Sunday, September 14, 2008

ISA: Zaid Ibrahim sanggup letak jawatan

Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Zaid Ibrahim yang menjaga hal-ehwal perundangan, sanggup meletak jawatan jika kerajaan terus menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang disifatkannya sebagai 'tidak adil'.

Ahli politik BN yang lantang bersuara itu juga mendesak supaya ahli parlimen DAP, Teresa Kok dan blogger Raja Petra Kamaruddin yang ditahan di bawah ISA dibebaskan segera.

Wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng turut ditahan di bawah ISA tetapi telah dibebaskan semalam.

zaid ibrahim and isa internal security act 150908"Kita mempunyai sebuah kerajaan yang komited kepada undang-undang dan pembaharuan, kita tidak boleh menggunakan politik gaya lama atau bertindak mewujudkan ketakutan.

"Kita ada undang-undang dan mereka boleh didakwa di mahkamah.

"Saya sedang berusaha untuk bertemu Perdana Menteri (Abdullah Ahmad Badawi) minggu ini untuk menyatakan pendirian saya itu kepada beliau.

"Jika (beliau menganggap) pendirian saya itu tidak dapat dipertahankan, saya akan letak jawatan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini dari Kota Baru hari ini.

Beliau telah mengadakan sidang akhbar di kediamannya di Kota Bharu hari ini di mana beliau becakap mengenai perkara yang sama.

Bernama memetik beliau Zaid sebagai berkata, penggunaan ISA hendaklah dikhususkan untuk pengganas, komunis dan pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan secara paksa.

"Tujuan asal (ISA), digunakan terhadap pengganas bersenjata, orang yang hendak menggulingkan kerajaan secara paksaan...komunis. Jadi, kita perlu tetap dengan itu," katanya.

Zaid berkata negara mempunyai banyak undang-undang yang boleh digunapakai bagi menangani isu-isu seperti ketegangan kaum dan mengancam keselamatan negara.

"Di dalam negara kita ada banyak undang-undang yang boleh digunakan oleh pihak polis untuk menahan mereka tanpa menggunakan ISA.

"Kita ada undang-undang Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan yang boleh menjelaskan kepada rakyat kenapa mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang tanpa menggunakan ISA," katanya.

Zaid juga berkata banyak lagi pendekatan yang boleh digunakan untuk mengurangkan perbezaan kaum atau isu perkauman termasuk melalui sesi dialog dan perbincangan secara aman.

Mengenai pencalonannya untuk bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Zaid berkata beliau kesal dengan tindakan bahagian yang membatalkan mesyuarat peringkat cawangan yang mencalonkan dirinya.

"Tapi ianya sudah menjadi syarat jadi saya perlu patuh kepada keputusan bahagian. Saya tidak akan merayu. Sehingga kini saya sudah mendapat 20 pencalonan," katanya.

Jawatan ketua Umno bahagian itu dijangka menyaksikan perebutan antara pemangku ketua, Datuk Mohd Fatmi Salleh dengan Zaid yang merupakan ketua bahagian itu sebelum beliau digantung keanggotaannya selama 18 bulan bermula 1 Januari 2007.

Komen seorang lagi menteri

Manakala seorang lagi menteri kabinet, Datuk Dr S Subramaniam berkata walaupun kerajaan sensitif terhadap perasaan rakyat, tetapi ia harus menerima hakikat bahawa sebahagian besar rakyat menolak ISA dan tidak mahu ia digunakan.

dr s subramaniam interview 210308 05 "Kita mempunyai cukup undang-undang untuk menangani semua bentuk tindak tanduk yang merbahaya dan tidak bertanggungjawab. Mengapa tidak gunakannya?" soal menteri sumber manusia itu.

Tambahnya, kemungkinan seseorang itu ditahan tanpa diberi peluang membela diri adalah bertentangan dengan kepercayaan popular hari ini.

Menurut Subramaniam lagi, suasana politik semasa negara telah menimbulkan kebimbangan semua kaum.

Oleh itu, tegasnya, rakyat tanpa mengira latarbelakang politik dan ideologi, perlu menyedari situasi semasa dan bertindak secara bertanggungjawab.

Kebebasan, tambahnya, perlu digunakan secara bertanggungjawab kerana jika tidak, ia boleh mencetuskan kacau bilau dan menghancurkan kebebasan itu sendiri.

Tegasnya, blogger seperti Raja Petra harus sedar bahawa mereka tidak boleh menggunakan kebebasan dunia siber untuk memprovokasi dan menghina orang lain tanpa berdepan dengan risiko dikenakan tindakan terhadap mereka.

Reaksi MCA

Sementara, MCA - parti komponen kedua terbesar BN - pula berpendapat, jika ISA benar-benar perlu, ia sepatutnya hanya digunakan dalam kes yang sangat ekstrem.

ong ka ting"Jika tidak Akta ini sendiri adalah satu ancaman terhadap peraturan perundangan dan asas kebebasan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan kita," katanya dalam kenyataan hari Ahad," kata Presidennya, Datuk Seri Ong Ka Ting.

Katanya, penggubal ISA sendiri, mendiang Profesor RH Hickling, pernah berkata, akta itu hanya untuk melawan pemberontak Komunis dan mereka yang terlibat dalam perjuangan bersenjata.

"Jika benar keselamatan negara terancam, mesti ada bukti kukuh untuk membuktikannya.

"Jika tidak, mereka yang ditahan (mengikut ISA) perlu didakwa di mahkamah di mana terdapat undang-undang yang mencukupi untuk tujuan itu," katanya.


sumber: malaysiakini.com

No comments: