Saturday, May 31, 2008

Jadikan masjid pusat perpaduan'

TANDA PERASMIAN: Raja Nazrin Shah menyempurnakan majlis perasmian Masjid Daerah Perak Tengah di Seri Iskandar, semalam sambil diperhatikan Mohammad Nizar (kanan).

SERI ISKANDAR: Masjid sepatutnya digunakan sebagai pusat kebudayaan Islam untuk mengembalikan zaman kegemilangan Kesultanan Melayu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata, masjid bukanlah hanya tempat untuk beribadat, tetapi juga pusat kepada perpaduan umat Islam.

"Semasa zaman awal Kesultanan Melayu, masjid digunakan sebagai tempat bersolat, berbincang, mendidik, pusat kebudayaan, kebajikan dan pengajaran ilmu agama.


"Pada abad ke-16 hingga ke-17, Perak terbuka kepada budaya Islam yang pelbagai kerana pedagang yang datang dari seluruh dunia memperkenal konsep masjid seperti itu," katanya ketika perasmian Masjid Sultan Yusuf Izzuddin Shah di sini, semalam.

Perasmian masjid itu disempurnakan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim; Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Ahmad Kamal Shahid dan Pengarah, Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Jamry Sury.

Mohammad Nizar berkata, institusi masjid sebagai tempat berbincang, berdialog dan forum mestilah dimulakan oleh pemimpin dan pegawai yang mempunyai pengetahuan tinggi serta berpandangan jauh.

Katanya, peranan masjid sebagai tempat pertukaran idea itu adalah untuk kebaikan masyarakat umum.

Masjid yang boleh memuatkan 2,000 jemaah itu siap September lalu dengan kos RM2 juta.

No comments: