Thursday, February 14, 2008

WHO IS MALAYSIAN IDOL?


Siapa 'Malaysian Idol'? Persoalan yang perlu dirungkai oleh kita semua selaku rakyat malaysia. kenapa? Jika kita lihat realiti masyarakat pada hari ini yang lebih suka memilih selebriti dan artis sebagai idola masing-masing. Risalah ini bukan untuk menghina mana-mana pihak, tapi realiti pada hari ini golongan artis ini mempunyai pengaruh yang hebat dalam masyarakat. Jika mereka mempunyai sakhsiah yang baik dan berjaya mengekalkan jati diri sebagai seorang muslim saya tak kisah. Tapi kebanyakan artis dan selebriti tanah air pada hari ini banyak terpengaruh dengan budaya barat dan mempengaruhi masyarakat khususnya belia dan remaja Islam ke arah fasad dan kemerosotan akhlaq.

Jadi tidak hairan lah pada hari ini kita mengahadapi krisis kemerosotan ahklaq di kalangan remaja, keruntuhan budaya keIslaman dan kemelayuan, dan peningkatan kadar jenayah kejam yang merunsingkan pelbagai pihak seolah-olah tidak ada jalan penyelesaiannya. Pastinya, barah kedurjanaan umat pada hari ini berada pada tahap yang kritikal dan sukar dibendung dengan menggunakan akal manusia semata-mata. Banyak faktor-faktor yang mendorong kepada membarahnya penyakit sosial ini. Namun, apa yang hendak ditekankan dalam risalah ini ialah berkenaan idola kepada masyarakat. Siapakah yang sepatutnya menjadi role model kepada umat Islam hari ini?

Siapa? siapa? siapa? Jika artis dan selebriti yang tidak mempunyai jati diri dan akhlaq yang baik menjadi idola kepada masyarakat maka tidak hairanlah kita gagal melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi dan memenuhi tuntutan Islam. Kita gagal melahirkan cendikiawan dan ilmuan Islam yang terkenal. Apa yang kita dapat lahirkan dari persekitaran hiburan yang melampau dan mengagung-agungkan artis dan selebriti? Kita hanya dapat melahirkan penghibur yang tidak mempunyai jati diri yang sebenar seperti lalang di padang. Angin bertiup ke kanan ia bergerak ke kanan dan bila bertiup ke kiri ia bergerak ke kiri seolah-olah tidak mempunyai pegangan dan jati diri yang kukuh. Maka lahirlah bohsia dan bohjan, mat dan minah rempit, kumpulan punk, hip hop, black metal, penjenayah, perogol, penzina, pembunuh, pembuang anak dan banyak lagi.

Jadi siapa yang sepatutnya menjadi 'Malaysian Idol'? Sudah tentu ahli-ahli akademik dan para ulama'. Ahli akademik bukan bererti pensyarah semata-mata tapi merangkumi semua lapisan masyarakat yang cerdik pandai dan mempunyai jati diri dan personaliti yang baik. Selain itu, pemimpin yang adil dan amanah, ahli politik yang bertaqwa, dan sesiapa sahaja yang mempunyai jati diri muslim yang sebenar berhak menjadi role model kepada masyarakat hari ini. Oleh itu, pemilihan kerajaan dan pemimpin yang baik dan merakhlaq mulia mampu membawa masyarakat ke arah lebih baik dan bertamadun mengikut acuan Islam. Kerajaan yang terbentuk atas dasar keimanan dan ketaqwaan pada Allah S.W.T. akan membentuk persekitaran yang baik, mampu mendidik dan membentuk rakyat menjadi insan yang mulia dan berpesonaliti baik.

Pemimpin yang baik berperanan membawa rakyatnya ke jalan yang lurus dan mengawal mereka agar tidak terpesong atau tersesat dari jalan tersebut. Pemimpin ini juga akan mendidik masyarakat siapa yang patut mereka ikut? Rasulullah s.a.w. atau Abu Jahal? Nabi Musa a.s. atau Fir'aun? Para sahabat Nabi atau golongan munafiq dan fasiq? Ulama' atau pemimpin yang zalim? Artis atau ahli akademik? Mat rempit atau pemuda masjid? dan lain-lain lagi. Jika pembudayaan Ilmu dan Intelaktual diterapkan dalam masyarakat, maka kita akan dapat melahirkan ramai pemikir dan cedikiawan yang cemerlang. Tapi jika budaya hedonisme dan materialisme yang diterapkan dalam masyarakat, maka hasilnya adalah seperti yang kita dapat pada hari ini. Ayuh! Lakukanlah perubahan demi kebaikan bersama. Who Is Malaysian Idol?

No comments: