Friday, June 13, 2008

RAKYAT Mula Naik 'MINYAK'

Masyarakat Ibu Kota 'Naik Minyak' akibat langkah pihak pemerintah menaikkan harga Minyak (Petrol dan Diesel)


Rakyat Malaysia sebelum ini agak kurang terkenal dengan aktiviti mencabar pihak pemerintah kerana takut ataupun terkongkong dengan akta-akta tertentu seperti Akta Polis, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan lain-lain lagi. Namun, situasi sedemikian nampaknya sudah berubah gara-gara pihak pemerintah yang memerintah negara mengikut sesuka hati mereka tanpa memikirkan soal kebajikan dan masalah rakyat. Rakyat sudah mula bengang dan muak dengan tipu muslihat pihak pemerintah. Baru-baru ini derita rakyat ditambah lagi dengan 'hadiah' yang terbaik dari pihak pemerintah iaitu dengan menaikkan harga bahan bakar (petrol dan diesel) pada tahap paling tinggi dalam sejarah, cumanya masih belum tercatat dalam Malaysia Book of Records.

Semenjak Perdana Menteri mengumumkan kenaikan tersebut, banyak harga barang-barang keperluan lain dan juga kos perkhidmatan terus meningkat seperti harga telur, ikan, sayur-sayuran, tiket bas dan lain-lain lagi. Maka, bermulalah episod penjual menunding jari mengatakan pemborong yang bersalah kerana menaikkan harga telur misalnya, si pemborong menyalahkan si penternak, bahkan si penternak juga terpaksa menyalahkan si ayam kerana bertelur sedikit dan sebagainya. Sebenarnya salah siapa? Jika pihak kerajaan meneliti dan mengkaji secara teperinci kesan daripada kenaikan harga bahan api sebelum membuat keputusan menaikkannya, nescaya pihak pemerintah akan dapat mengatasi masalah yang dihadapi oleh rakyat dengan mudah. Senang saja, harga barang-barang keperluan, kos perkhidmatan dan pengangkutan naik mendadak disebabkan kenaikan harga petrol dan diesel. Jelas! sudah terang lagi tersuluh lagi.




Najib kata: "Minyak tak akan naik lepas pilihanraya", Dollah kata:"Petrol naik 78 sen, diesel naik RM1" - Mereka Tipu Rakyat!


Hari ini masyarakat ibu kota mula 'naik minyak' dengan menadakan demonstrasi bagi membantah kenaikan harga minyak. Pada awalnya saya menjangkakan hanya segelintir sahaja masyarakat Kota yang akan menyertai perhimpunan tersebut kerana berdasarkan demonstrasi-demonstrasi sebelum yang berkaitan harga bahan api dan tol gagal mendapat sokongan ramai. Namun, pengamatan saya agak meleset sama sekali apabila saya membaca website malaysiakini.com. Sebelum itu, saya tidak berkesempatan menyertai perhimpunan tersebut kerana mempunyai urusan lain. Walaupun mendapat tentangan dan halangan daripada pihak polis dan FRU, rakyat tidak berputus asa untuk meneruskan perhimpunan pada petang tadi dengan jumlah kehadiran yang begitu ramai mencecah angka 2000-3000 orang katanya.

Mungkin perhimpunan hari ini merupakan langkah awal bagi membentuk gelombang kesedaran dikalangan rakyat bagi membela hak dan kebajikan mereka yang sepatutnya dijaga dan dibela oleh pemerintah yang dipilih dan diberi mandat untuk memerintah negara oleh rakyat pada PRU12 yang lepas. Saya menjangkakan perhimpunan yang akan berlangsung pada 5 Julai akan datang, anjuran PROTES, jumlahnya lebih besar mengatasi jumlah kehadiran pada perhimpunan anjuran BERSIH pada 10 November tahun lepas. Harap-harapnya pihak pemerintah SEDAR dari LENA sebelum mengalami satu MIMPI ngeri yang sukar dilupakan nanti. 'Makkal Sakti'

No comments: