Wednesday, April 29, 2009

1Malaysia: Keikhlasan & Ketelusan Kerajaan Diragui?

Era pemerintahan 'Pak Lah' atau lebih dikenali dengan 'Mr. Clean' sudah berakhir dengan penyerahan kuasa Presiden UMNO dan Pendana Menteri Malaysia kepada Dato' Seri Najib Tun Razak. Rakyat dapat melihat betapa Pak Lah terpaksa berbuat demikian, bukan atas desakan rakyat yang mahukan perubahan dalam pucuk pimpinan Negara, tapi atas dasar desakan Tun Mahathir Mohamad dan keinginan Najib yang mahu merasai 'nikmat' berada di kerusi empuk no. 1 Negara, Pak Lah terpaksa mengorbankan dirinya. Hampir latu dirinya dikritik hebat oleh Tun M. Ada pendapat yang kuat mengatakan Tun M berbuat demikian kerana Pak Lah membatalkan projek Jambatan Bengkok (JB), milik kroni Tun M. Dakwaan ini ada benarnya, manakan tidak? Selepas sahaja Najib mengangkat sumpah sebagai PM Malaysia yang ke-6, ada 'suara keramat' yang mahukan projek JB diteruskan kembali dan Tun M pun telah menyertai UMNO semula serta merestui Najib sebagai PM. Bagi saya penyertaan semula Tun M ke dalam UMNO serta merta selepas Pak Lah menyerahkan jawatannya kepada Najib merupakan satu 'penghinaan' yang disengajakan kepada Pak Lah. Tergamak Tun M berbuat demikian. Siapa Pak Lah? Anak buah Tun M juga, dan pilihan beliau juga untuk menggantikannya di 'kerusi empuk' no.1 Negara. Rentetan dari itu juga, Najib juga dilihat terus mengikut telunjuk Tun M dengan tidak melantik Khairy Jamaluddin (menantu Pak Lah) menyertai kabinet 'rakyat'nya, tapi sebaliknya melantik Datuk Mukhriz Tun Mahathir sebagai timbalan Menteri walaupun Mukhriz tewas kepada KJ dalam perebutan kerusi no.1 pemuda UMNO pada pemilihan agung UMNO yang lepas. Habis kroni Pak Lah dibakulkan dan dibuang sejauh-jauhnya.

Maka dengan bangganya Dato' Seri Najib cuba mahu membuat perubahan untuk mengikis segala 'karat' dan 'dosa' yang dilakukan oleh kepimpinan Pak Lah yang menyebabkan UMNO/BN masih lagi ditolak oleh rakyat di Semenanjung Malaysia ini setelah mereka tewas dalam empat Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Selambau dan Bukit Gantang. 'One Malaysia' atau 1Malaysia konsep perpaduan yang cuba dipekenalkan oleh Najib. Namun konsep ini masih lagi samar dan sukar difahami? Pada pandangan penulis tidak nampak idea perubahan yang bakal dibawa oleh kabinet baru pimpinan Dato' Seri Najib kerana konsep 1Malaysia yang cuba diperkenalkan oleh Najib sebenarnya bukan perkara baru. Sekali pandang tidak ada bezanya dengan konsep perpaduan nasional yang diperkenalkan sebelum ini? Apa perbezaan antara 1Malaysia dengan Malaysian Malaysia yang menjadi slogan parti DAP?

Selain itu, keikhlasan dan ketelusan PM ke-6 tersebut dalam nak memastikan konsep 1Malaysia direalisasikan juga diragui dan dipersoalakan? Kemarin Najib berkata: "konsep 1Malaysia yang selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara membolehkan setiap rakyat menerima bantuan kerajaan jika mempunyai potensi, tanpa mengira etnik, sama ada dari bandar atau luar bandar." [sumber: Berita Harian 29 April 2009] Kenyataan ini benar-benar akan menguji keikhlasan dan ketelusan Najib dan Kabinetnya dalam merealisasikan konsep 1Malaysia dengan mengutamakan 'perut rakyat' daripada 'perut sendiri' sepertimana yang diuar-uarkan oleh mereka ketika dilantik menjadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-menteri kabinet. Rakyat mesti melihat dengan mata hati dan pemikiran yang waras serta menilai akan kelibat mereka selepas ini. Benarkah apa yang mereka janjikan? Perut rakyat diutamakan atau perut mereka, keluarga dan kroni mereka? Hari ini PM dan TPM cuba membuat kejutan dengan membuat lawatan mengejut ke beberapa buah tempat untuk menunjukkan komitmen dan prihatin mereka terhadap masalah rakyat. Kita lihat! kita nilai! adakah mereka benar-benar ikhlas dan telus atau sekadar mahu meraih simpati rakyat untuk mereka terus kekal dan berkuasa di bumi Malaysia ini? Fikir-fikirkan!

No comments: