Friday, May 2, 2008

MTUC desak laksana gaji minimum RM900 (Berita Terpilih)


SHAH ALAM 1 Mei - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini mendesak kerajaan melaksanakan gaji minimum RM900 sebulan kepada pekerja di negara ini.

Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud berkata, desakan itu buat bagi mengurangkan beban kos hidup serta harga barangan yang meningkat ketika ini.

Menurut beliau, pihaknya juga akan mengadakan bantahan di Parlimen 7 Mei ini bagi mendesak kerajaan memenuhi tuntutan itu.

"Kita mahu kerajaan teliti dan memikirkan tuntutan ini kerana kerana sudah sampai masanya aras gaji minimum pekerja diubah selaras dengan perkembangan serta perubahan ekonomi semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan Hari Pekerja peringkat negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam pada itu, Syed Shahir juga mahu Selangor melaksanakan gaji minimum di setiap syarikat milik kerajaan (GLC) negeri sebagai langkah permulaan kepada pelaksanaan tuntutan ini.

"Saya harap kerajaan Selangor melalui syarikat milik kerajaan melaksanakan gaji minimum ini sebagai permulaan kepada kerajaan Pusat untuk memenuhi tuntutan ini," jelasnya.

No comments: