Kemuka laporan prestasi sejak dilancar Ogos tahun lalu
PASIR GUDANG: Kementerian Pengajian Tinggi akan mengumumkan laporan kemajuan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dalam masa terdekat, kata Menterinya, Datuk Seri Khaled Mohamed Nordin. Katanya, laporan kemajuan itu akan menunjukkan prestasi perkembangan pelan terbabit sejak dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Ogos tahun lalu.
"Laporan ini nanti menunjukkan sejauh mana yang dapat kita (kementerian) laksanakan sejak akhir tahun lalu," katanya selepas melancarkan Fiesta Futsal Merdeka 2008 di Bukit Layang-layang, di sini, semalam. PSPTN yang dilancarkan Perdana Menteri pada 27 Ogos tahun lalu itu bertujuan meletakkan semula universiti sebagai gedung melahirkan generasi berilmu selain dapat memacu Malaysia mencapai Misi Nasional. Usaha untuk melahirkan 100,000 doktor falsafah atau kelayakan yang setaraf di institusi pengajian tinggi (IPT) menjadi antara agenda penting dalam satu daripada tujuh teras Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara.
Agenda itu yang dimasukkan dalam Teras Kedua iaitu Menambah Baik Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran turut berusaha melahirkan graduan berketrampilan serta mampu diterima dalam pasaran dengan lebih mudah. Abdullah ketika berucap melancarkan PSTN turut menggariskan tiga langkah yang perlu dilaksanakan untuk mencetus transformasi dalam pengajian tinggi. Abdullah dipetik sebagai berkata, langkah pertama yang akan dilaksanakan serta-merta, Lembaga Pengarah setiap IPT awam (IPTA) akan diberi lebih autonomi dalam beberapa perkara tertentu dengan harapan pentadbirannya bertindak lebih pantas merebut peluang daripada perubahan dalam pendidikan, ekonomi dan sosial. Perdana Menteri juga berharap kerjasama dengan pihak industri, peningkatan penyelidikan asas serta pengkomersialan produk penyelidikan menjadi matlamat dalam proses tadbir urus sendiri ini.
No comments:
Post a Comment