"Ini selaras dengan semangat Perlembagaan dan beta berpendapat ini menyebabkan keyakinan terhadap badan kehakiman semakin bertambah," titah baginda pada Persidangan Hakim-hakim Malaysia di sini. Lebih 90 Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi serta Pesuruhjaya Kehakiman menghadiri persidangan tiga hari itu.
"Hakim selaku nadi dalam sistem keadilan dan perundangan negara diberi tanggungjawab besar dalam mentafsir dan mempertahankan undang-undang termasuk Perlembagaan Persekutuan. Sebarang keputusan pentadbiran yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan mampu mengakibatkan undang-undang tertinggi kita itu menjadi tidak relevan.
"Hakim perlu sensitif dengan fungsi dan semangat Perlembagaan Persekutuan, iaitu melindungi hak setiap rakyat, bukan saja untuk memastikan keadilan tapi juga bagi mempertahankan integriti negara," titah baginda. Merujuk pelbagai dakwaan salah laku yang melanda badan kehakiman sejak kebelakangan ini, baginda menyifatkannya sebagai zaman kritikal dalam sejarah negara.
"Apa yang mendukacitakan mengenai tanggapan rendah terhadap badan kehakiman kita sekarang ialah ia pernah disanjung tinggi. Penghakiman yang dibuat oleh mahkamah kita pernah menjadi sebutan di negara Komanwel. Hakim kita pernah dihormati kerana keputusan yang bijak dan adil.
"Reputasi sebegitu hanya boleh dikekalkan jika standard tinggi yang diamalkan itu dapat dilaksanakan secara konsisten. Namun, ini tidak berlaku. Dalam tempoh 20 tahun lalu, kebebasan dan integriti badan kehakiman terhakis. Akibatnya, berlaku kehilangan keyakinan terhadap sistem kehakiman. "Semua ini adalah titik hitam terhadap maruah dan reputasi kita dan ia berpotensi melemahkan malah menghancurkan negara," titah baginda.
Sambil menegaskan Malaysia memerlukan satu 'kebangkitan dalam badan kehakiman', Raja Nazrin bertitah jika pentadbiran sesuatu negara itu tidak baik, pelabur akan mencari negara lain. "Tidak cukup untuk kerajaan sekadar menjanjikan kekayaan, rakyat turut mementingkan kebebasan dan perlindungan... daripada rasuah, penindasan," titah baginda. Baginda menegaskan, jalan penyelesaian perlu difikirkan dengan menangani isu secara realistik bagi mengatasi masalah ini supaya badan kehakiman akan lebih kuat di masa depan.
Justeru, Mahkamah Persekutuan sendiri perlu mengambil pendekatan lebih terbuka terutama ketika menyemak semula keputusan terdahulu yang mungkin mengakibatkan ketidakadilan. "Tidak boleh dinafikan bahawa ada penghakiman Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mungkin menimbulkan kebimbangan di kalangan pengamal undang-undang dan orang awam. "Jika ada keputusan yang mungkin mengakibatkan berat sebelah kepada mana-mana pihak, ia perlu diperbetulkan di peringkat Mahkamah Persekutuan dan tidak dibiarkan kekal sebagai catatan perundangan kita.
"Mencapai keadilan dan membawa perubahan dalam keadaan ketidakadilan adalah perkara induk yang menjadi asas dalam sistem perundangan dan keadilan yang bertamadun," titah baginda. Raja Nazrin bertitah, badan kehakiman perlu dikembalikan statusnya dalam Perlembagaan seperti yang pernah dinikmatinya sejak Merdeka sehinggalah 20 tahun lalu. Jika itu tidak dilakukan, doktrin pengasingan kuasa yang menjadi asas demokrasi di Malaysia, akan terus menjadi lemah. "Kita tidak boleh semata-mata cuba mendapatkan kegemilangan zaman silam tetapi hendaklah berusaha mencapai kejayaan lebih besar. Namun, dalam kita hendak menggapai bintang di langit, kita perlu berpijak di bumi nyata.
"Selagi kuasa kehakiman tidak dikembalikan kepada kepada badan kehakiman seperti juga kuasa eksekutif diberi kepada Yang di-Pertuan Agong dan Kabinet, adalah sukar untuk meyakinkan semua pihak bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang ditadbir mengikut undang-undang," titah baginda.
No comments:
Post a Comment