Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan memeluk Islam yang dibuat secara senyap-senyap seperti diamalkan sebelum ini mengundang banyak masalah sehingga menyebabkan berlaku ketegangan kaum.
''Pada masa ini tidak ada peraturan itu. Oleh itu, kita perlu fikirkan satu peraturan mewajibkan orang yang hendak memeluk Islam jangan buat senyap-senyap.
''Mereka perlu beritahu keluarga kerana ini perkara penting. Kita tidak mahu berlaku masalah yang menyulitkan semua pihak terutama ketika dia meninggal dunia di kemudian hari," katanya. (Rujuk Utusan 11 April)
Langkah kerajaan untuk mewujudkan undang-undang atau peraturan khusus kepada orang bukan Islam supaya mengisytiharkan keIslaman mereka jika ingin memeluk agama Islam adalah merupakan satu tindakan yang kurang bijak dan tidak cerdik. Mengapa? Dari satu aspek ia mungkin dapat mengatasi masalah seperti yang dinyatakan di atas supaya tidak berlaku perebutan mayat ketika dia meninggal dunia.
Namun, langkah ini dianggap tidak bijak tanpa berfikir panjang kerana ia akan menyulitkan orang yang hendak memeluk Islam. Pada pandangan saya, kerajaan tidak perlu menggubal undang-undang tersebut dan berilah kebebasan kepada pihak yang hendak peluk Islam sama ada mahu mengisytiharkan keIslamannya atau tidak berdasarkan kepada situasi yang beliau hadapi.
Maksudnya, jika dia hendak peluk Islam dan tidak menghadapi masalah mengisytiharkan keIslamannya kepada keluarga maka itulah jalan yang terbaik baginya. Namun, jika dia berhajat untuk memeluk Islam akan tetapi dia akan mendapat tentangan hebat seperti ancaman putus hubungan kekeluargaan dan akan dibunuh jika beliau mengisytiharkan Islamnya itu kepada ahli keluarga maka langkah menyembunyikan atau tidak mengisytiharkan keIslamannya adalah tindakan yang terbaik.
Jadi, langkah menggubal undang-undang supaya bukan Islam mengisytiharkan keIslamannya akan menyulitkan dia untuk memeluk Islam jika dia berhadapan dengan situasi kedua bahkan mungkin hajatnya itu terpaksa dibatalkan. Islam itu mudah maka permudahkanlah segala urusan. Siapa yang sanggup terpisah dengan keluarga? Siapa yang tidak takut dengan ancaman bunuh? Mungkin dalam sejuta hanya seorang sahaja yang sanggup seperti Saidina Umar al-Khattab, namun tidak semua manusia sepertinya.
Justeru, jika pihak kerajaan benar-benar mahu melaksanakan peraturan tersebut maka satu undang-undang lain perlu digubal bagi menjamin keselamatan dan tidak berlakunya kekecohan jika ada individu (bukan Islam) mengisytiharkan keIslamannya. Oleh itu, saya berharap agar pihak kerajaan tidak terburu-buru untuk membuat dan melaksanakan peraturan tersebut demi untuk kepentingan Islam.
No comments:
Post a Comment