Sunday, September 14, 2008

Menyingkap Peristiwa Badar Al-Kubra, 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah


Bulan Ramadhan mempunyai kelebihan dan peristiwa besar yang pelbagai antaranya ialah berlakunya peperangan Badar Al-Kubra pada tanggal 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah. Sebab berlakunya perang ini adalah kerana Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya mahu memintas kafilah Quraisy pimpinan Abu Sufyan bin Harb yang baru pulang dari Syam, tanpa niat untuk berperang[1]. Mereka juga berhajat mermpas barang-barang dagangan milik kafilah tersebut sebagai balasan kepada tindakan kafir Quraisy yang merampas harta benda mereka ketika di Makkah[2].

Sedikit bukan tanda lemah

Abu Sufyan dapat merasai perancangan tersebut, lantas dia mengutuskan (ضمضم بن عمرو الغفاري) untuk pulang ke Makkah bagi menyampaikan perkhabaran tersebut kepada kaum Quraisy dan mengajak mereka untuk keluar bersama-sama mempertahankan harta mereka. Sementara itu, Abu Sufyan pun mengambil jalan persisiran pantai sehingga kafilah mereka terselamat. Maka setelah mendapat khabar berita tersebut, kaum Quraisy pun berangkatlah beramai-ramai dengan tujuan untuk berperang, tanpa terkecuali seorang pun pemuka-pemuka Quraisy, kesemua terlibat, jumlah mereka hampir 1000 orang. Maka, Rasulullah s.a.w. keluar pada sebelah malam bersama-sama para sahabat setianya, seramai 314 orang tentera, yang kebanyakannya adalah daripada golongan Ansar.

Kekuatan lain yang dimiliki oleh tentera Muslimin ialah 70 ekor unta, serta 2 atau 3 ekor kuda perang. Manakala kekuatan musuh Islam pada ketika itu jauh lebih hebat iaitu merangkumi 100 kuda perang, 700 unta, dan 600 baju besi. Namun, jumlah yang sedikit langsung tidak melemahkan semangat juang pejuang Muslimin, mereka sangat yakin dengan kekuatan yang ada pada Allah S.W.T. mampu untuk mengatasi segala kekuatan yang lain, bahkan pula yang memimpin mereka pada ketika itu ialah Rasulullah s.a.w.

Syura Rasulullah bersama Sahabat

Setelah maklumat kemaraan tentera kafir Quraisy telah maju mengingalkan Makkah, maka Rasulullah s.a.w. mengadakan pertemuan dengan sahabat-sahabatnya untuk bermesyuarat bagi menentukan tindakan mereka. Sahabat Al-Muhajirun bercakap dengan percakapan yang baik, antara yang bercakap ialah Al-Miqdad bin ‘Amru, beliau berkata: “Wahai Rasulullah! Laksanakanlah apa yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu, kami akan tetap bersamamu.” Akan tetapi Rasulullah tetap mahu mendengar pandangan sahabat yang lain, baginda s.a.w. berkata: “Tunjukilah kepadaku (pandangan) kamu wahai manusia”.


Bai’ah taat setia Sahabat bersama Rasulullah s.a.w

Maka Sa’ad bin Muaz pun berkata: “Demi Allah, kamu seolah-olah hendakkan kami wahai Utusan Allah.” Nabi s.a.w. menjawab: “Benar.” Berkata Sa’ad: “Seseungguhnya kami telah beriman dan membenarkan kamu, kami telah menyaksikan apa yang kamu bawa adalah benar belaka, dan kami menyatakan janji dan taat setia kami kepadamu, maka lakukanlah apa yang kamu kehendaki, kami akan bersamamu, dan demi Yang Mengutuskan kamu (Allah) dengan kebenaran, jika engkau membentangkan kepada kami lautan ini dan engkau menyeberanginya nescaya kami juga akan mengharunginya bersama kamu.”

