Monday, May 5, 2008

Nasihat Buat Pemimpin Negara: Contohilah Umar Al-Khattab


Jawatan serta gelaran yang disandang dan diperolehi oleh seseorang pemimpin negara bukanlah merupakan satu kemulian dan kemegahan sebaliknya merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang berat. Amanah ini mestilah dipikul dan dilaksanakan dengan penuh rasa ketaqwaan dan keinsafan kepada Allah S.W.T. Sang Penguasa yang tiada tandingannya. Jawatan (kuasa / kerajaan) dan gelaran tersebut boleh ditarik balik oleh-Nya pada bila-bila masa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah Maha Berkuasa ke atas segala makhluk-Nya.

Allah berfirman di dalam kitab suci al-Quran bagi mengukuhkan teori tersebut di dalam surah Ali-‘Imran: ayat 26.

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاء وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاء وَتُعِزُّ مَن تَشَاء وَتُذِلُّ مَن تَشَاء بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Katakanlah: "Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Oleh itu, jangan kita menganggap setiap jawatan dan gelaran yang dikurniakan kepada kita di dunia yang fana ini adalah kemulian semata-mata. Boleh jadi kedua-dua perkara tersebut merupakan penghinaan yang tidak terhingga kepada kita daripada Allah S.W.T. Islam menyeru kepada sang penguasa supaya belaku adil dan beramanah dalam melaksanakan urusan kepimpinan khusunya bagi pemimpin sesebuah negara yang melibatkan soal orang ramai (rakyat). Firmah Allah S.W.T.:

إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ إِنَّ اللّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللّهَ كَانَ سَمِيعاً بَصِيراً (النساء: 58

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Selain itu, para pemimpin mestilah melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah S.W.T.dan berusaha menegah apa yang dilarang dan diharamkan oleh-Nya. Tiga hukum kepada golongan (penguasa dan pemimpin) yang gagal melaksanakan apa yang diprintahkan oleh Islam termaktub dalam al-Quran iaitu:

Pertama: al-Maidah: 44 – Hukum Kafir (Benci dan Ingkarnya kepada hukum Allah S.W.T.

وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللّهُ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ

“Barangsiapa yang tidak memutuskan perkara (berhukum/memerintah) menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.”

Kedua: al-Maidah: 45 – Hukum Zalim (Menurut hawa nafsu dan merugikan orang lain).

وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أنزَلَ اللّهُ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

“Barangsiapa tidak memutuskan perkara (berhukum/memerintah )menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.”

Ketiga: al-Maidah: 47 – Hukum Fasik.

وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللّهُ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

“Brangsiapa tidak memutuskan perkara (berhukum/memerintah) menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik.”

Para pemimpin negara juga dinasihatkan agar tidak menggunakan kedudukan dan jawatan yang ada untuk kepentingan ‘perut dan periuk nasi sendiri serta ahli keluarga masing-masing’. Kebajikan dan hak-hak rakyat bawahan mestilah diutamakan dari kepentingan peribadi. Berhentilah dari sikap menggambil keuntungan peribadi melalui kedudukan dan jawatan yang disandang dalam masyarakat dengan mendirikan mahligai-mahligai (kediaman peribadi) yang mewah, berbelanja boros dengan membeli dan memiliki kenderaan, pesawat peribadi, dan barang-barang keperluan lain lagi yang membazirkan.

Contohilah kezuhudan Umar Al-Khattab ketika menjadi Khalifah bagi orang mukmin selepas kewafatan Saidina Abu Bakar r.a. yang hanya tidur dibawah pohon tamar berbantal lengan atau pelepah tamar dan tanpa pengawal peribadi. Keadaan beliau yang sedemikian menyebabkan seorang utusan Maharaja Qisra memeluk Islam. Berapa ramai orang memluk Islam kerana akhlaq dan sikap pemimpin kita? Pemimpin Islam yang adil tidak perlu kepada orang yang mengawasinya kerana sikapnya yang adil dan amanah itu. Baginya hanya Allah S.W.T. sahaja tempat beliau berlindung dan bergantung dari sesuatu kejahatan makhluq-Nya. Hanya golongan pemimpin yang tidak adil, boros, penipu dan zalim sahaja yang menggunakan khidmat penggawal keselamatan kerana takut diserang orang-orang yang dizaliminya itu. Wallahua’lam.






No comments: