KUALA LUMPUR, 4 Jun (Hrkh) - Kementerian Pengajian Tinggi menolak kemungkinan bahawa keputusan pilihan raya umum ke-12 lalu, yang menunjukkan BN kehilangan sokongan daripada pengundi muda terutamanya golongan profesional dan para graduan adalah disebabkan perasaan tidak puas hati mereka yang telah lama terpendam terhadap sekatan melalui pelaksanaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan pendekatan pentadbiran akta ini sejak zaman pengajian mereka di kampus.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Dr Hou Kok Chung ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Senator Heng Seai Kei (BN-Perak) ianya hanyalah salah satu daripada analisa yang dibuat pelbagai pihak terhadap prestasi BN dalam pilihan raya umum lalu.
"Adalah kurang tepat untuk menyatakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) menjadi penyebab prestasi kurang baik BN," katanya pada sesi soal jawab lisan sidang Dewan Negara semalam.
Beliau mendakwa Auku tidak menghalang pelajar untuk bergiat dalam kegiatan kostruktif dan menyertai mana-mana pertubuhan dalam negara dengan syarat ianya bukan pertubuhan haram dan tidak menyalahi peraturan.
Terdahulu, Hou menjelaskan bahawa KPT telah melantik Jawatankuasa Mengkaji dan menyemak Auku bagi tujuan semakan dan pindaan seperti mana yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak sebelum ini.
Menurut soalan yang dikemukakan Datin Paduka Dato' Nor Hayati Tan Sri Dato' Seri Onn, penambahbaikan Auku terutamanya pada seksyen 15 dan 17 yang dikatakan mengongkong kebebasan para pelajar untuk aktif dalam politik kampus mungkin boleh membolehkan mahasiswa dapat berkomunikasi dengan kerajaan secara berhemah dan proaktif. - mks.
No comments:
Post a Comment