ADA CAHAYA TAPI BERJALAN DALAM KEGELAPAN. Bunyinya agak pelik? tapi itulah hakikat perjalanan kehidupan masyarakat Islam pada hari ini. Mereka lebih suka berjalan dan memilih jalan yang gelap dari menerokai dan melalui jalan yang lurus dan bercahaya. Apakah yang dimaksudkan? Hari ini kita dapat lihat pelbagai penyakit sosial dan nanah jenayah berlaku dalam negara kita? Ada yang diketahui puncanya dan ada yang tidak diketahui. Ada yang dapat jalan penyelesaiannya, ada yang masih kabur dan ada yang tidak nampak akan ada jalan penyelesaiannya.
Islam merupakan agama rahmat bagi seluruh alam. Islam datang dalam keadaan yang ganjil di tengah-tengah kejahilan dan kegelapan ketuhanan pada zaman jahiliyyah. Islam datang membawa cahaya yang menyinari dan menjadi penyuluh kepada manusia menuju jalan yang lurus dan benar. Cahaya Iman dari Tuhan pencipta langit, bumi dan seluruh alam semesta ini berjaya mengeluarkan manusia dari kegelapan jahiliyyah kepada cahaya Islam, dari kesesatan melampau terhadap ketuhanan kepada pengabdian terhadap Yang Esa, dan dari sifat kebinatangan kepada sifat kemanusiaan yang hakiki.
Islam adalah penyelesaian kepada segala jenis penyakit dan nanah sosial dalam masyarakat. Islam adalah penyelesaian kepada jenayah kejam yang kian subur dalam negara kita. Islam adalah agama dan cara hidup yang sempurna bagi memenuhi kehendak dan membimbing manusia kepada jalan yang sebenar. Kebejatan gejala sosial dan keruntuhan nilai-nilai kemanusiaan dalam masyarakat kita pada hari ini adalah disebabkan kita tidak mahu mengikut sistem yang telah ditetapkan oleh Sang Pencipta alam dan kehidupan ini. Bukan sahaja kita tidak mahu mengikut apa yang digariskan oleh Islam, bahkan menghina pula. Seolah-olah manusia lebih hebat dari Allah S.W.T. Mari kita berfikir sejanak! hari ini kita melihat sistem dan undang-undang yang dibuat oleh manusia adalah yang terbaik. Tidakkah kita terfikir? Ciptaan manusia pun kita dah katakan baik apatah lagi sistem dan undang-undang yang digariskan oleh Sang Pencipta manusia dan alam ini?
Bukankah Sang Pencipta lebih mengetahui apakah sistem dan undang-undang yang terbaik untuk hambanya? Pencipta kereta tahu apa kelemahan dan kekurangan kereta ciptaannya dan beliau boleh mengemukakan jalan penyelesaiannya. Jika manusia pun tahu apa yang baik untuk barang ciptaannya apatah lagi Allah S.W.T. yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui selok belok kelemahan dan kekurangan hamba ciptaannya yang sangat kerdil di sisi-Nya. Marilah sama-sama kita fikirkan! Jalan bercahaya sudah ada didepan mata, kenapa mesti melalui jalan yang gelap dan penuh dengan kesesatan? Nabi s.a.w. berpesan kepada kita agar berpegang dengan dua tinggalannya yang dapat menjadi penyuluh kepada kita ke jalan yang lurus dan pendinding kepada kita dari kesesatan. Apakah dua perkara itu? tidak lain dan tidak bukan Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnah Baginda s.a.w. Cahaya dah ada, maka terangilah jalan kehidupan kita dengan cahaya tersebut InsyaAllah kita selamat di dunia dan akhirat. wallahua'lam!
No comments:
Post a Comment