Tuesday, August 12, 2008

Pemerintah Perlu Utamakan Perut Rakyat

"Aku orang pertama yang merasa lapar kalau
rakyat kelaparan dan orang yang terakhir yang merasa kenyang kalau mereka kenyang" - Umar Al-Khattab.

Tanggal 26 Ogos 2008 akan menyajikan pilihan kedua kepada rakyat di Permatang Pauh untuk mereka memilih pemimpin yang benar-benar berwibawa dan mampu membawa agenda rakyat dengan menjadikan kebajikan serta hak rakyat sebagai perkara yang patut diutamakan. Mereka perlu memilih siapakah dikalangan calon-calon yang bertanding mampu menjadi seperti Saidina Umar Al-Khattab dan Umar Abdul Aziz yang mengutamakan agenda 'kenyangkan perut rakyat' dari perut sendiri dan ahli keluarga.

Sehingga ke hari ini rakyat Malaysia masih lagi menjadi mangsa kerakusan pemimpin-pemimpin negara yang lebih mengutamakan 'periuk nasi sendiri' berbanding mengisi 'periuk nasi rakyat' dan mangsa kepada perebutan kuasa antara dua kuasa politik nasional iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR). Persoalannya sekarang, siapakah dikalangan dua kuasa ini yang benar-benar memperjuangkan nasib dan hak rakyat? Siapa yang sanggup mengorbankan jiwa, diri, wang, dan masa demi untuk rakyat? Siapa yang akan mengutamakan perut rakyat daripada perut sendiri dan kroni?

Kesemua jawapan kepada persoalan ini hanya mampu dijawab oleh rakyat sendiri jika mereka benar-benar cakna kapada isu-isu semasa dan mengikuti perkembangan senario politik tanah air yang kian tak menentu sejak akhir-akhir ini. Barisan Nasional walaupun sudah berkurun lama memerintah Malaysia tetapi dilihat masih gagal memperjuangkan nasib dan hak rakyat. Mereka sering melaungkan bahawa mereka adalah 'hero' sebenar yang membela rakyat dengan slogan 'Tradisi Membela Rakyat'. Apakah benar mereka adalah hero kita selaku rakyat biasa? Tepuk dada tanyalah iman dan akal yang waras.

Saban hari rakyat dihujani kesempitan hidup akibat ketidak perihatinan sang penguasa, hari ini berjanji tak naikkan harga petrol, subuh-subuh esok dah terpampang di dada-dada akhbar bahawa harga bahan api naik mendadak menyebabkan rakyat sesak nafas. Harga barang-barang keperluan turut meningkat dan kos sara hidup menjulang tinggi. Malangnya, pemimpin negara hanya pandai menasihati rakyat supaya berjimat cermat sedangkan kerajaan boros berbelanja dan pemimpin-pemimpin masih hidup mewah.

"Apa hubungannya dengan aku? Jauhkanlah kenderaan ini dariku."

Cuba kita contohi pemimpin agung zaman kegemilangan Islam Umar Abdul Aziz, keikhlasan beliau memimpin dan memerintah menyebabkan rakyat menjadi kaya. Suatu hari, para pengikut Khalifah Umar menunjukkan seekor kuda cantik (Mercedes Benz Compressor) dan diperkenalkan akan kenderaan rasminya, maka beliau menyebutnya dengan kata-kata: "Apa hubungannya dengan aku? Jauhkanlah kenderaan ini dariku." Lalu beliau berjalan menuju ke seekor keldai (Perdana V6 @ kancil) yang menjadi tunggangannya selama ini. Sungguh berbeza Khalifah Umar dengan pemimpin kita hari ini, beliau tetap zuhud walaupan rakyat sudah hidup senang lenang. Pemimpin kita bagaimana? Rakyat baru sahaja dibebani musibah, pemimpin terus bermewah.

Namun, adakah Pakatan Rakyat adalah pilihan terbaik? Tidak juga, kerana kemampuan mereka mentadbir negara belum lagi teruji. Mungkin jika diberi peluang kepada mereka barulah kita dapat menilai baik buruknya PR ataupun dua kali lima sahaja dengan BN. Prestasi kepimpinan PR di negeri-negeri yang dikuasai mereka pun masih belum lagi memuaskan hati rakyat. Banyak juga kontroversi yang timbul khususnya di Selangor dan Perak. Isu penternakan babi cara moden di Selangor dan isu tanah di Perak menguji kredibiliti kerajaan PR. Berjaya atau tidak, rakyatlah yang menilainya sendiri.

Justeru, menyedari hakikat ini bahawa rakyat Malaysia sangat mendambakan pemimpin-pemimpin yang beramanah serta adil dalam segala tindakan dan keputusan yang dibuat, maka Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyeru dan mendesak kepada mana-mana pihak baik Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat supaya mengutamakan nasib dan hak rakyat jika mahu berkuasa. Berkuasa buka bererti pihak pemerintah boleh melakukan apa saja dan manafikan hak rakyat atau dengan bahasa mudahnya Ikut Suka Aku (ISA), tetapi berkuasa dengan penuh amanah dan bertanggungjawab terhadap nasib rakyat. Periuk nasi rakyat mestilah diutamakan terlebih dahulu daripada periuk nasi masing-masing dan kroni. Jika tidak, AWAS! Mahasiswa akan mengambil alih tampuk pemerintahan Negara.


MOHD RIDHWAN B. BAKAR

Ahli Majlis Tertinggi GAMIS
Presiden Ma'ruf Club UIAM

No comments: