KUALA LUMPUR 6 Mei - Kementerian Dalam Negeri akan terus mengguna pakai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana ia masih relevan dengan keperluan semasa.
Menterinya, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, ISA adalah satu bentuk undang-undang yang hanya bertujuan mencegah perbuatan hasutan dan bukan undang-undang punitif.
Beliau berkata, akta berkenaan dilihat masih relevan di negara ini kerana ia melindungi keselamatan negara, keamanan dan undang-undang.
''Kita perlu mencegah aktiviti hasutan daripada berlaku di negara ini kerana ia akan memberi impak negatif kepada masyarakat dan negara.
''Kerajaan tidak berniat untuk menahan sesiapa sahaja dengan sengaja di bawah ISA sebaliknya mengambil tindakan mengikut keperluan dan masa jika ada sesuatu yang benar-benar mengancam negara,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis perjumpaan dan dialog anggota-anggota Lembaga Penapis Filem dan Ahli Jawatankuasa Rayuan Filem di sini hari ini.
ISA diperkenalkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada tahun 1960 dan seramai 10,711 orang telah ditahan di bawah akta itu setakat ini.
Syed Hamid menambah, kementeriannya tidak bercadang untuk meminda atau membuat penambahbaikan pada akta berkenaan setakat ini.
Katanya, akta sedia ada sudah memadai dan menepati prinsip dan kehendak melindungi keselamatan negara.
''Boleh dikatakan setiap negara memperkenalkan akta untuk melindungi keselamatan dalam negara.
''Amerika Syarikat turut memperkenalkan akta keselamatan salah satunya adalah Akta Patriot, Akta Anti Pengganas dan sebagainya yang bertujuan untuk menghalang daripada sesuatu yang tidak baik berlaku,'' ujarnya.
No comments:
Post a Comment