SEPANG 13 Julai - Siswazah jurusan pengajian Islam akan diberi latihan untuk memperoleh kemahiran tambahan bagi membantu mereka mendapat tempat di alam pekerjaan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, siswazah jurusan tersebut sering bermasalah untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan nilai pasaran pekerjaan mereka yang tidak tinggi.
Menurut Khaled, latihan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan industri sangat dititikberatkan, memandangkan ramai di antara siswazah mengambil jurusan pengajian yang tidak selari dengan pasaran pekerjaan.
Katanya, terdapat ramai siswazah seperti ini dan bila mereka keluar tidak ada yang berminat untuk mengambil mereka bekerja sebab tiada kemahiran bersesuaian.
''Jadi, kita bercadang untuk melatih mereka di kolej-kolej komuniti selain membuat perundingan dengan industri.
''Kita juga mengatur semula program latihan industri dengan syarikat-syarikat swasta untuk memberi peluang pekerjaan kepada pelajar yang mengikuti latihan di tempat mereka selain program keusahawanan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Karier Bagi Pemimpin Malaysia Akan Datang di sini hari ini.
Khaled bagaimanapun, menafikan masih terdapat 70,000 siswazah menganggur negara ini berdasarkan program-program kemahiran yang diatur oleh kementerian selain projek keusahawanan kepada para siswazah.
''Perangkaan itu tidak semestinya betul kerana kita membuat dua perkiraan iaitu selepas tiga bulan tamat belajar atau enam bulan tetapi mengikut perangkaan, setakat ini 80 hingga 90 peratus sudah mendapat pekerjaan termasuk berniaga sendiri," katanya.
Dalam pada itu Khaled berkata, para siswazah diingatkan supaya tidak mementingkan hanya kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya perlu memiliki kualiti kepimpinan dan bersifat global.
Katanya, pihak kementerian memberi sokongan kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk melibatkan diri dalam program kualiti bagi melahirkan siswazah yang berilmu dan berpengetahuan.
Menurutnya, kementerian memberi galakkan pada siswazah dengan memberi pendedahan terhadap kualiti tambahan agar mereka dapat memberi sumbangan kepada negara sekali gus mendapat pekerjaan yang bersesuaian.
No comments:
Post a Comment