Monday, March 24, 2008

Kerajaan cadang pinda AUKU: Khaled


PUTRAJAYA: Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kerajaan akan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi memberi pelajar dan universiti lebih kebebasan.

Beliau berkata, kajian awal mendapati beberapa peraturan dalam AUKU menyekat kreativiti pelajar dan pihak pengurusan universiti untuk mencapai tahap kecemerlangan di peringkat global.

Sehubungan itu, katanya, pihak pengurusan universiti akan diberi kuasa autonomi secara berperingkat mengikut kesesuaian masa dan keperluan sebaik AUKU dipinda bagi memastikan tugas mentadbir berjalan lancar.

Katanya, pihak pengurusan universiti memerlukan perubahan dan kini sudah tiba masanya akta berkenaan dikaji semula dalam usaha melahirkan intelektual generasi kedua yang lebih berdaya saing serta mempunyai daya tahan yang tinggi.

"Pihak pengurusan universiti memerlukan kuasa autonomi yang lebih bagi membolehkan mereka bebas membuat keputusan penting untuk kebaikan semua pihak, sedangkan kini keputusan tertakluk kepada ketetapan kementerian.

"Kuasa yang terhad menyebabkan masing-masing kurang kreatif dalam usaha melonjakkan kecemerlangan pendidikan.

"Malah, pemberian kuasa autonomi memberi peluang pihak pengurusan lebih bertanggungjawab dalam keputusan yang dibuat," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan tugas oleh bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed di sini semalam. Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Zulkefli A Hassan.

Mohamed Khaled berkata, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkaitan, termasuk tokoh akademik, pengamal industri dan wakil pelajar berhubung cadangan meminda AUKU.

Kajian semula AUKU, katanya, juga sejajar dengan langkah kerajaan mengkategorikan universiti, iaitu Universiti Penyelidikan dan Universiti Apex, yang memerlukan pihak pengurusannya memperoleh kuasa autonomi yang lebih bagi memutuskan keputusan penting.

Beliau berkata, AUKU menyebabkan universiti berkenaan tidak mempunyai kuasa mutlak melantik naib canselor dan timbalan naib canselor.

"Keadaan ini memerlukan perhatian dan peraturan sedia ada perlu diubah mengikut keperluan semasa bagi memastikan pelaksanaan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara berjalan lancar.

"Usaha ini sekali gus membantu kerajaan merealisasikan wawasan menjadikan negara sebagai hub pendidikan tinggi serantau," katanya.

Mengulas perkara lain yang akan diberi perhatian khusus, Mohamed Khaled berkata antaranya program pembelajaran sepanjang hayat yang kini menjadi pilihan golongan profesional meningkatkan nilai ditambah dalam kerjaya masing-masing.

Beliau berkata, fungsi Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) dan peranan agensi akreditasi negara - Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF), juga akan dimantapkan bagi memastikan program yang ditawarkan di semua institusi pengajian tinggi memenuhi kriteria ditetapkan.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya juga bercadang melaksanakan penarafan bagi setiap program pengajian mengikut universiti.

Beliau turut memberi jaminan akan meneruskan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, terutama bagi meningkatkan kedudukan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dalam senarai pengiktirafan antarabangsa serta kualiti kursus untuk mengurangkan graduan menganggur.

Katanya, tidak timbul isu mengubahsuai pelan induk kerana yang paling penting ialah pelaksanaan dan pencapaian matlamat yang ditetapkan.

"Menteri sebelum ini sudah menyediakan landasan kukuh, antaranya menyediakan pelan induk bagi menentukan hala tuju pendidikan tinggi negara. Yang penting sekarang bagaimana kita menterjemah dan melaksanakannya dan ia perlu dilakukan di peringkat IPT itu sendiri.

"Ini kerana IPT diterajui kumpulan yang bukan saja berilmu, malah individu yang mewakili sebahagian daripada cerdik pandai negara yang mempunyai idealisme masing-masing dalam menentukan sasaran yang perlu dicapai dalam tempoh tertentu," katanya.

sumber: http://www.bharian.com.my


No comments: