Wednesday, May 7, 2008

MTUC serah memorandum di Parlimen: Kerajaan perlu pertimbangkan tuntutan MTUC

KUALA LUMPUR 7 Mei - Kira-kira 100 orang ahli Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini berhimpun secara aman di luar pintu masuk utama Parlimen untuk menyerahkan memorandum berhubung pelaksanaan gaji minimum RM900 yang ditolak oleh kerajaan baru- baru ini.

Mereka mula berkumpul sejak pukul 8 pagi dengan 10 wakil MTUC dibenarkan menemui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz untuk menyerah memorandum berkenaan empat jam kemudian.

Kebenaran itu diberikan oleh Ketua Pentadbir Parlimen, Datuk Kamarudin Bariah.

Bagaimanapun, sebahagian daripada ahli pertubuhan itu yang berada di luar pintu masih berdegil dan enggan bersurai walaupun polis mengeluarkan amaran.

Mereka hanya mematuhi arahan bersurai kira-kira pukul 11.30 pagi selepas diminta oleh Naib Presiden MUTC, Mustafar Maarof, setelah dimaklumkan memorandum itu telah diserahkan kepada Nazri.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sofian Md. Yassin memberitahu, bagi membendung kejadian tidak diingini berlaku seramai 200 orang anggota polis berkawal di laluan ke Parlimen seawal pukul 7 pagi.

Katanya, mereka termasuklah dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ditempatkan di Jalan Parlimen dan Jalan Kinabalu iaitu laluan utama ke Parlimen.

"Tiada sebarang kecederaan atau keganasan yang dilaporkan sepanjang perhimpunan itu tetapi kita terpaksa bertindak menyuraikan perhimpunan tersebut berdasarkan kewajaran menjaga keselamatan negara.

"Keselamatan dan ketenteraman awam adalah penting bagi polis," tegas beliau ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

No comments: