Penulis berkesempatan menyertai satu aktiviti khidmat masyarakat baru-baru ini di sekitar Kg. Nakhoda, Batu Caves. Misi kami ialah untuk membanci penduduk di Kampung tersebut yang layak menerima zakat bagi kategori fakir dan miskin dari Lembaga Zakat Selangor (LZS). Satu pengalaman yang sangat menyeronokkan kerana dapat membantu dan berkhidmat kepada masyarakat.
Sebelum ini penulis berpendapat bahawa penduduk di Selangor mampu hidup senang lenang kerana Selangor merupakan negeri terkaya di Malaysia berbanding negeri kelahiran penulis iaitu Kedah. Selangor 'ditauliahkan' sebagai negeri maju pada tanggal tanggal 27 Ogos 2005 ketika di bawah Menteri Besar ketika itu iaitu Dato’ Seri Dr. Mohd Khir Toyo. Namun, setelah menyertai misi ini tanggapan penulis tersebut sama sekali tidak tepat dan meleset jauh. Rupa-rupanya disebalik kemajuan dan kekayaan negeri Selangor masih lagi ramai rakyat yang hidup dalam kesempitan dan boleh dikategorikan sebagai fakir. Ini baru sahaja di Kg. Nakhoda, Batu Caves, di kawasan-kawasan lain dilaporkan masih bercambah.
http://www.suaraselangormaju.com.my
Sedih! Itulah yang penulis boleh gambarkan apabila bertemu dan bertemuramah dengan mereka yang terlibat. Sungguh malang nasib mereka, walaupun mengalami kesusahan dan kesempitan hidup hampir 30 tahun yang lalu, namun sehingga hari ini masih belum ada yang sudi untuk menghulurkan bantuan khususnya pihak kerajaan negeri, wakil rakyat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ada penduduk yang berkali-kali membuat permohonan tetapi tidak diendahkan. Ada penduduk yang sudah berputus asa dan berusaha sendiri untuk menyara keluarga dengan serba kekurangan.
Penulis bersama seorang sahabat memperkenalkan diri dan memohon izin untuk membuat bancian asnaf zakat
Pilu dan sebak menguasai lubuk hati penulis apabila bertandang ke sebuah rumah penduduk yang agak uzur dan sederhana. Ketua keluarga juga kurang sihat, hanya mampu beniaga sayur-sayuran secara kecil-kecilan. Pendapatannya sekitar RM150-200 sebulan bergantung kepada tahap kesihatan. Jika beliau tidak sihat, maka hilanglah pendapatan. Di rumah tersebut terdapat seorang OKU yang cacat sejak kecil merupakan anak sulung kepada keluarga ini serta tiga lagi anak mereka yang masih bersekolah dan seorang yang baru habis STPM (Masih menunggu panggilan ke menara gading). Perbelanjaan bulanan bagi menjaga dan mengurus kehidupan keluarga sangat tinggi melebihi pendapatan yang diperolehi khususnya untuk mengurus kehidupan anak mereka yang cacat.
Penulis bertanya adakah mereka pernah mendapat apa-apa bantuan dan sumbangan daripada mana-mana pihak sebelum ini? Pak cik (ketua keluarga) menjawab: ”Tidak ada, pak cik pun dah malas nak minta bantuan. Kalau dah adik-adik datang untuk membantu tidak mengapa lah. Masa PRU (12) yang lepas adalah calon wakil BN datang bagi kerusi roda untuk anak pak cik yang cacat tu…waktu kempen ja lah datang.” Kesimpulan yang penulis dapat buat berdasarkan bancian terhadap penduduk di kawasan tersebut, boleh dikatakan majoriti fakir dan miskin yang menetap di situ tidak pernah mendapat apa-apa bantuan sumbangan dari Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pemimpin dan wakil rakyat pun tak datang menjenguk nasib yang mereka hadapi sejak berpuluh-puluh tahun. Kalau datang pun waktu kempen pilihanraya sahaja.
Penulis agak bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh seorang ahli parlimen Sabah Dato’ Anifah Aman (Kimanis) ketika beliau mengungkit soal Sabah dianaktirikan, layanan double standard dalam membawa pembangunan infrastruktur dan pendidikan serta mencabar PM agar merombak semula Kabinet dengan memberikan jawatan menteri penting kepada Sabah kerana peruntukan tiga kerusi menteri kepada ahli Parlimen Sabah yang merupakan kerusi tidak penting sebagai penghinaan kepada rakyat Sabah. Tambah beliau pemimpin Negara hanya turun di kawasan-kawasan tertentu sahaja seperti di Bandar Kota Kinabalu dan terus menghukum bahawa Sabah telah maju dan membangun tanpa turun melihat di kawasan-kawasan pendalaman yang amat memeritkan dan memilukan jika dilihat kadar kemiskinan tertinggi di negeri yang kaya dangan sumber hutan dan hasil bumi. Keadaan yang sama berlaku di negeri Selangor dan negeri-negeri lain. Pembangunan dan kemajuan dilihat dan dinilai di kawasan-kawasan bandar semata-mata. Rakyat yang fakir dan miskin berterusan papa kedana.
Dhaif! itulah gambaran yang boleh dibuat apabila melihat situasi ini
Seruan penulis kepada pemimpin-pemimpin negara baik di pihak kerajaan mahupun di pihak pembangkang supaya mengutamakan kebajikan dan pembangunan rakyat secara menyeluruh dan adil tanpa membeza-bezakan fahaman politik, geografi dan lokaliti serta pangkat dan jawatan. Jawatan yang dipikul merupakan AMANAH rakyat! dan setiap AMANAH itu akan dihisab dan dihintungkan di hadapan Allah S.W.T. di akhirat kelak! Berlaku adillah wahai sang penguasa...
No comments:
Post a Comment