Lalu Rasulullah s.a.w. berpegang dengan apa yang dikatakan Sa’ad sambil berkata: “Berangkatlah (berjuanglah pada jalan Allah) dan bergembiralah, sesungguhnya Allah S.W.T. telah menjanjikan kepadaku salah satu daripada dua puak…Demi Allah, seolah-olah sekarang aku melihat kepada kehancuran satu kaum (pihak musuh).”[3]

Bijak merencana strategi peperangan

Sebelum itu, setelah terselamat dari pintasan kau Muslimin, Abu Sufyan mengutuskan surat kepada kaum Musyrikin supaya pulang kembali ke Makkah. Namun, Abu Jahal bertegas mahu meneruskan peperangan tersebut tatkala mereka sudah sampai di kawasan bernama Badar. Sementara itu, Rasulullah s.a.w. telah menyusun tenteranya, berhadapan dengan tentera Musyrikin dan kawasan berair (telaga air). Maka Al-Habab bin Al-Munzir bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Wahai Rasulullah! Kamu lihat tempat ini (tempat susunan tentera Muslimin yang disusun oleh Nabi s.a.w.), adakah ia merupakan wahyu daripada Allah atau strategi peperangan semata-mata? Maka jawab Nabi s.a.w: “(Ia bukan wahyu) bahkan strategi perang semata-mata.” Lalu Habab pun berkata: “Jika ia bukan wahyu, ini bukan tempat yang sesuai, kita ubah kedudukan tentera Muslimin dengan membelakangkan telaga-telaga air (menguasainya), kemudian ketika berlaku peperangan kita boleh mendapat bekalan dan meminum air sedangkan musuh tidak dapat meminumnya.”

Maka Rasulullah s.a.w. menerima cadangan strategi perang yang diutarakan oleh Habab b. Al-Munzir tersebut. Oleh itu, dalam apa jua peperangan umat Islam mestilah melakukan syura dengan ahlinya (orang yang mahir dalam selok-belok peperangan) dan mengatur strategi dengan bijaksana menggunakan kelebihan ‘aqal yang dikurniakan Allah kepada kita.

Doa’ sejata tajam orang-orang beriman

Rasulullah s.a.w. sangat bergantung harap kepada pertolongan Allah S.W.T. kerana Aqidah Islam menyatakan ‘Tidak ada kekuatan melainkan kekuatan Allah S.W.T.’ (لا حول ولا قوة إلا بالله). Baginda s.a.w. berdoa’ dan bermunajat kepada Allah S.W.T. pada malam sebelum perang Badar berlaku, baginda berdoa’ dalam sujudnya:

"اللهم أنشدك عهدك ووعدك، اللهم إن تهلك هذه العصابة (المؤمنون المحاربون) لا تعبد في الأرض"[4]

“Ya Allah! aku memohon (ditunaikan) janjimu, Ya Allah! Sekiranya engkau membinasakan (memberi kekalahan) kepada kumpulan ini (tentera orang-orang beriman), nescaya kamu tidak akan disembah lagi di atas muka bumi ini.”

Kemenangan dan pertolongan di Tangan Allah

Kebergantungan Rasulullah s.a.w. yang kuat terhadap Allah S.W.T. menyebabkan tentera Mukminin mendapat kemenangan dan pertolongan dari-Nya dalam pertempuran di medan Badar tersebut. Allah berfirman dalam Al-Quran:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah (jumlah yang sedikit), kerana itu bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukurinya (123). (Ingatlah), ketika kamu mengatakan kepada orang Mukmin: “Apakah tidak cukup bagi kamu Allah membantu kamu dengan tiga ribu malaikat yang diturunkan (dari langit)? (124). Ya, (cukup), jika kamu bersabar dan bertaqwa dan mereka datang menyerang kamu dengan seketika itu juga, niscaya Allah menolong kamu dengan lima ribu Malaikat yang memakai tanda (125). Dan Allah tidak menjadikan pemberian bala bantuan itu melainkan sebagai khabar gembira bagi (kemenangan) mu, dan agar tenteram hatimu kerananya. Dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana (126). (Allah menolong kamu dalam perang Badar dan memberi bala bantuan itu) untuk membinasakan segolongan orang-orang yang kafir (dengan terbunuhnya 70 pemimpin mereka dan tertawannya 70 yang lain), atau untuk menjadikan mereka hina, lalu mereka kembali dengan tiada memperoleh apa-apa.” (127) [Ali-‘Imran: 123-127]


1. السباعي، مصطفى، السيرة النبوية دروس وعبر، (القاهؤة: دار السلام، ط 6، 2005م) ص 49.
2. البوطي، محمد سعيد رمضان، فقه السيرة النبوية مع موجز لتاريخ الخلافة الراشدة، (القاهرة: دار السلام، ط 16، 2006م) ص 156.
[3] ) ibid: m/s: 156-157.
([4] السباعي، مصطفى، المرجع السابق، ص 50.

No comments: