KUALA LUMPUR, 14 Ogos- Gerakan Mahasiswa hari ini maju setapak kehadapan apabila berjaya menubuhkan dengan rasminya suatu front baru yang diberi nama PRO MAHASISWA NASIONAL. Acara penuh bersejarah itu telah berlangsung di hadapan Perpustakaan Utama Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Upacara tersebut dimulakan dengan ucapan bersemangat saudara Norazali Zainuddin yang juga merupakan Pengerusi front berkenaan, saudara Mohd Haafizuddin Abirerah merangkap Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), saudara Ahmad Shahir Abdul Aziz selaku Jurucakap Pro Mahasiswa merangkap Ahli Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM), saudara G. Sasikumar, saudara Goohan, dan saudara Teh Hoong Kiat.
Menurut saudara Norazali, Pro Mahasiswa Nasional ini mendapat sokongan padu kira-kira 5000 mahasiswa di setiap kampus dan IPT.
“Penyokong tegar kami di setiap kampus adalah kira-kira 5000 orang, dan kami menjangkakan jumlah tersebut akan meningkat lagi sebanyak 10 000 orang berdasarkan situasi semasa yang berlaku pada hari ini di mana rata-ratanya mahasiswa kini mahukan pembaharuan dan perubahan” ujar beliau.
“Selain itu, kita juga mahu menunjukkan kepada umum bahawa bumi Universiti Malaya ini tidak pernah sunyi daripada laungan keramat suara mahasiswa dan kita menuntut agar pihak KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) memberikan keadilan yang sewajarnya kepada seluruh mahasiswa untuk berdemonstrasi. Jika para pelajar UITM dibenarkan untuk berdemonstrasi dan berarak di jalanraya, maka kami juga menuntut untuk dibenarkan berbuat demikian” tegas beliau lagi.
Dalam pada itu, menurut Jurucakap Pro Mahasiswa, Saudara Ahmad Shahir Abdul Aziz, front tersebut ditubuhkan berasaskan suatu prinsip menegakkan kebenaran, memperjuangkan keadilan, mengukuhkan perpaduan dan memastikan semua rakyat khususnya mahasiswa mendapat layanan yang adil dan setimpal tanpa mengira bangsa dan agama.
“Pro Mahasiswa Nasional ini merupakan suatu wadah untuk menyatupadukan mahasiswa di negara ini sama ada melayu, cina, india, iban dan kadazan sebagai suatu keluarga yang besar merangkumi semua IPT dan kampus di negara ini demi menegakkan kebenaran dan keadilan di samping memperjuangkan nasib mahasiswa” katanya.
“Selain itu, front ini juga akan terus memperjuangkan kebebasan bersuara mahasiswa, mendesak pemansuhan AUKU dan digantikan dengan Student’s Act yang telah didraf sendiri oleh mahasiswa (GMMA) baru-baru ini. Kami juga akan terus mendesak agar setiap akta dan peraturan yang dilihat mempunyai unsur menindas dan mengugut mahasiswa dimansuhkan serta merta demi meningkatkan daya intelektual dan idealisme mahasiswa” tambahnya lagi.
Selain daripada pelancaran penubuhan Pro-Mahasiswa Nasional, majlis tersebut juga diadakan bagi merasmikan kewujudan semula Speaker’s Corner di Universiti Malaya yang telah sekian lama terkubur.
sumber: mahasiswakini.com
No comments:
Post a Comment