Showing posts with label news_campus_ptptn. Show all posts
Showing posts with label news_campus_ptptn. Show all posts

Monday, July 28, 2008

Majlis Fatwa putuskan caj PTPTN perlu berkonsep upah

PUTRAJAYA: Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan caj perkhidmatan yang dikenakan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN) hendaklah berkonsepkan upah sejajar matlamat penubuhannya untuk membantu pelajar membiayai pengajian.

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata kadar upah yang dikenakan itu juga mesti bersesuaian dengan perkhidmatan yang diberi dan tidak membebankan peminjam.

"Jika konsep upah ini digunakan, kadarnya mestilah berbaloi dengan kerja dan tidak membebankan pelajar," katanya kepada Berita Harian selepas mempengerusikan muzakarah khas Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan di sini.

Mesyuarat khas bagi membincangkan isu PTPTN itu berlangsung kira-kira satu setengah jam dan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz.

Difahamkan, konsep upah itu membabitkan formula kos sebenar pengurusan PTPTN sepanjang tempoh pinjaman yang dicampur bersama pinjaman peminjam bagi menggantikan caj perkhidmatan tiga peratus yang digunakan sebelum ini.

Abdul Shukor berkata, mesyuarat itu tidak menetapkan satu kadar yang tepat, tetapi beliau menjangka kadar baru itu akan memuaskan hati semua pihak kerana ia bersesuaian dengan kehendak syarak.

"Kita serahkan kepada PTPTN untuk menentukan corak pengiraannya dan pengumuman mengenainya akan dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin).

"Kita fikir mereka (orang ramai) akan berpuas hati kerana kerajaan, khususnya Kementerian Pengajian Tinggi sentiasa mencari jalan supaya masalah ini (caj perkhidmatan) dapat diselesaikan," katanya.


Caj PTPTN tidak langgar syarak - MFK

PUTRAJAYA 28 Julai – Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan caj perkhidmatan yang dikenakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke atas peminjamnya tidak menyalahi syarak tetapi mahu kadar tiga peratus sedia ada diturunkan bagi meringankan beban pelajar.

Pengerusinya, Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, keputusan itu dicapai hasil muzakarah khas yang dipengerusikan beliau bersama wakil PTPTN di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.

Menurut beliau, sebelum ini caj perkhidmatan yang dikenakan PTPTN ialah empat peratus pada 1997 sebelum ia diturunkan kepada tiga peratus.

‘‘Setelah diberi penerangan mengenai upah operasi termasuk beberapa caj lain, kita bersetuju ia tidak menyalahi syarak dan tiada halangan dari sudut syariah agar ia tidak membebankan peminjam dan pemberi pinjam (PTPTN).

‘‘Jika melihat kepada prinsip, mungkin ia dapat dikurangkan sekitar satu peratus atau satu peratus setengah daripada kadar sedia ada setelah dibuat perkiraan semula termasuk mengambil kira caj upah dan operasi,” kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

Baru-baru ini, pelbagai pihak termasuk peminjam menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap PTPTN kerana mengenakan caj tiga peratus daripada jumlah pinjaman yang perlu dibayar semula selepas pelajar menamatkan pengajian.

Berikutan itu, Majlis Fatwa Kebangsaan diminta menyemak caj tiga peratus itu bagi mengelak wujudnya unsur riba seperti didakwa oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Setakat ini terdapat hampir 1.14 juta peminjam PTPTN dengan nilai pinjaman mencecah RM23 bilion.

Bagaimanapun, sebanyak 49 peratus daripada mereka masih gagal membayar balik pinjaman yang berjumlah hampir RM708 juta.

Abdul Shukor berkata, perubahan caj perkhidmatan baru yang dikenakan nanti akan ditentukan oleh PTPTN melalui Kementerian Pengajian Tinggi setelah dibuat perkiraan semula.

PTPTN rombak bayar pinjaman?

BANGI: Jadual pemotongan semula wang pendahuluan awal memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan distruktur semula. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron, berkata sebelum ini pemotongan wang pendahuluan itu dibuat sebaik pelajar mendapat pinjaman pertama sehingga membebankan pelajar berikutan potongan sekali RM1,500 satu semester. “Bayaran dicadangkan tiga kali iaitu RM500 sekali potongan,” katanya selepas Majlis Penutup Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2008 di Institut Latihan Keselamatan sosial KWSP semalam.