Showing posts with label news_campus_AUKU. Show all posts
Showing posts with label news_campus_AUKU. Show all posts

Monday, August 11, 2008

Pentadbir IPTA 'lebih senduk daripada kuah'

Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dijadual dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang tidak membantu meluaskan ruang kebebasan ahli akademik dan pelajar.

"Masalah di universiti, penguasaan golongan pentadbir yang lebih senduk daripada kuah," kata pensyarah kanan di jabatan sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Ahmad Nidzamuddin Sulaiman hari ini.

"AUKU tidak apa. (Persoalannya) pegawai yang cenderung kepada parti (kerajaan) berubah atau tidak?"

Beliau menambah, kebebasan di universiti tidak bergantung kepada pindaan AUKU, sebaliknya "sebahagian pentadbir yang prokerajaan mengambil sikap mengawal aktiviti pelajar dan pensyarah".

Dr Ahmad Nidzamuddin memberitahu Malaysiakini, jika pentadbir institut pengajian tinggi awam (IPTA) tidak bersikap memihak, kebebasan kampus akan lebih baik.

university campus election pollsPenguasaan golongan pentadbir ini ketara di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), jelasnya.

Ini menurut maklum balas daripada ahli akademik dan pelajar di kedua-dua pusat pengajian itu, tambahnya.

Pindaan AUKU, tambahnya, jika ingin benar-benar berkesan harus menilai cara penguasaan golongan ini di universiti.

Pelajar dan pensyarah yang menganjurkan aktiviti melibatkan pembangkang akan "dipanggil menghadap" dan diberikan amaran, jelasnya.

Bagaimanapun, menurut pensyarah politik itu lagi, dalam pertemuan pentadbir dengan kakitangan akademik itu, tidak ada apa-apa tindakan diambil.

"Cuma, kalau banyak kali panggil, tidak berani buat lagi," katanya.

Bagi pelajar pula, kata Dr Ahmad Nidzamuddin, permohonan menyambung tinggal di asrama tidak diberikan.

Mengulas pandangan ahli akademik UKM itu, ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkata sikap pegawai-pegawai pentadbiran IPTA terbentuk hasil penguatkuasaan akta itu selama ini.

nurul izzah 050407 smile"Pihak pentadbiran universiti adalah produk AUKU. Maka untuk mengubah corak pentadbiran, kita perlu mengubah akta yang wujud," katanya ketika dihubungi.

Beliau bagaimanapun menganggap pindaan akta itu sekadar "perubahan kosmetik" dan tidak menyelesaikan permasalahan dasarnya iaitu masalah kekangan yang wujud terhadap hak pelajar dan warga akademik.

Nurul Izzah, yang dipertanggungjawabkan mengkaji pindaan ini bagi pihak ahli-ahli parlimen PKR, menambah autonomi IPTA mesti dikembalikan seperti sebelum pindaan Akta Universiti Malaya 1961.

"Kita perlu mengembalikan hak dan kebebasan pelajar (dan pensyarah) seperti yang terkandung dalam Akta UM 1961. Teliti dan selesaikan masalah pokok iaitu ketiadaan autonomi (kampus)," katanya.

Tambahnya, pindaan kepada Seksyen 15 boleh mendorong penyalahgunaan kuasa menteri.

Tambahan lagi, keputusan melantik Naib Canselor masih di dalam tangan Menteri, walau atas nasihat jawatankuasa. Justeru isu pelantikan berbau politik akan terus mempengaruhi budaya universiti-universiti tempatan.

yusmadi yusofSementara seorang lagi wakil rakyat PKR Yusmadi Yusoff (foto kanan) pula menyifatkan pindaan tersebut hanya menyentuh aspek "remeh" seperti soal-soal administratif dan "menguatkan kuasa menteri".

Dalam seksyen 9, menurut wakil PKR itu, pindaan supaya ketua kampus cawangan dilantik oleh menteri tidak boleh diterima, sepatutnya dibuat oleh naib canselor.

"Sudahlah naib canselor dilantik oleh menteri. Lepas itu tiada kepercayaan kepada naib canselor (melantik ketua kampus cawangan)," kata ahli parlimen Balik Pulau, yang juga seorang pengamal undang-undang.

Pindaan-pindaan lain, tambahnya, seperti memberi kebenaran kepada ahli politik yang menyambung pelajaran bergiat dalam politik sebaliknya tidak perlu dipinda kerana perkara itu dijamin perlembagaan.

Beliau berkata, akta untuk universiti haruslah mementingkan kebebasan akademik, termasuk kebebasan berpersatuan.

Dalam AUKU, masalah paling ketara dalam seksyen 15 yang menyentuh kebebasan mahasiswa berpersatuan, katanya.

Beliau mencadangkan, pindaan AUKU sepatutnya menetapkan kriteria naib canselor dan memberikan kuasa autonomi kepada universiti.

naliniSuara Rakyat Malaysia (Suaram) pula berpendapat, akta kontroversi itu tidak perlu dipinda tetapi terus dimansuhkan seperti juga Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA).

"Tidak perlu buat akta, (kemudian) pinda sana sini," kata koordinator badan pejuang hak asasi itu, Nalini E (foto kiri).

Lulusan UKM itu menambah, sewaktu masih belajar, beliau melihat banyak tokoh daripada parti pemerintah dibenarkan terlibat dalam program universiti tetapi pemimpin pembangkang menerima nasib sebaliknya.

Beliau menyifatkan perkata itu sebagai pilih kasih.

gamis forum 100806 bannerGabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) "amat berharap" Seksyen 15 (4) yang berhubung soal bidang kuasa naib canselor diperhalusi semula kerana mempunyai ruang berlakunya "pilih bulu" dalam penguatkuasaannya.

"Sebaiknya diminimumkan kuasa naib canselor terhadap kawalan mahasiswa dalam berpersatuan. Mahasiswa harus diberi peluang memilih dan menyuarakan pandangan tanpa sekatan berdasarkan pengetahuan yang mereka ada," kata timbalan setiausaha agungnya Siti Nurul Munawirah Mohamad Roslan.

Bagaimanapun, gabungan itu menyambut baik usaha Kementerian Pengajian Tinggi berhubung cadangan pindaan akta itu.

"Langkah-langkah pindaan yang diambil secara tidak langsung, jika dilihat dari sudut positifnya, akan membantu memangkin kembali peranan penting mahasiswa dalam masyarakat, iaitu sebagai jurubicara ummah," katanya.

Rang undang-undang AUKU dibacakan bagi kali kedua pada sesi Dewan Rakyat yang akan bermula 28 Ogos ini dijangka panas terutamanya Seksyen 15 (hak mahasiswa berpersatuan) dan bidang kuasa menteri yang disebut dalam Seksyen 9 (kuasa menteri melantik ketua kampus cawangan), dan Seksyen 12 (hak menteri meminda, mengubah, atau membetulkan sesuatu perintah kampus).

Dalam seksyen baru 4(a) dan 4(b) pula, dijangka berlaku perdebatan hangat berkenaan jawatankuasa menasihati menteri bagi melantik naib canselor yang menyebut "menteri dari masa ke semasa hendaklah melantik satu jawatankuasa untuk menasihatinya mengenai perlantikan itu".

sumber: malaysiakini.com

Monday, July 28, 2008

Pindaan AUKU jangan 'sekerat-kerat' - GMMA

Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dikemukan oleh kerajaan mesti menyeluruh dan "bukan sekerat-sekerat", kata Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA).

"Kami bukan hendak sangat terlibat (dalam pindaan AUKU). Tetapi, hak-hak mahasiswa mesti dijamin betul-betul, bukan sekerat-sekerat.

"Perkara ini penting, mahasiswa (di masa depan) akan menentukan kepimpinan negara," kata penyelidik perundangan gabungan itu Faridzul Nasarudin yang turut mewakili GMMA bertemu ahli-ahli politik, termasuk timbalan menteri pengajian tinggi Datuk Idris Harun.

Pertemuan yang bermula 17 Julai lalu bertujuan membincangkan pindaan akta tersebut yang dijadualkan dibahaskan Ogos depan.

Pihak lain yang ditemui termasuklah Kelab Ahli Parlimen BN (BNBBC) dan Pakatan Rakyat.

Menurut Faridzul, yang juga presiden Persatuan Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, aktivisme mahasiswa dalam politik "biar terlibat sepenuhnya", termasuklah dalam persatuan berasaskan politik dan program-program politik.

Alasan bahawa pembabitan itu boleh mengganggu prestasi akademik pelajar tidak boleh diterima, tambahnya.

"Selama ini prestasi (akademik) tidak juga bagus. Mungkin dengan formula baru ini (terlibat dengan politik) akan memberi kebaikan kepada mahasiswa," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, GMMA mahukan AUKU dimansuhkan dan digantikan dengan akta baru – termasuk menimbangkan cadangan yang dikemukakan gabungan itu dalam 'Piagam Agung untuk Akta Mahasiswa 2008'.

Pada 25 Jun, GMMA mengemukakan "akta alternatif" itu kepada kerajaan yang dianggap dapat memberi kebebasan berpersatuan, bersuara, kebebasan akademik dan terlibat dalam politik.

Akta alternatif ini menjamin hak-hak mahasiswa yang selari dengan nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusi seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Perisytiharan Hak Asasi Manusia (UDHR) dan Piagam Bangsa-bangsa Bersatu.

Faridzul yang turut terlibat dalam penyelidikan merumus piagam itu berkata dokumen itu diserahkan kepada kepada Idris dalam pertemuan mereka di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Turut hadir dalam pertemuan itu, lima ahli BNBBC termasuk pengerusinya Datuk Seri Tiong King Sing dan ahli parlimen Muar, Razali Ibrahim.

GMMA disertai sepuluh wakil termasuk penyelarasnya Teh Yee Keong dan anggota-anggota persatuan bawah gabungannya.

Pemansuhan akta itu seperti mereka bawa bagaimanapun, menurut Faridzul, tidak dipersetujui oleh Idris dan wakil-wakil BNBBC.

Faridzul mencadangkan AUKU dimansuhkan dahulu sebelum menggubal akta baru.

"Akta-akta baru tentang pentadbiran dan kebebasan akademik, (boleh) fikirkanlah (kemudian). Yang penting, mansuhkan dulu (AUKU), kemudian kalau ada bahagian yang sesuai, ambil. AUKU mesti dimansuhkan. AUKU telah lama menghantui mahasiswa," katanya.

Perkara lain yang dipersoalkan oleh gabungan itu, kata Faridzul, termasuklah bidang kuasa menteri dalam "mengklasifikasikan halal-haram sebuah persatuan".

Menurutnya, dalam pertemuan, Idris mempertahankan peranan kementeriannya untuk menguruskan pentadbiran universiti.

Mereka juga menuntut kerajaan menubuhkan jawatankuas khas membincangkan pindaan AUKU tetapi idea itu tidak dipersetujui kerana BNBBC menganggap cadangan GMMA "merupakan idea pembangkang".

Aduan dan cadangan mereka mereka tentang tatacara pilihanraya kampus bagaimanapun diberikan perhatian oleh BNBBC, tambah Faridzul.

Sehari selepas itu, GMMA bertemu wakil-wakil DAP dan PAS untuk tujuan yang sama.

GMMA merancang mengadakan forum kebangsaan membincangkan pindaan AUKU pada 8 Ogos melibatkan wakil kerajaan, pembangkang dan wakil mahasiswa, kata Faridzul.

Sementara itu, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) berkata, cadangan menteri pengajian tinggi Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin kelmarin untuk membenarkan pemimpin parti politik termasuk pembangkang menyampaikan ceramah di kampus yang ada kaitan dengan sesuatu bidang pengajian akan memberi kebaikan kepada mahasiswa.

"Pada pandangan saya, mahasiswa seharusnya didedahkan dengan perbincangan isu-isu semasa berkaitan pentadbiran negara dan perkara yang berlaku dalam masyarakat supaya memberi peluang kepada mereka untuk menyatakan pandangan dan idea," kata exco akademik persatuan itu Mohd Ridzuan Mohammad.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata setelah meneliti cadangan pindaan akta tersebut, PMIUM berharap dapat melahirkan mahasiswa yang mampu memimpin persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Pindaan itu juga diharapkan mampu melahirkan mahasiswa yang kritis dan terbuka dalam memberikan pandangan dan idea terhadap sesuatu isu yang berlaku dalam dan luar negara," katanya.

Lihat pindaan AUKU dalam skop lebih luas

PASIR GUDANG 27 Julai - Semua pihak perlu melihat pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dalam skop yang lebih luas dan tidak hanya tertumpu kepada Seksyen 15 dalam akta itu sahaja.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, AUKU adalah akta yang memberi peruntukan kepada banyak perkara meliputi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti dan kolej serta aspek lain.

"Bagaimanapun, orang lebih berminat terhadap Seksyen 15 AUKU yang memberi kelonggaran kepada pelajar untuk meneliti dan menilai sesuatu perkara agar mereka dapat membuat keputusan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis pelancaran Fiesta Futsal Merdeka 2008 Pasir Gudang di sini hari ini.

Seksyen 15 AUKU melarang pelajar menyertai persatuan, pertubuhan dan sebagainya kecuali diperuntukkan dalam perlembagaan atau diluluskan oleh Naib Canselor universiti terbabit.
Beliau mengulas mengenai pindaan AUKU yang memberi lebih kebebasan pelajar dan kuasa autonomi kepada universiti, selepas dibentang di Dewan Rakyat minggu lalu.

Selepas pindaan diluluskan, kesalahan di bawah akta itu bukan lagi perbuatan jenayah malah pelajar juga diberi kelonggaran menganjurkan debat melibatkan pihak luar dari universiti.
Mohamed Khaled berkata, pindaan terhadap seksyen terpaksa dibuat kerana pada waktu ini pelajar sentiasa akan terdedah kepada banyak sumber maklumat semasa menuntut ilmu.

"Kalau kita tidak buat begitu (pinda) pun, mereka memperolehinya daripada Internet, sebab itu kita melakukannya (luluskan pindaan) supaya ia dapat memelihara keadaan.

"Ini penting supaya kita boleh tahu apa tajuk yang diperkatakan dan sejauh mana mereka memahaminya kerana pokoknya, pelajar akan dapat menjana pemikiran mereka dengan lebih meluas," katanya.