TAHNIAH buat kerajaan negeri Selangor atas usaha memberi insentif pendidikan sebanyak RM1000 kepada pelajar-pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi mengurangkan beban dan kos perbelanjaan bagi persiapan memasuki menara gading.
Kerajaan negeri akan membelanjakan sebanyak RM20 juta untuk memberi insentif tersebut kepada hampir 20,000 pelajar anak negeri Selangor. Perkara ini dinyatakan oleh pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali baru-baru ini. Langkah kerajaan negeri memberi insentif ini dilihat sangat wajar dan tepat kerana sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa para pelajar yang layak khususnya bagi yang berpendapatan rendah memandangkan kos sara hidup pada hari ini melambung tinggi.
Justeru, selaku mahasiswa yang masih menuntut di IPTA, saya ingin menyeru kerajaan pusat dan kerajaan negeri lain supaya mencontohi langkah proaktif kerajaan negeri Selangor ini. Kerajaan pusat mestilah menimbang dan menilai kembali desakan-desakan pelajar agar wang pinjaman Perbadanan Tabungan Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan dan diganti dengan biasiswa sepenuhnya yang menjadi hak mahasiswa di negara ini ataupun kerajaan menghapuskan caj perkhidmatan 3% sangat membebankan graduan-graduan universiti khususnya yang belum mendapat sebarang pekerjaan.
No comments:
Post a Comment