Saturday, August 9, 2008

Songkok: Jadikan UIAM Lebih Unik

Bukan hendak membantah tetapi ingin menyatakan pandangan peribadi berhubung hasrat pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk menggantikan pemakaian songkok (bagi graduan lelaki) dan tudung (bagi graduan perempuan) yang akan dipakai pada majlis konvokesyen ke-24 pada 23 hingga 25 Ogos depan. Setiap mahasiswa yang masih menuntut serta bekas-bekas penuntut berhak menyatakan pandangan masing-masing.



Segak bergaya graduan-graduan lepas mengenakan jubah serta songkok



Mengikut laporan akhbar Kosmo! Baru-baru ini, Timbalan Rektor Akademik dan Penyelidikan UIAM, Prof. Datuk Dr. Md. Tahir Azhar berkata, perubahan itu dibuat sempena sambutan ulang tahun ke-25 UIAM dan keputusan itu dibuat bertujuan untuk menyelaraskan standard dengan universiti-universiti lain. Dilaporkan seramai 4,112 graduan UIAM yang bakal mengenakan jubah rekaan terbaru serta topi mortar board pada majlis konvokesyen tersebut.


Bagi saya tidak salah pihak UIAM hendak menukar jubah lama kepada jubah rekaan terbaru sempena sambutan ulang tahun ke-25 UIAM, bahkan saya bersetuju. Akan tetapi saya sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan pihak pentadbiran yang mahu menukarkan songkok dengan topi mortar board kerana pemakaian songkok ada nilai tersendiri khususnya bagi masyarakat melayu Muslim, bahkan UIAM nampak lebih unik jika mengekalkan pemakaiannya di majlis konvokesyen dan majlis-majlis rasmi yang lain.


Ada apa dengan isu ‘standardize’ dengan univerisiti-universiti yang lain? Kita mesti ada identiti tersendiri, dan mesti berbangga dengan identiti tersebut (kerana ia suatu yang baik). Memang isu ini agak remeh dan tidak melibatkan perkara dasar universiti, tetapi isu identiti tersendiri itu sangat penting. Saya bawa contoh isu muda-mudi kita pada hari ini, kenapa mereka lebih cenderung untuk meniru gaya, cara pemakaian dan lagak masyarakat barat? Jawapannya ialah kerana mereka sudah hilang identiti diri mereka yang sebenar iaitu Melayu Muslim. Di mana kata-kata Hang tuah yang dibanggakan: “Takkah melayu hilang di dunia.”?




Ada identiti tersendiri: Graduan-graduan perempuan bertudung khas



Mungkin ada sebab lain mengapa pihak pentadbiran ingin menggantikan songkok kepada topi motar board iaitu kes seorang graduan Cina yang enggan mengenakan tudung pada majlis konvokesyen yang lepas. Jadi mungkin di atas sebab tersebut pihak pentadbiran UIAM mahu menukarnya. Bagi saya isu tersebut bukan merupakan satu masalah yang besar, bahkan boleh diselesaikan dengan mudah. Kita tidak perlu memaksa graduan non-Muslim untuk memakai tudung, tapi sebaliknya memakai memberi kebebasan kepada mereka unutk membuat pilihan sama ada hendak pakai atau tidak. Mungkin juga pihak pentadbiran universiti boleh menyediakan alternatif kepada mereka contohnya untuk non-Muslim disediakan topi yang khas untuk dipakai.


Akhir sekali, saya tidak memaksa pihak pentadbiran untuk mengubah keputusan kerana saya yakin pihak pentadbiran UIAM akan tetap melaksanakannya walaupun didesak oleh banyak pihak. Saranan saya agar pihak pentadbiran fakir masak-masak dan berusaha mencari identiti baru UIAM selain ISLAM dan ANTARABANGSA. Jangan Islam dipinggirkan sudah!

No comments: