Tuesday, March 25, 2008

Pinda AUKU: Mahasiswa Sambut Baik Cadangan KPT

Mahasiswa menyambut baik cadangan Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi memberi mahasiswa dan universiti lebih kebebasan dalam usaha melahirkan intelektual generasi kedua yang lebih berdaya saing serta mempunyai daya tahan yang tinggi.

Sudah tiba masanya untuk kita menilai kembali akta tersebut dan memberi nafas baru kepada universiti dan mahasiswa untuk lebih bergiat aktif dan kreatif. Kebebasan seharusnya diberikan sepenuhnya kepada mereka agar dapat memajukan diri dan melonjakkan kredibilti universiti ke peringkat antarabangsa. Universiti berhak menentukan halatuju masing-masing untuk memberi khidmat terbaik kepada ummah dan melahirkan ramai graduan yang berkualiti tinggi untuk menjadi ejen perubahan kepada masyarakat dan negara. Justeru, tidak perlu adanya apa-apa sekatan atau akta yang boleh menyekat dan merencatkan visi atau misi sesebuah unversiti.

Selain itu, mahasiswa juga merupakan elemen yang penting untuk membawa arus perubahan dalam masyarakat. Bergelar golongan cerdik pandai dan cendikiawan muda mereka ini haruslah diberi lebih perhatian dan kebebasan untuk bergiat lebih aktif dan kreatif di dalam dan luar universiti. Mereka ini sepatutnya tidak terikat dengan mana-mana akta untuk menyuarakan pandangan, mengkritik mana-mana pihak dan terlibat dengan mana-mana pertubuhan termasuk parti-parti politik. Mengapa perlu adanya halangan dan sekatan? Jika mereka melakukan sebarang kesilapan dan kesalahan, maka ambillah tindakan yang sewajarnya dengan memberi teguran dan tunjuk ajar kepada mereka.

Galakan haruslah diberikan kepada mereka untuk terlibat dengan mana-mana pertubuhan khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dengan gerakan sivil dan kemasyarakatan. Pengalaman dan ilmu yang mereka perolehi di kampus sewajarnya di kongsi bersama dengan masyarakat di luar disamping mereka akan menimba pelbagai ilmu dan pengalaman baru apabila bergiat aktif di dalam kelompok masyarakat. Cadangan pindaan ini haruslah dipandang serius oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi yang dipimpin oleh Dato’ Khaled memandangkan keputusan undian pesanan khidmat ringkas (SMS) yang dibuat oleh TV3 malam tadi menunjukkan 91% masyarakat pelbagai latarbelakang bersetuju untuk AUKU dimansuhkan bukan dipinda.

No comments: