Wednesday, June 4, 2008

Harga Minyak Naik: Rakyat diTipu Lagi


Terkejut! Ramai rakyat yang terkejut dan tidak sangka akan kenaikan harga minyak secara mendadak pada hari ini, berkuatkuasa pada tepat jam 12.00 tengah malam, bersamaan dengan 5 Jun 2008. Siapa sangka? Semua orang tidak menyangka harga bahan api akan dinaikkan dalam masa terdekat kerana sebelum ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad telah meyakinkan rakyat bahawa paling cepat harga bahan api akan dinaikkan pada bulan Ogos depan.

"Ia akan berlaku... harga petrol akan naik, saya fikir mungkin dalam Ogos tahun ini apabila sistem subsidi diberi penstrukturan semula," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen baru-baru ini, lapor Bernama.

Namun, hari ini belum pun sampai seminggu Menteri tersebut membuat kenyataan, tiba-tiba hari ini rakyat diberitakan dengan satu khabar 'gembira' bahawa kerajaan akan menaikkan harga minyak petrol dan diesel serta merta. Pengumuman kenaikan harga minyak (diesel RM1,00 dan Petrol RM0.78 sen) dibuat agak tergesa-gesa kerana kerajaan sebelum ini berjanji akan mengkaji secara mendalam dan terperinci mengenai kaedah dan mekanisma yang terbaik untuk mengatasi masalah ini khususnya bagi meringankan beban rakyat apabila harga bahan minyak dinaikkan.


Selaku rakyat, sudah semestinya saya rasa tertipu dengan segala janji kerajaan. Ini bukan kali pertama rakyat ditipu, dulu pun kerajaan cakap tak akan naikkan harga minyak lagi. Sejak 2004, harga petrol naik sebanyak 97.1 peratus manakala harga diesel pula naik sebanyak setinggi 231 peratus. Kerajaan sepatutnya memikirkan perkara ini semasak-masaknya, jangan terburu-buru kerana kenaikan harga minyak akan menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan yang lain, yang memerlukan kos pengangkutan. Sudahlah baru-baru ini rakyat dibebankan dengan kenaikan harga beras selaku makanan ruji bagi negara kita.


Akhir sekali, saya meyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar tidak berdiam diri dan terus mendesak kerajaan agar menurunkan harga minyak. Mengapa harus dinaikkan harga minyak? kenapa kerajaan tidak mengurangkan eksport minyak ke negara lain seperti China dan Jepun? saya optimis kerajaan dapat menyelesaikan isu ini dengan baik jika menghadkan eksport minyak ke negara lain dan menjadikan minyak PETRONAS untuk kegunaan rakyat di negara ini. Sekian!

1 comment:

Anonymous said...

Sebenarnya UMNO/BN terdesak kerana kerajaan Malaysia sedang menghadapi krisis kewangan akibat tsunami politik yang melanda negara ini. Lebih-lebih lagi negeri-negeri kaya seperti Selangor, Pulau Pinang dan Perak. Sumber kewangan sudah hilang. Sabah dan Sarawak pun belum tentu lagi nak bagi duit...tunggu nak ubah kerajaan sahaja.