Sunday, May 25, 2008

Program penempatan bekerja mahasiswa Jun ini

JOHOR BAHRU 25 Mei - Kementerian Pengajian Tinggi akan memperkenalkan program penempatan bekerja untuk mahasiswa universiti awam bagi menyediakan latihan yang lebih berstruktur kepada mereka demi memenuhi kehendak pasaran kerja.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program yang ditawarkan kepada penuntut tahun akhir itu akan bermula bulan depan, dengan peringkat permulaan melibatkan kerjasama Bank Negara.

Menurutnya, program berkenaan akan diperluaskan kepada industri lain selepas ini bagi membolehkan penyesuaian kerja dapat dijalankan dengan lancar.

''Program internship; yang akan dilakukan ini adalah lebih fokus dan berstruktur untuk memenuhi keperluan industri.

''Usaha kini dijalankan untuk mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak swasta termasuk GLC (syarikat milik kerajaan), MNC (syarikat multinasional) dan juga SME (industri kecil dan sederhana)," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Gerak Tumpu Zon Bandar Seri Alam 2008 di Pusat Rekreasi Teratak, Bandar Seri Alam di sini hari ini.

Jelas Mohamed Khaled, dalam menggerakkan program berkenaan, pihaknya akan turut menjalankan penyelarasan dengan semua universiti awam.

Beliau memberitahu, terdapat perbezaan antara program internship itu dengan latihan praktikal yang diatur pihak universiti selama ini, antaranya ia tidak hanya memenuhi keperluan kokurikulum semata-mata.

"Program ini lebih kepada memenuhi kehendak pasaran kerja dan memberi pendedahan kepada penuntut universiti mengenai kesesuaian dan kelayakan yang diperlukan pihak universiti," katanya.

Menyentuh keadaan politik semasa, Mohamed Khaled yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, usaha untuk memujuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kembali kepada UMNO tidak perlu dilakukan.

Beliau berpendapat Dr. Mahathir membuat keputusan tersebut kerana pendiriannya sendiri dan bukan kerana merajuk terhadap parti.

"Bagi saya, tidak perlu kita hantar rombongan untuk memujuk, nanti seolah-olah dia merajuk pula," katanya.

No comments: