Saturday, August 9, 2008

Forum "Memeluk Islam" Bar Council diBubarkan!



Lautan manusia

Kuala Lumpur; 08 Ogos 2008 (Sabtu), masyarakat Islam di Negara ini mencatatkan satu sejarah penting dalam satu usaha mengagalkan tindakan yang tidak bertanggungjawab pihak-pihak yang cuba memusuhi Islam dan bermain dengan api dengan masyarakat Muslim. Majlis Peguam (Bar Council) sepatutnya menjadi sebuah badan yang profesional dalam segala tindakannya tetapi hari ini cuba bertindak 'biadap' dengan menganjurkan satu forum yang sensetif berkaitan Islam dan dengan jelas cuba mengugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi di Negara ini.


Banner GAMIS bantah forum terbuka Bar Council

"Memeluk Islam" merupakan tajuk pilihan mereka. Apakah maksud disebalik pemilihan tajuk tersebut? Adakah mereka ingin membela Islam atau menggugat kedudukannya sebagai agama rasmi seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan, perkara 3 (1). Selain itu, cubaan untuk mempertikaikan perkara 121 (1A) di mana Mahkamah yang disebut dalam Fasal (1) tidaklah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah. Apa yang pasti, mereka cuba menyalakan api kemarahan umat Islam di Negara ini, mereka cuba bermain api dengan kita, sebab itu keangkuhan mereka mesti di ajar sebelum berlaku peristiwa yang lebih dahsyat iaitu peristiwa 13 Mei ke-2.

Aktivis-aktivis GAMIS yang hadir

Sehubungan itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) juga mengambil bahagian bersama-sama front-front lain seperti Pemuda PAS, UMNO, PPIM, PEKIDA, Majlis Peguam Islam Malaysia, GPMS dan NGO-NGO Islam yang lain membantah keras serta mendesak forum tersebut dibatalkan serta merta. Walaupun pada awalnya pihak penganjur bertegas untuk meneruskannya juga dan memberi jaminan bahawa mereka tidak akan menyentuh tentang kedaulatan Islam di Negara ini, akhirnya mereka tewas juga dengan desakan dan sorakkan masyarakat Islam yang hadir pada hari ini. "Hidup-hidup, hidup Islam", "hancur-hancur Bar Council" dan "batal-batal, batal forum" antara slogan yang dilaungkan.

Menjunjung KEADILAN Menyanggah KEZALIMAN - GAMIS

Laungan keramat "Student! Power" juga kedengan di angkasa apabila Sdr. Qusyairi, Timb. Presiden 2 GAMIS memberikan pidatonya yang membakar semangar para demonstrator yang hadir. Beliau juga menyatakan pendirian Mahasiswa Islam khususnya GAMIS terhadap forum anjuran Bar Council tersebut bahawa Mahasiswa akan sentiasa bersama umat Islam di Negara ini akan cuba mempertahankan kedaulatan Islam sebagai Agama rasmi persekutuan dari sebarang usaha pihak yang tidak bertanggungjawab walaupun ke titisan darah yang terakhir. "Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!" orang ramai menyambut ucapannya dengan bertakbir penuh semangat dan keimanan.

Tidak berganjak: aktivis-aktivis GAMIS teguh berdiri menyatakan bantahan

Selain itu, turut memberi ucapan pada hari bersejarah tersebut ialah Ahli Parlimen Kubang Kerian, yang juga merupakan ketua Pemuda PAS Pusat, YB. Salahudin Ayob, Ahli Parlimen Kulim, YB. Zulkifli Nordin, Mahaguru Zainal Abidin (PERKIDA), dan lain-lain lagi. Orang ramai mula bersurai apabila dewan forum dikosongkan dan kesemua peserta keluar beramai-ramai diikuti dengan sorakan bertali arus dari peserta demonstrasi yang hadir. Keadaan pada hari tersebut dapat dikawal dengan baik oleh Unit Amal Malaysia dan Pihak Polis walaupun terdapat provokator-provokator yang cuba mengeruhkan keadaan dengan menyeru uamt Islam yang hadir supaya merempuh sekatan pihak polis dan bertindak di laur kawalan. Namun, pemimpin-pemimpin pemuda PAS serta beberapa NGO lain dapat menenangkan keadaan dengan baik.

Hidup Islam!

Wednesday, August 6, 2008

Murabbiku Pergi Tak Kembali Lagi (bhg 1)


Tanggal 1 Ogos 2008 (29 Rejab 1429 H) merupakan satu tarikh yang sukar ku lupakan dalam sejarah hidupku. Setelah selesai bermesyuarat hampir 2 jam bersama-sama aktivis Mahasiswa Islam UIAM, aku terus pergi ke pejabat Majlis Perwakilan Mahasiswa UIAM (SRC) untuk bersama kawan-kawan mengecat banner. Waktu itu hanya aku bersama zuhazmin (Jumin) sampai terlebih dahulu dari kawan-kawan yang lain. Tiba-tiba aku mendapat panggilan dari Pak Andak (Bapa Saudara sebelah Ibuku) pada jam lebih kurang 12.15 am mengkhabarkan bahawa ayahku sedang tenat dan dia mohon untuk segera pulang malam itu juga. Aku segera menghantar mesej (sms) kepada kawan-kawan utama bertanyakan pendapat mereka sama ada perlu pulang segera atau tidak. Kemudian aku cuba untuk menghubungi adikku (Hafiz@pak ndak) untuk bertanya keadaan sebenar ayahku. Namun, bukan adikku yang menjawab panggilan tersebut, sebaliknya Pak Andak yang menjawab dan memberitahuku bahawa ayahku telah menghembuskan nafas yang terakhir serta memintaku supaya memberitahu saudara maraku yang berada di Lembah Klang. Terus beliau meletakkan handphone…aku pun terus memberitahu Jumin. Dia pun seolah-olah kaku, diam seribu bahasa.

Praktikal Teori Ukhwah Islamiyah

Alhamdulillah, aku dianugerahi dan dikelilingi oleh sahabat-sahabat seperjuangan yang sangat mulia. Aku cuba menghubungi Yusof Nor untuk meminjam keretanya untuk segera pulang ke kampong (Kedah), dengan mudah dia mengizinkan. Yusof ini memang kebangaanku kerana sifatnya yang mudah untuk meminjamkan keretanya pada bila-bila masa diperlukan sebelum-sebelum ini. Cadangan awal hanya empat orang sahaja yang akan ikut aku pulang ke kampong, akan tetapi menjadi 25 orang apabila lebih ramai sahabat-sahabat yang ingin turut serta bersama. Terima kasih buat sahabat-sahabatku sekalian, buat semua sama ada yang dapat pergi bersama atau tidak, ramai yang berkumpul memenuhi jalan di depan block E Mahallah Uthman, tidak henti-henti memberi semangat dan mengucapkan takziah serta memberi sumbangan sedikit sebanyak kepadaku yang mana aku tidak dapat menolaknya walaupun sebelum ini aku ini merupakan orang yang sukar menerima sumbangan orang. Aku juga dihujani sms yang tak henti-henti sehingga ke hari ini. Terima kasih semua…semoga Allah membalas segala kebaikan kepada kalian! Amin.

Ku Cium Ayahku yang Kaku Berkali-kali

Alhamdulillah, aku diberi kekuatan oleh Allah S.W.T. untuk terus tabah menerima takdir dan ketentuan dari-Nya. Aku menangis hanya seketika, ketika mencium dahi dan kelopak mata ayah kesayanganku, begitu juga ketika aku bersalam dan mencium dahi serta pipi ibuku. Sambil menangis ibuku memberitahu yang ayahku tidak sakit seperti ketika beliau tenat sewaktu dahulu (bulan lepas). Beliau tidak henti-henti melafazkan kalimah ‘Lailaha Illallah’ sehinggalah beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Alhamdulillah. Selepas itu, aku kembali ke sisi ayahku, kuciumnya lagi, ku hadiahkan padanya doa dan zikir, ku ciumnya lagi, ku baca al-Quran dan ku ciumnya lagi. Itulah yang terakhir, alhamdulillah ketika hayat beliau masih ada aku sempat menciumnya dan mohon doa daripadanya ketika hendak pulang ke UIA selepas aku balik ke kampong disebabkan beliau tenat pada bulan lepas. Orang ramai serta saudara mara berpusu-pusu dan tidak henti-henti memberi penghormatan terakhir buat Ketua keluarga ku. Ruang dalam rumahku dipenuhi dengan kaum Hawa, manakala di luarnya dipenuhi oleh kaum Adam. Ku terfikir sejenak! “Alhamdulillah…ini mungkin kelebihan orang yang mati pada hari Jumaat dan di bulan mulia iaitu rejab.” Bisik hati kecilku.

Tunaikan Hajat Pak Teh dan Tok Cik

Mohd Ridhwan! Ibuku memanggil namaku…: “Mak Teh suruh pi ambik Pak Teh (Bapa Saudara)” kata ibu. Tanpa banyak bicara aku terus mendapatkan kunci kereta dan pergi bersama adikku (Firdaus@pak teh) serta Mak Teh (Mak Saudara) untuk membawa Pak Teh yang menghidap penyakit lumpuh. Sebenarnya beliau memohon untuk menziarahi ayahku pada malam kejadian lagi, akan tetapi atas masalah keuzuran beliau serta masalah ketiadaan kenderaan (kereta) maka hajat beliau tak dapat ditunaikan. Sesampai sahaja di persimpangan rumahku, beliau terus menangis teresak-esak…Mak Teh terus memarahinya: “Jangan la dok gheyau (nangis), malu kat orang”. Pak Teh tetap menangis juga. Mungkin beliau sedih sebab tak sempat bertemu dengan ayahku. Aku bersama adikku mengangkat beliau dan membawa beliau ke sisi ayahku, beliau merenung ayahku sambil mengalirkan air mata, mulutnya terkumit-kumit, mungkin membaca sesuatu (doa/zikir/al-Quran) kerana beliau tidak dapat bercakap seperti orang biasa dengan fasih setelah terkena racun pertanian. Kemudian aku bergegas ke kereta bersama Syafiq untuk mengambil Tok Cik (Ibu Saudara kepada ibuku) yang menetap di kampong asal ayahku (Kg. Kuar Jawa). Usia beliau sudah lanjut…alhamdulillah beliau sempat juga melihat jenazah ayahku yang kaku.

Ku Mandikan Ayahku Buat kali Terakhir

Jam menunjukkan lebih kurang pukul 10.00 am, aku serta beberapa orang abang dan adikku memandikan ayahku. Kami membantu dua orang Ustaz yang diundang untuk memandikan jenazah. Bila hampir selesai, aku bergegas ke rumah Mak Long (sebelah rumah) untuk mandi dan membersihkan badanku terlebih dahulu sebelum menunaikan solat jenazah. Setelah selesai, aku bergegas ke dalam rumah dengan harapan sempat untuk memberi kucupan terakhir buat ayahku, tetapi malangnya hajat aku tidak kesampaian, ayahku sudah siap dikapankan. Kedengaran suara ibuku bertanya-tanya: “Mana Cik Wan? Mana cik wan? Tak cium ayah ke?”. Dalam hati aku menjawab…: “Tak pa la Mak, cek dah cium ayah berkali-kali sebelum dan selepas beliau kembali kerahmatullah, syukur sangat-sangat.” Alhamdulillah.

Jenazah Ayahku dibawa ke Masjid Jerlun

Lebih kurang jam 10.40 am kami menghusung keranda memasuki van yang disediakan untuk membawa jenazah ayahku ke Masjid Jerlun yang terletak lebih kurang 1 km dari rumahku untuk disembahyang dan disemadikan jenazahnya. Alhamdulillah, ramai yang hadir untuk menunaikan solat jenazah ayahku…syukur sangat!. Tepat jam 11.00 am, aku terus mengimami solat jenazah tersebut. Setelah selesai bacaan doa dibaca oleh Ust. Mat Rejab (seorang Tok Guru Pondok) dan penutupnya oleh aku sendiri. Setelah selesai, ada baki empat orang yang belum solat, jadi kami terpaksa tunggu sebentar untuk memberi peluang kepada mereka untuk menunaikannya (jama’ah kedua).

Jenazah Ayahku Selamat disemadikan

Lebih kurang jam 11.30 am jenazah ayahku selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam, Masjid Kampong Jerlun. Ku gumpal tanah liat dan ku masukkan ke dalam liang lahad. Tanah ku tiimbus-timbus bersama abang, adikku dan penggali kubur sehingga padat dan selesai. Alhamdulillah! Ayahku selamat dikebumikan. Kemudian talkin dibacakan bermula dengan aku, ust. Kamarudin dan kawan kepada adikku dari Pattani untuk memberi peringatan dan inzar kepada insan yang masih bernyawa.

Doaku untukmu Ayah!

Ya Allah! Kau ampunilah segala dosa-dosaku serta kedua ibu bapa, rahmatilah mereka berdua seperti mana mereka mengasihaniku sejak aku masih kecil.

Ya Allah! Kau ampunkanlah segala kesalahan dan dosa-dosa ayahku, samaada dia melakukan dalam keadaan sedar atau tidak.

Ya Allah! Kau bukakanlah kepada beliau pintu-pintu langit-Mu, cucurilah rahmat-Mu ke atasnya, limpahkanlah magfirah-Mu kepadanya dan redhakanlah segala tingkah lakunya tatkala beliau masih hidup.

Ya Allah! Kau jadikanlah kubur ayahku satu taman daripada taman-taman Syurga, luaskanlah kuburnya, campakkanlah ketenangan dalamnya, dan jadikanlah ayahku ahli daripada ahli-ahli Syurga bersama Nabi-Mu Muhammad S.A.W.

Ya Allah! Kau terimalah segala amal kebaikan yang telah dilakukan oleh ayahku, Kau ampunilah segala kesalahan dan kesilapan beliau, beratkanlah timbangan kebaikan beliau, ringankanlah timbangan kejahatan beliau, jadikanlah beliau dikalangan Ahli Yamin, dan jadikanlah kami (anak-anak serta isterinya) saksi kepada amal kebaikannya di dunia ini.

Amiin Ya Rabbal A’alamin!


Aku cinta padamu ayah! aku rindu padamu...namun Allah S.W.T. lebih menyayangimu. Berbahagialah kamu di Akhirat sana. Moga-moga seluruh ahli keluarga kita dapat bertemu bersama di Syurga nanti. Amin, ya Allah!

bersambung...

Syair Rindu Buatmu Ayah!


Ayah! dikau pergi menemui Rabbi
Tatkala aku jauh di perantauan
Menimba ilmu dan budi
Agar menjadi ilmuan budiman

Ayah! sungguh mulia hatimu
Tatkala dikau minta untuk ziarahi iparmu
Rupa-rupanya itulah tanda akhiranmu
Dua Kalimah kau lafazkan tanpa jemu

Ayah! dikau pergi meninggalkan kami
Namun ku pasrah pada takdir Ilahi
Benar sungguh janji Rabbi
Setiap insan pasti merasai mati

Ayah! aku sangat merinduimu
Rindu kepada belain serta didikanmu
Kasihmu kepadaku tidak terhingga
Hingga kau sanggup berlapar dahaga

Ayah! aku masih ingat sewaktu dahulu
Kau membanting tulang bersama ibu
Di panas terik di bawah sinaran mentari
Sawah padi saksi kasihmu pada kami

Ayah! kau mendidik kami dengan Islam
Halal haram engkau tegaskan
Agar darah dagingmu mendapat berkat
Hidup bahagia Dunia dan Akhirat

Ayah! tatkala jasadmu telah kaku
Aku tak henti-henti mengucupimu
Doa dan zikir ku bekalkan untukmu
Namun tak terbalas juga jasamu

Ayah! usah kau risau lagi
Akan ku jaga ibu serta adik
Agar kami menjadi hamba soleh
Sentiasa mengalirkan pahala Jariyah

Ayah! ku pohon padamu segala kemaafan
Andai tersalah kata serta perbuatan
Mudah-mudah Allah S.W.T. Ampunkan
Semoga kita bertemu bahagia di Hari Kemudian

Ya Allah! kau cucurilah rahmat dan magfirahmu
Buat ayahku yang disayangi lagi ku rindu
Jadikanlah kami saksi kepada amal kebaikannya
Tempatkannya bersama Nabi-Mu di Syurga sana

Amin...Ya Rabbal A'alamin!

Tuesday, August 5, 2008

Gantikan Tugu Negara, kata mufti

Malaysia tidak memerlukan Tugu Peringatan Negara kerana ia "mempunyai unsur-unsur keberhalaan" dan "bukan warisan kita", kata mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

"Ia (tugu itu) patut digantikan dengan perkara lain," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas sama ada monumen bersejarah itu wajar dirobohkan kerana didakwa mempunyai unsur-unsur keberhalaan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Jumaat lalu, mufti itu menyarankan perdana menteri atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam menyempurnakan istiadat meletak kalungan bunga di tugu berkenaan sempena Hari Pahlawan 2008 agar bertaubat kepada Allah.

dr asri mufti perlis blog comment on pak lah on hari pahlawan flower at national monument 040808Menulis di blognya bersama foto Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan kalungan bunga (foto kiri), Dr Mohd Asri berkata:

"Perbuatan mana-mana individu muslim sama ada pemimpin atau rakyat yang meletakkan kalungan bunga, tabik hormat dan bertafakur yang dilakukan untuk Tugu Negara adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip akidah Islam yang anti kepada sebarang unsur keberhalaan.

"Perbuatan seperti itu seakan menjadikan tugu berkenaan berhala yang dihormati. Sekiranya pun pelakunya tidak mempunyai sebarang iktikad bahawa itu semua memberi manfaat dan mudarat, maka perbuatan itu adalah sia-sia dan bodoh. Ia tetap haram kerana meniru perbuatan musyrikin.

"Jika pelaku beriktikad itu memberikan kemanfaatan kepada keamanan, kedamaian ruh mereka yang telah meninggal dunia, maka itu adalah perbuatan syirik yang jelas. Akidah Islam menentang sebarang unsur keberhalaan.

"Pemimpin atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam perbuatan ini hendaklah bertaubat kepada Allah dan kembali kepada akidah Islam yang sebenar."

Khamis lepas, selepas perdana menteri, acara peletakan kalungan bunga disusuli panglima angkatan tentera Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan.

mohd asri zainul abidin interview 231106 assuredDr Mohd Asri turut menyifatkan acara memperingati pahlawan di Tugu Negara sebagai tindakan untuk "mengalihkan pandangan" awam terhadap isu kebajikan keluarga-keluarga bekas tentera.

"Ia mengalihkan pandangan terhadap isu sebenar. Adakah dengan memberi penghormatan di Tugu Negara dapat membantu kaum keluarga pejuang kita? Adakah elaun, gaji, pertolongan terhadap ahli keluarga bekas pejuang terbela?" katanya hari ini.

Beliau menjelaskan, perbuatan memberi hormat kepada Tugu Negara adalah haram mengikut fatwa kebangsaan dan fatwa Perlis.

"Sebab itu sewaktu Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis menjadi Yang di-Pertuan Agong dulu, baginda tidak pernah berbuat demikian," katanya.

Diminta mengulas tentang jenis-jenis patung yang dibenarkan dalam Islam, beliau berkata, pada asalnya semua patung tidak dibenarkan tetapi terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama Islam.

Namun, katanya, unsur membesar-besarkan patung tetap tidak dibenarkan.

Patung jika digunakan untuk tujuan perubatan, penyelidikan dan pendidikan adalah dibenarkan, katanya.

Ditanya tentang penggunaan patung untuk tujuan kesenian, beliau berkata, Islam tidak menghalang kesenian, tetapi mestilah ada batasnya.

Patung tidak boleh membesarkan objek asalnya atau imej yang dipatungkan, tambah Mohd Asri.

sumber: malaysiakini.com