Monday, August 25, 2008

Melayu paling ramai di pusat pemulihan

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Kaum Melayu merupakan golongan paling ramai ditahan di pusat pemulihan dan tahanan di bawah pentadbiran Jabatan Penjara.Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung berkata, pusat-pusat berkenaan dibahagikan kepada empat kategori iaitu penjara, pusat pemulihan akhlak, tempat tahanan perlindungan dan Sekolah Henry Gurney.

Beliau berkata, daripada 37,717 banduan yang sedang ditahan di 29 penjara seluruh negara sehingga 4 Ogos lalu, seramai 14,057 orang adalah terdiri daripada kaum Melayu. ''Kaum Cina pula seramai 3,482 orang, India (3,429), kaum-kaum lain (1,742) dan tahanan warga asing (15,007)," katanya menjawab soalan Dr. P. Ramasamy (DAP-Batu Kawan) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, daripada 1,763 orang yang ditahan di pusat pemulihan akhlak di bawah Ordinan Darurat 1969 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, sebanyak 681 orang adalah kaum Melayu.''Penghuni kaum India pula seramai 508 orang, Cina (344), kaum-kaum lain (76) dan warga asing (154)," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, keseluruhan individu yang sedang ditahan di tempat tahanan perlindungan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 ialah 68 orang. ''Sebanyak 24 orang terdiri daripada kaum Melayu, tujuh (India), empat (Cina) dan 33 (warga asing)," katanya. Katanya, seramai 413 orang yang terdiri daripada golongan remaja pula kini ditempatkan di Sekolah Henry Gurney. Tambah beliau, kaum Melayu adalah seramai 262, Cina (11), India (38), kaum- kaum lain (91) dan warga asing (11).


sumber: utusan.com.my

No comments: