BANGI: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berpendapatan kurang RM1,500 mungkin dibenar menangguhkan bayaran pinjaman jika mereka baru bekerja dan mempunyai tanggungan berat. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata cadangan itu dibuat mengambil kira kebajikan peminjam yang baru mendapat pekerjaan serta mempunyai tanggungan yang perlu diutamakan. "Kementerian memahami ada peminjam yang baru bekerja dan tidak mampu membayar terus pinjaman mereka. Contohnya peminjam yang memperoleh gaji antara RM1,000 sehingga RM1,500, kita rasakan mereka masih tidak mampu membayar pinjaman PTPTN serta-merta kerana mempunyai tanggungan yang perlu didahulukan.
"Bagaimanapun, ini masih pada peringkat penelitian sama ada akan membawa implikasi kewangan kepada PTPTN. Tahap gaji sebenar peminjam yang membolehkan penangguhan bayaran balik pinjaman juga akan ditentukan kemudian. "Kita sedang mengkaji jumlah pendapatan yang sesuai bagi peminjam mula membuat bayaran. Mengenai berapa nilai sebenar gaji itu biarlah kementerian bentangkan kepada Kabinet dan diluluskan sebelum kita umumkan," katanya. Beliau berkata demikian selepas melancarkan Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2008 serta pelancaran buku Majlis Kepimpinan Latihan Universiti-Universiti Malaysia (Maklum), dekat sini, semalam.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, penstrukturan semula caj perkhidmatan tiga peratus PTPTN akan diselesaikan selewat-lewatnya bulan depan. "Kementerian berharap pengumuman mengenai pengurangan caj perkhidmatan itu akan diumumkan sebelum Ramadan ini. Kelewatan ini disebabkan masih terdapat kementerian yang masih meneliti beberapa aspek dalam mekanisme pengurangan caj yang akan dibuat," katanya. Sebelum ini, akhbar melaporkan kaedah baru pengiraan bayaran balik pinjaman PTPTN mengikut hukum syarak akan dibawa kepada Kabinet seterusnya diumumkan pada bulan ini. Mohamed Khaled berkata, penstrukturan semula adalah selaras dengan ketetapan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengarahkan PTPTN mengubah kaedah pengiraan caj perkhidmatan tiga peratus yang dikenakan sebelum ini.
"Kaedah mengikut syarak akan diumumkan bulan ini selepas mendapat persetujuan Kabinet. Kita mahukan satu kaedah muktamad dan benar-benar menepati kehendak syariah supaya tidak dipertikaikan dan tidak diubah lagi," katanya.
No comments:
Post a Comment