas' Pelajar Sekolah: Kerajaan Perlu Ambil Tindakan Segera

Tiga hari kebelakangan kita didedahkan oleh sebuah akhbar tempatan, KOSMO! Ahad, berkaitan satu isu yang sangat mencemarkan imej institusi dan juga kualiti pendidikan Negara iaitu aksi 'panas' atau 'lucah' pelajar sebuah sekolah di Terengganu. Sudah tentu khabar ini bukan sesuatu yang kita harapkan daripada pelajar-pelajar sama ada di peringkat rendah, menengah atau pun di peringkat pengajian tinggi. Sebaliknya apa yang kita harapkan ialah institusi pendidikan di Negara kita dapat melahirkan modal insan yang cemerlang dari segi akademik dan baik dari segi peribadi dan akhlaknya.

Selain itu, kita dapat melihat fenomena ini berlaku dengan pantas dan meluas sekali seiring dengan kecanggihan teknologi yang ada pada hari ini. Untuk makluman umum, pendedahan yang dibuat oleh wartawan akhbar tersebut bukanlah yang pertama kali, sebenarnya dah berkali-kali. Namun, apakah tindakan yang telah diambil oleh pihak berwajib khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)? Perkara ini pun telah diakui sendiri oleh KPM melalui Timbalan Menterinya, Datuk Razali Ismail ketika ditanya berhubung isu ini dan beliau telah menyatakan bahawa pihak kementerian ada menerima beberapa aduan daripada orang ramai. "Kita memang menyiasat setiap aduan yang sampai kepada kita, kita tidak ambil mudah kerana ia melibatkan anak bangsa kita sendiri." Katanya.

Justeru itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) sebagai sebuah NGO Islam yang berdaftar berasa bertanggungjawab terhadap isu ini dan akan memberi kerjasama yang terbaik dengan Kementerian Pelajaran dalam usaha bersama menangani dan mengubati 'barah sosial' yang kian melanda muda-mudi kita pada hari ini. Dengan itu, pihak GAMIS ingin mencadangkan beberapa cadangan kepada pihak berwajib supaya mengambil tindakan segera dalam menangani gejala negatif ini iaitu:

1) Mengurangkan karenah birokrasi dalam menyiasat dan menangani masalah ini. Kita sedia maklum bahawa rakaman dan penyebaran klip video lucah sangat merbahaya dan mendatangkan kesan yang negatif para pelajar seperti ketagihan menonton video lucah, melakukan seks oral, terjebak dalam jenayah zina dan terdedah kepada jangkita virus HIV/AIDS. Jadi, kita sudah ada bukti yang jelas, maka tindakan undang-undang perlu segera diambil terhadap sesiapa sahaja yang terlibat tanpa perlu menunggu proses birokrasi yang sangat menyulitkan.
2) Pihak kerajaan juga perlu menggubal segera undang-undang yang tegas dan berat bagi mengharamkan segala bentuk cubaan untuk merakam, menghasilkan dan menyebarkan klip video lucah di dalam masyarakat tempatan. Selain itu, kerajaan juga perlu mengharamkan dan menyekat laman-laman web lucah, majalah-majalah lucah, dan jualan cakera padat VCD/DVD lucah yang berlambak di pasaran ketika ini.
3) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu mengkaji semula modul pendidikan Negara yang pada saat ini dilihat gagal melahirkan modal insan yang kental dan mempunyai jati diri yang kuat agar para pelajar kita tidak mudah terjebak dengan budaya-budaya yang tidak sihat.
4) Penerapan pendidikan Agama mestilah ditekankan betul-betul oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan menghalang penularan budaya 'hedonisme' di kalangan pelajar. Pendidikan Islam yang sebenar mampu melahirkan jati diri Muslim yang sempurna dari segi akademik, peribadi dan akhlaknya. Sebaliknya, sudah terbukti bahawa budaya 'hedonisme' melampau merupakan punca utama berlakunya gejala social dikalangan remaja kita.
5) Pihak kerajaan juga disarankan agar kembali memberikan kuasa autonomi kepada pihak guru dan pihak pentadbiran sekolah untuk mengambil tindakan tegas kepada pelajar-pelajar yang bermasalah.

Akhir sekali, pihak GAMIS menyeru kepada semua pihak baik kerajaan, swasta, NGO, individu, dan juga ibu bapa agar bersama-sama menangani isu ini dengan hikmah dan bijaksana. Masing-masing mempunyai peranan tertentu yang boleh dititikberatkan dan diambil tindakan yang efektif untuk menyekat 'gejala' tidak sihat ini daripada terus menular dalam masayarakat kita khususnya dikalangan para pelajar. Pihak GAMIS sekali lagi menyatakan kesudian kami untuk berbincang secara lebih serius dengan mana-mana pihak yang berminat dalam usaha untuk mengangani isu ini.

PRK 2008/09: Berilah Kebebasan Sebenar Kepada Mahasiswa

Tarikh Pilihanraya Kampus (PRK) bagi zon Lembah Klang masih lagi menjadi teka-teki di kalangan mahasiswa/i universiti di sekitar Lembah Klang antaranya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Desas-desus PRK akan dijalankan pada Januari 2009 sangat kuat dan agak mustahil ia akan dilakukan dalam masa terdekat memandangkan peperiksaan akhir semester sudah semakin hampir. Sebelum itu, terdapat beberapa universiti khususnya di zon Pantai Timur (UMP, UMK, UMT, UDM) dan zon Utara (UUM dan UPSI) telah pun mengadakan pilihanraya bagi memilih Majlis Perwakilan Mahasiswa Kampus masing-masing. Persoalannya sekarang mengapa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak menyelaraskan PRK pada kali ini seperti sediakala? Adakah benar ia ditunda dan tidak diselaraskan kerana perayaan Aidilfitri dan juga kerana peperiksaan akhir semester?

Untuk makluman semua, mahasiswa pada bulan ini sudah dua kali berpiket secara aman bagi mendapat kata putus daripda Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Khaled Nordin berkenaan teka-teki tarikh pilihanraya kampus 2008/09, menuntut PRK dijalankan secara adil dan telus serta menuntut supaya tidak ada campur tangan pihak luar sama ada daripada parti-parti politik, pihak kerajaan dan juga pihak dalaman (pentadbiran) univerisiti itu sendiri. Piket pertama diadakan di hapadan bangunan Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya pada 10 Oktober yang lepas dimana hampir 150 orang mahasiswa hadir bermai-ramai mendesak KPT supaya mengumumkan tarikh PRK segera yang mungkin. Namun, KPT tetap membisu dan mahasiswa dirempuh oleh anggota polis dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU). Tetapi, laungan 'Student Power' menguatkan mental dan semangat mahasiswa yang hadir pada hari tersebut dan akhirnya memorandum menuntut tarikh PRK diumumkan segera dan menunut PRK dijalankan secara bebas, adil dan telus dapat juga diserahkan kepada pegawai menteri Pengajian Tinggi bernam En. Arif.

Berdasarkan respon wakil menteri pada hari tersebut bahawa mereka tidak ada hak untuk membuat pengumuman tarikh PRK sebaliknya bergantung kepada universiti masing-masing yang menentukannya. Persoalannya, mengapa wakil Pro-Mahasiswa Universiti Malaya (Pro-M UM) ketika bertemu dengan Timbalan Naib Chanselor (TNC) universiti tersebut mereka mendapat respon yang berlainan. Apa kata TNC? "Tarikh PRK dibawah bidang kuasa Kementerian Pengajian Tinggi." Maklumat yang sama diperolehi oleh Pro-M Univerisiti Islam Antarabangsa Malaysia (Pro-M UIAM) atau lebih dikenali sebagai We Unite For Islam, dari sumber yang sahih, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Ust. Hamidon Abd. Hamid mengatakan pihak KPT yang berhak menentukan bila tarikh pilihanraya kampus akan berlaku. Bukankah ini merupakan satu percanggahan kenyataan yang ketara? Mengapa KPT dan HEP cuba mempermain-mainkan mahasiswa? Jika takut untuk berpencak dalam PRK secara adil dan telus, hapuskan saja PRK. Buat saja lantikan seperti di sekolah-sekolah, mahasiswa bukannya bodoh.

Susulan daripada piket mahasiswa di KPT, Soladariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Badan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) dan Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) mengadakan piket kali kedua bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersempena dengan perasmian Karnival Kerjaya Kebangsaan yang dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Khaled Nordin. Walaupun, mahasiswa diancam tindakan ganas pihak keselamatan UKM yang cuba membuat provokasi dan menimbulkan kekecohan supaya orang ramai memandang negatif kepada tindakan mahasiswa yang berkumpul secara aman pada hari tersebut untuk menyerahkan memorandum menuntut supaya PRK 2008/09 dijalankan secara adil dan telus. Akhirnya, pengerusi BBMN saudara Hilman berjaya juga menyerahkan memorandum tangan ke tangan kepada Khaled Nordin setelah berkali-kali menteri pengajian tinggi mengelak dari berjumpa dengan mahasiswa.

Bagi penulis, menjawab persoalan mengapa pihak kementerian dan juga pentadbiran universiti mahu merahsiakan tarikh PRK dari pengetahuan mahasiswa dan umum? Penulis berpendapat bahawa KPT cuba mengelak dari berlakunya 'tsunami' politik susulan daripada 'tsunami' politik yang melanda politik tanah air pada Mac 2008 yang lepas. Mereka juga sedar bahawa masyarakat khususnya golongan mahasiswa sudah mula cakna kepada situasi politik tanah air dan sekaligus menolak kepimpinan UMNO/BN dan juga anak didik mereka di kampus yang bergelar 'Proaspirasi'. Jadi, strategi yang digunakan ialah dengan tidak menyelaraskan PRK pada kali ini disamping ia dimulakan dengan kampus-kampus yang menjadi kubu kuat Proaspirasi. seperti di UUM, UMT, UMP dan UMK. Sungguh licik dan jijik sekali percaturan politik pemimpin-pemimpin UMNO/BN. Adakah ini dikatakan cara pelaksanaan sistem demokrasi yang sebenar? Kita perlu sedar, jika kita hendak menyuburkan dan memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai perjalanan sistem demokrasi yang tulen, memberi kebebasan kepada mahasiswa memilih sendiri pemimpin yang mereka fikirkan layak untuk memimpin mereka dan memberi pendedahan kepada mahasiswa mengasah bakat kepimpinan yang terpendam dalam diri masing-masing dengan menyertai dan menjadi calon dalam pilihanraya kampus maka pihak kementerian dan juga pentadbiran wajib memberi kebebasan yang sebenar-benarnya kepada mahasiswa berpartisipasi secara aktif dan terbuka dalam PRK yang merupakan medan terbaik malatih dan membentuk kepimpinan pelapis kepada Negara pada masa akan datang. "Berfikirlah dengan kepala otak, jangan berfikir dengan kepala lutut."

Kebebasan media M'sia merudum lagi

Kebebasan media di Malaysia jatuh merudum di mata antarabangsa apabila kedudukannya dalam Indeks Kebebasan Akhbar merosot lagi lapan anak tangga.

Daripada 173 negara yang ditinjau, Malaysia berada di tangga ke 132 berbanding 124 pada tahun lepas, demikian menurut organisasi pemantau kebebasan media, Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) yang berpangkalan di Paris hari ini.

Kedudukan baru ini meletakkan Malaysia lebih teruk berbanding tahap kebebasan di beberapa negara Afrika seperti Nigeria (di tangga 131) dan Cameroon (129) dan hanya baik sedikit berbanding Chad (133), Sudan (135) dan Bangladesh (136).

Tahun lalu, Malaysia merosot mendadak sebanyak 32 anak tangga berbanding kedudukan ke-92 pada 2006.

Menurut laporan RSF, kerajaan Malaysia menerima "kritikan menggunung" bawah pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akibat mengenakan tindakan keras terhadap media, termasuk penulis blog.

Media utama selalunya terpaksa mengecilkan liputan atau mengabaikan banyak program parti pembangkang dan NGO, misalnya demonstrasi Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) tahun lepas dan mengarahkan media menghentikan perbahasan tentang status negara Islam Malaysia.

Kes-kes lain termasuklah pengharaman akhbar Tamil Makkal Osai, pengharaman nama Allah di mingguan Kristian The Herald dan penamatan kolum penulis berwibawa Zainah Anwar dan Amir Muhammad di New Straits Times.

Penulis blog juga tidak terlepas daripada mendapat ancaman saman dan tangkapan polis, lapor RSF.

Petugas media beberapa akhbar seperti Malaysia Nanban dan Guangming Daily turut diserang oleh penyokong parti kerajaan.

Laporan itu juga mendakwa, media-media arus perdana didapati dikawal kerajaan dan mengamalkan swa-saringan.

Negara-negara jiran menikmati kebebasan akhbar yang lebih baik - dengan Indonesia di tangga ke-111 dan Thailand (124).

Bagaimanapun indeks kebebasan Singapura lebih buruk daripada Malaysia di kedudukan 144.

RSF merupakan organisasi terkenal yang memantau kebebasan akhbar di seluruh dunia sejak 1985.

sumber: malaysiakini.com

Sunday, October 19, 2008

Tayar Kereta Pak Din dicuri...Teruk Betul!






Salam Muhibbah buat sahabat-sahabat blogger sekalian!

Pertama sekali saya mohon maaf kerana lama tidak menulis atas masalah-masalah tertentu khususnya cuti Aidilfitri baru-baru ini. Maklum la...orang kampong. Kemudahan Internet tak dak lagi. Kalau nak kena pi bandar Alor Star atau pekan Air Hitam. Jadi malas la...dah sibuk siang malam untuk baiki rumah sempena walimah abang saya yang sulung. Sebelum tu, tahniah dan selamat pengantin baru buat a.dan dan k.ros...tertunai jugak hajat ayah walaupun dia tak sempat meraikan majlis tersebut bersama kita.




Hari ini, baru tamat kursus kerjaya bersama rakan-rakan mahasiswa yang bakal grad dari uia. Tapi, bila nak balik...kami terkejut beruk! bila melihat kereta milik Pak Din (Hafizudin A. Aziz) hilang dua tayar belakang, disamping dua tayar depan yang sudah ditanggalkan skrunya. Mungkin si pencuri tak sempat nak melarikannya...teruk betul manusia hari ini! (khas buat pencuri saja). Sume benda nak di curi...penutup besi longkang pun abis dicuri. Ish2...semoga Allah bagi hidayah kepada mereka. amin! Buat sahabatku Pak Din! sabar ya...jangan bersedih! InsyaAllah akan ku ushakan bantuan secepat mungkin.